Anugerah Meletop Era (AME) 2020 sememangnya penuh dengan kejutan apabila menampilkan pelbagai persembahan menarik dan juga arits popular walaupun masih perlu menjaga protokol kesihatan. Paling mencuri tumpuan sepanjang program adalah tindakan pelakon kacak, Kamal Adli yang melutut sambil melamar ‘teman tapi mesranya’ Uqasha Senrose di pentas berprestij itu.
Kamal, 34, melafazkan kata lamaran dengan menyampaikan sebentuk cincin berlian dengan berlutut di hadapan Uqasha Senrose sambil bersaksikan penonton menerusi siaran langsung tersebut yang disiarkan di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
“Awak ni sedang promote drama baharu kita ke?” tanya Uqasha yang nyata terkejut dengan lamaran tersebut.
Kamal kemudiannya, mengulang semula soalannya sebelum Uqasha, 28, menjawab ‘yes’ sambil disambut sorakan penonton.
Spekulasi hubungan mereka hangat diperkatakan selepas keduanya sering berganding dalam drama, termasuk yang terkini Perempuan Tanpa Dosa.
Kisah percintaan Kamal dan Uqasha mula menjadi perhatian semenjak mereka digandingkan dalam drama Setelah Terlafaznya Akad tahun lalu.
Sebelum ini, pengarah drama Perempuan Tanpa Dosa, Michael Ang secara tidak sengaja memecahkan rahsia bahawa pasangan ini mengikuti kursus perkahwinan di Kuantan, Pahang ketika penggambaran drama berkenaan.
Anugerah Meletop Era kali ini telah diadakan secara langsung di Astro Ria dan bertempat di Pusat Konvensyen Antrabangsa Putrajaya (PICC) dan dihoskan oleh tiga orang pengacara popular iaitu Nabil Ahmad, Zizan Razak dan Jihan Muse.
Pada AME2020 kali ini, tiada kehadiran penonton di dewan berikutan mematuhi protokol kesihatan yang telah ditetapkan.