Dua nama besar industri muzik Malaysia, juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 2017 dan 2018, Hael Husaini, dan pemenang tempat ketiga AJL 2017, juga Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-33, Haqiem Rusli, hadir memeriahkan sidang media pelancaran perdana single hit penutup tahun 2020, ‘Lara’, di Hotel The Chow Kit Ormond, selaku penaja lokasi, namun kelibat pelantun ketiganya, juara AJL 2019, Naim Daniel, tidak kelihatan, mengapa? Pelbagai spekulasi dibuat, tapi Pengarah Urusan Worldpeace Entertainment, Usaid Hamdi, ada jawapannya.
“Saya mohon maaf kerana Naim tak dapat hadir pada majlis hari ini. Beliau sebenarnya terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya yang menyebabkan tulang rahangnya terkehel pada 17 Disember yang lalu.
Namun pada hari ini, Naim mengadu kesakitan yang teruk dan doktor menasihatkan agar beliau terus berehat di rumah dulu dan mendapatkan pemeriksaan selanjutnya,” katanya.
– Usaid Hamdi
Ketika sidang media berlangsung, sebuah klip video oleh Naim Daniel telah dipertontonkan kepada wartawan yang hadir. Klip video tersebut menjelaskan keadaan terkini beliau sekaligus menunjukkan komitmennya terhadap single ‘Lara’.
Selain itu, lagu ‘Lara’ yang baharu sahaja dilancarkan pada bulan lepas ternyata mendapat sambutan luar biasa apabila jumlah tontonannya di saluran YouTube Rocketfuel Entertaainment telah pun mencecah sebanyak 2.3 juta.
Sambutan yang diterima sungguh menakjubkan dan saya harap semoga lagu ini mampu pergi jauh dan tercalon pada AJL yang akan datang,” ujar Encik Feros Sayna, Ketua Label Rocketfuel Entertainment.
Lagu ‘Lara’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Lara’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.