RTM DAN AMBANK ANJURKAN AMBANG 2011 DI DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR
Semarak Ambang 2011 begitu dinantikan semua. Pelbagai perancangan diaturkan bagi memastikan malam 31 Disember 2010 ini menjadi tarikh permulaan kemeriahan sepanjang tahun 2011 nanti. Malah ada yang menggunakan pendekatan ini untuk mengutarakan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada masyarakat yang selama ini menjadi penyokong setia penglibatan mereka dalam memenuhi permintaan pelanggan.
Pastinya menjadi pilihan utama untuk mengadakan konsert yang menghimpunkan artis-artis terkenal berkongsi momen-momen indah detik kiraan tahun baharu dengan lagu-lagu popular masing-masing di samping meraikannya dengan percikan bunga api yang berwarna-warni.
Begitu juga pendekatan yang diambil Ambank Berhad dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bakal menyiarkan Ambang 2011 secara langsung menerusi TV2 mulai jam 10.15 malam sehingga 1.15 pagi dalam usaha menambah semarak sambutan tahun baharu ini.
Kemunculan artis terkenal Amy Search, M.Nasir dan Dato’ David Arumugam bakal menggegar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tanggal 31 Disember 2010 kelak selain turut menyaksikan kemunculan Ramlah Ram, Pop Shuvit, Mizz Nina, Ernie Bintang RTM dan Daniel Lee berkongsi pentas menghiburkan penonton.
Malah sepanjang bersiaran, penonton dihiburkan dengan kolaburasi kemunculan pasangan pengacara terkenal Zainal Alam Kadir yang bergandingan dengan Linda Onn.
Mizz Nina
Amy Search