Mila seorang anak istimewa yang dikategorikan sebagai lembam merupakan anak sepasang suami isteri Zakari dan Leha. Walaupun Mila tidak bersekolah akibat masalah tersebut, namun dia tetap rajin membantu penduduk kampung melakukan pekerjaan seharian.
Apabila dikhabarkan bahawa ibunya mengandung, Mila berasa sangat gembira. Namun, kegembiraan tersebut tidak berpanjangan seperti yang disangkakan apabila malang menimpa keluarga mereka. Zakaria, bapa kepada mila meninggal dunia ketika menangkap ikan dilaut.
Leha telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki dan diberi nama Alif. 12 Tahun berlalu, Alif semakin membesar. Dia mula berasa tidak selesa setiap kali ketika berada bersama kakaknya, Mila yang lembam. Mila mendengar keluhan adiknya yang letih berjalan kaki ke sekolah, lalu membelikan Alif basikal menggunakan wang simpanannya.
Meningkat dewasa, Alif akhirnya berkahwin dengan seorang wanita kaya namun, kehidupan selepas berkahwin mereka tidak bahagia kerana mengikut telunjuk isterinya. Tidak lama selepas itu, Mila dirisik oleh seseorang dan tarikh perkahwinan mereka telah dipersetujui.
Namun, keindahan perkahwinan yang diidamkan olehnya tidak kesampaian apabila pihak pengantin lelaki telah membatalkan perkahwinan mereka. Akibat daripada itu, Mila jatuh sakit. Batuknya menjadi semakin teruk dan bercampur dengan darah.
Hari demi hari, tahap kesihatan Mila semakin lemah. Beliau yang banyak berkorban dan membantu keluarganya menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan ibunya. Alif berasa kesal atas sikapnya selama ini. Masihkah ada kesempatan bagi Aliff untuk memperbetulkan kesilapannya?
Menampilkan gandingan pelakon Ainul Aishah, Anne Abdullah, Sura Sojangi, Dafi Ismail dan Pekin Ibrahim, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan telemovie bertajuk “Mila Teristimewa” pada 5 Disember ini, pukul 9.00 malam di TV1.
Hasil garapan Yati Chung dan arahan Harris Fadzillah Abd Samad ini menampilkan naskah yang mengetengahkan tema kekeluargaan dan fiksyen sosial tentang kekeluargaan dan pengorbanan seorang anak dalam membantu keluarga.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.