TRAVELOG KEMBARA BUKU JEJAK DUNIA BUKU SECARA LEBIH MELUAS DI RTM
Seringkali kita melihat sebuah travelog diterbitkan untuk menggambarkan tarikan yang pelbagai di destinasi yang dikunjungi. Namun berbeza dengan kelainan yang ingin ditonjolkan menerusi program Kembara Buku terbaharu terbitan Perpustakaan Negara Malaysia / Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah bersiaran mulai 12 Disember 2010 lalu, setiap Ahad, jam 2.00 petang di TV1.
Istimewanya Kembara Buku adalah kerana ia memberikan suluhan yang nyata sekali berbeza di dalam pengalaman pengembara kerana maudhu’nya adalah dunia perbukuan meliputi sama ada penggiatnya, institusinya atau acaranya. Ini mungkin satu-satunya travelog yang diterbitkan dengan fokus berkenaan dan ia tentunya menjadi suatu sejarah buat Negara dan dunia kerana menggambarkan sebuah budaya yang mungkin masih asing dalam pengalaman pelancongan di Malaysia. Dalam konteks Kembara Buku, ianya memaparkan hakikat kembara kelompok yang dikenali sebagai Book Trailers.
Menampilkan pengacara iaitu Sayed Munawar, Kembara Buku sebuah travelog yang memaparkan dunia buku secara lebih mendalam. Kita seringkali berbicara tentang buku dan intinya, namun hakikatnya dunia di sebalik sebuah buku itu merupakan satu suasana yang lebih menarik untuk diteroka. Kita akan mendekati penulis, aktivis, institusi dan suasana pesta yang tidak pernah didedahkan sebelum ini.
Oleh itu usaha untuk meneroka dunia buku ini adalah sebuah inistiatif yang besar ke arah menggalakkan lagi kecintaan terhadap buku sebagai wahana ilmu turut sama merangsang apresiasi yang lebih tinggi terhadap aktivis dan pejuang buku.
Lebih menarik lagi Kembara Buku musim pertama ini meneroka bukan hanya pengalaman di Malaysia bahkan turut menjelajah ke Indonesia, Mesir dan Arab Saudi. Hasrat penerbitan adalah agar penerbitan musim keduanya akan memberikan liputan dan gambaran langsung tentang dunia buku di Eropah, Asia Pasifik bahkan tarikan di dunia lain.
Di dalam setiap misi, pemburu buku akan mencari keunikan dan keindahan sama ada di sebalik penggiat buku, institusi atau acaranya. Sebagai contoh di Negara Mesir sahaja, Kru Kembara Buku mengunjungi ke Pesta Buku Kaherah yang bukan hanya pesta Buku itu bahkan pesta budaya. Pesta Buku Kaherah adalah merupakan pesta buku terbesar di benua Afrika dan kedua terbesar hanya selepas Pesta Buku di Frankfurt. Ia juga merupakan pesta buku Arab terbesar di dunia.Di sini misalnya penonton akan dibawa mengembara melihat suasana pesta buku yang teranyam di dalam budaya, sistem nilai dan bahkan iklim negaranya.
Menerusi 13 episod siarannya, program ini diterbitkan melibatkan empat buah negara termasuklah Malaysia, Mesir, Arab Saudi dan Indonesia.
Tarikan utama yang melibatkan pembabitan negara kita adalah Perpustakaan Negara sebagai mercu tanda perbukuan negara, acara outreaching oleh perpustakaan Negara Malaysia sebagai usaha untuk membina minat terhadap buku yang lebih mendalam. Malah juga diketengahkan temu bual tokoh buku seperti Tan Sri Sanusi Junid, Prof Madya Shaharom TM Sulaiman dan Rejab FI juga kedai dan penerbit buku ulung tempatan, PTS.
Penonton juga berpeluang mengetahui tarikan di Arab Saudi apabila program ini mengunjungi Gua Hira dimana arahan membaca diturunkan, meninjau kedai buku di sekitar masjidil haram dalam suasana musim haji, mengunjungi penerbit terbesar Darus Salam, mengunjungi 2 buah Café buku unik di Jeddah yang menggambarkan suasana ilmu yang nyaman dan mempesona.
Ia meraikan tokoh sasterawan Arab Saudi dengan buku-buku disajikan di sekeliling café untuk bacaan pengunjung. Kembara Buku turut mengunjungi makhtutat (arkib) di atas Masjid An Nabawi dan tokoh ilmuwan dan ulama di Arab Saudi selain sistem pengajian talaqi di sekolah Al Marhum Syeikh Muhammad al Maliki yang masyhur itu dan menyelami dunia ilmu hasil tulisan Magnum Opus karyanya.
Kunjungan ke Mesir pula memaparkan daya tarikan seperti Maarad atau pesta Buku Kaherah, Perpustakaan agung di Iskandariah – Bibliotheca Alexandrina, Toko buku bekas di sepanjang Jalan Nabi Daniel, Perpustakaan Al Azhar dan projek Al Azhar Online dan Mengunjungi café Naguib Mahfouz. Kesempatan yang ada juga digunakan sepenuhnya untuk menemubual teman baik beliau yang kini ketua pengarang akhbar Al Youm akhbar sastera di Mesir.
Dan sebagai melengkapkan musim pertama program ini, dibawakan juga tarikan di Indonesia seperti Pesta Buku Islami di Jakarta, Taman Mini Indonesia di mana terdapatnya Pasar Buku Langka, Pustaka HB Yassin di Taman Ismail Marzuki dan kedai buku bekas Pak Joze Rizal, Toko Buku Gunung Agung dan lain-lain, Toko Buku milik Bapak Haidar Bagir dan toko buku obral di Jogjakarta, Taman Pintar di Jogkakarta, Pustaka di Malioboro, Kampung Buku di Taman Kiyai Langgeng dan Koleksi Hatta di Universiti Gajah Mada.
Untuk lebih lagi maklumat, pastikan anda mengembara bersama program Kembara Buku setiap Ahad, jam 2.00 petang di TV1.