TELEMOVIE : REL WAKTU DI TV2 AJAK PENONTON HARGAI WAKTU TAHUN BAHARU INI
Sedar atau tidak detik Tahun Baharu 2011 bakal tiba beberapa hari sahaja lagi. Ada yang mula memasang angan dan tak kurang juga membulat azam untuk mencapai sesuatu hajat yang diinginkan dalam tahun 2011 ini. Situasi ini tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan waktu. Sesiapa yang bijak menguruskan waktu dalam jadual sehariannya maka berpeluanglah untuk mencapai hajat dicitakan. Sebaliknya kepada sesiapa yang hanya membazirkan masa tanpa melakukan apa-apa pastinya kemudian hari berdepan dengan kerugian.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak penonton menghargai waktu menerusi drama menarik, Rel Waktu yang membariskan pelakon Beto Kusyairy, Zarina Zainordin, Afida Es, Roslan Saleh dan Azhar Che Ree pada 4 Januari 2011 (Selasa), jam 1.30 petang di TV2.
Rel Waktu mengisahkan tentang Pak Ghani seorang lelaki cina tua yang mengorbankan hidupnya demi memenuhi janji kepada seorang sahabat melayunya Allahyarham Pak Majid yang terbunuh ketika cuba menyelamatkan nyawanya. Pak Ghani telah berjanji untuk membesarkan dan menjaga tiga orang anak lelaki Majid dengan cara hidup melayu dan Islam.
Pak Ghani sebenarnya hanya nama mesra yang dipanggil oleh penduduk di sekitar Gemas, Negeri Sembilan. Namanya yang sebenar adalah Gan Ah Seng, berusia 80 tahun, tidak berkahwin serta tidak mempunyai saudara mara. Pak Ghani miskin dan tinggal menumpang di sebuah bilik kecil di belakang sebuah rumah berek milik sahabatnya, Raju.
Suatu hari tiga orang lelaki melayu berpakaian kemas telah datang mencari Pak Ghani. Setelah berjumpa dengan Pak Ghani yang juga kabur penglihatannya, mereka meminta agar Pak Ghani menceritakan mengenai hubungannya dengan Allahyarham Majid Ahmad, pendekar yang berjaya membunuh komunis pada tahun 1957.
Pak Ghani pada mulanya enggan bercerita. Namun setelah ketiga-tiga orang tersebut menyatakan bahawa mereka berbuat demikian adalah untuk bahan sejarah bangsa, Pak Ghani membuka rahsianya. Suatu ketika dulu dia adalah anggota “Ming yuen” sewaktu pengganas komunis memberontak pada sekitar tahun 1956. Walau bagaimanapun Pak Ghani telah menarik diri setahun kemudian, lantaran dirasakan perjuangan tersebut adalah sia-sia belaka. Akibat darpada tindakan tersebut beliau telah diburu oleh pengganas komunis.
Pada suatu malam, Pak Ghani yang sedang melarikan diri daripada tiga orang anggota komunis yang bersenjatakan “rifle” telah meminta pertolongan Pak Majid, seorang pendekar di kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan. Pak Majid kemudiannya menyembunyikan Pak Ghani di rumahnya.
Walau bagaimanapun perbuatan Pak Majid itu diketahui jua oleh anggota komunis tersebut. Pada malam keesokan harinya, mereka telah menyerang rumah Pak Majid.
Dalam serangan tersebut Pak Majid dan Pak Ghani berjaya membunuh tiga orang komunis tersebut dengan hanya bersenjatakan parang. Walau bagaimanapun Pak Majid telah terkena satu das tembakan dan menemui ajalnya pada malam itu. Namun Pak Majid sempat berpesan agar Pak Ghani membesarkan anak-anaknya itu dengan jalan Islam serta memberi mereka pendidikan dengan baik sehingga mereka boleh menjadi insan yang berguna kepada bangsa, agama dan tanah air.
Pak Ghani mengangkat sumpah dan ikrarnya pada malam itu, bahawa dia akan memenuhi permintaan Pak Majid itu. Ketika kemudian Puan Som dan anak-anaknya yang sedang bersembunyi keluar lalu menerpa ke arah Pak majid yang sedang nazak di pangkuan Pak Ghani. Mereka meratapi kematian Pak majid dengan hiba.
Malam itu juga menyaksikan Sabri, Manaf dan Osman melahirkan rasa benci dan dendamnya kepada Pak Ghani. Mereka beranggapan bahawa pak Ghani yang menjadi punca kematian bapa mereka. Selang beberapa hari selepas itu pak Ghani telah datang berjumpa dengan Puan Som, lalu dia menceritakan tentang amanat pak Majid sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Pada mulanya Puan Som yang masih sedih dengan kematian suaminya, menolak pertolongan yang ingin diberi oleh Pak Ghani. Namun setelah dipujuk oleh Pak Ghani, Puan Som akhirnya mengalah. Pak Ghani juga meminta perkara ini dirahsiakan agar anak-anak Pak Majid tidak mendatangkan masalah kepada Puan Som. Puan Som telah berjanji untuk merahsiakan perkara tersebut selagi hayatnya dikandung badan.
Hari demi hari Pak Ghani bekerja kuat demi untuk menampung perbelanjaan persekolahan dan perbelanjaan anak-anak Pak Majid seharian. Manakala Puan Som pula terpaksa membohongi anak-anaknya dengan mengatakan bahawa Pak Majid ada meninggalkan wang yang banyak untuk mereka bertiga.
Masa berlalu masing-masing berjaya mencapai cita-cita menjadi orang yang disegani namun mereka ‘buta hati’ tidak mengetahui jada yang dicurahkan Pak Ghani kepada mereka sebaliknya menganiaya lelaki tua itu. Lalu bagaimanakah kesudahannya?