in

Sya, Artis Rakaman Wanita Pertama Def Jam Rakam Single Pertama Berjudul PRETTYGIRLBOP

“Prettygirlbop” Single Sulung Sya, Artis Rakaman Wanita Pertama Def Jam Asia Tenggara Bersama Bintang Rap Singapura Yung Raja Bakal Menggegarkan Industri Hiburan Serantau!

Tuah pendatang baru penyanyi rap wanita pertama Def Jam Asia Tenggara, SYA seakan datang bergolek-golek! Manakan tidak, apabila single pertamanya berjudul ‘PrettyGirlBop’, mendapat sentuhan penerbit terkenal SonaOne, suatu nama yang tidak asing bagi khalayak peminat hip-hop mahupun peminat industri hiburan tanahair. Seakan bulan jatuh ke riba, lagu yang pada asalnya dicipta untuk SYA kemudiannya turut digandingkan dengan bintang rap popular Singapura, Yung Raja untuk melengkapkan ramuan single pertama anak kelahiran Ampang ini menjadi sempurna.

SYA bagaimanapun mengaku gementar pada masa sama berasa amat teruja apabila diberikan peluang bergandingan bersama dua nama besar hip-hop Asia Tenggara, tanpa berselindung mengakui menyimpan hasrat bekerjasama dengan kedua-dua figura hebat ini.

SYA

“Proses pembikinan lagu ‘PrettyGirlBop’ ini terjadi dengan cukup pantas. SonaOne mencipta irama dan melodi dalam masa hanya lima belas minit saja. Sebaik saja saya terima irama tersebut, saya terus karangkan lirik-lirik yang terilham secara spontan. Tidak beberapa lama selepas itu, nah.. ‘PrettyGirlBop’ pun terhasil,” katanya ringkas.

“Menariknya sedang kami asyik mencari ilham dan proses penstrukturan rangkap dalam lagu, kebetulan Yung Raja membuat panggilan video kepada SonaOne yang secara tidak langsung memberi tambahan idea dalam pembikinan single pertama saya ini. Ketika itu kami mencari apakah ‘hook’ yang mengancam dalam lagu dan Yung Raja ada formulanya. Apabila Yung Raja menyatakan persetujuan untuk turut serta menyumbangkan rangkap-rangkap rap dalam lagu PrettyGirlBop, besar hati saya apabila dapat bergabung dengan seorang penyanyi rap berbakat besar sepertinya,” tambahnya lagi dengan nada gembira.

Dedikasi  “PrettyGirlBop” untuk memperkasakan semangat kaum hawa ketika pandemik dan ibu sebagai sumber inspirasi.

Menurut SYA, minatnya mendalam pada dunia seni dipupuk sejak daripada bangku sekolah lagi apabila dia sering menawarkan diri membuat persembahan ketika ada penganjuran majlis-majlis untuk mengasah bakatnya. Mengakui ibunya adalah sumber inspirasi dan susuk penting yang banyak beri galakan dia berkarya, ilham lagu PrettyGirlBopmisalnya adalah dedikasi untuk kaum hawa supaya menzahirkan cinta pada diri sendiri. 

“Seluruh negara berada dalam keadaan sukar ketika wabak pandemik melanda, lebih-lebih lagi golongan wanita berdikari dan berusaha sekuatnya demi kelangsungan hidup seharian. Ketika lagu ini ditulis, saya meletakkan keseluruhan emosi dan jiwa di kemuncak,” bicara SYA lanjut.

“Saya cuba mengubah pemahaman stereotaip ‘Pretty Girl’ yang bermaksud gadis ayu, tetapi menerusi ‘PrettyGirlBop’ saya memberi sindiran secara sarkastik dan sinikal terhadap bait-bait lirik sambil memberitahu ‘saya garang, dan saya gigit balik tau’, jadi awas ya!” tegasnya. 

SYA

“Saya cuba mengubah pemahaman stereotaip ‘Pretty Girl’ yang bermaksud gadis ayu, tetapi menerusi ‘PrettyGirlBop’ saya memberi sindiran secara sarkastik dan sinikal terhadap bait-bait lirik sambil memberitahu ‘saya garang, dan saya gigit balik tau’, jadi awas ya!” tegasnya. 

Pada mulanya SYA hanya menjadikan muzik sebagai ruang terapi buat dirinya, bagaimanapun melihatkan pengaruh muzik itu sendiri dapat memberi impak yang luar biasa, SYA mula mengatur langkah untuk dikenali sebagai watak penting membangunkan semangat wanita pada hari ini. 

“Saya mengambil tanggungjawab untuk memberi inspirasi golongan wanita di luar sana tidak kiralah apa bidang sekalipun yang mereka ceburi untuk terus bangkit dan cekal mengharungi segala rintangan dalam kehidupan. Dek kerana motivasi itu, saya akan memastikan sebagai penyanyi rap wanita, saya akan terus berusaha dan kekal relevan setanding dengan penyanyi rap yang didominasi golongan lelaki pada hari ini, mudah-mudahan” ujarnya bersemangat.

Lagu ‘PrettyGirlBop’ akan berada dipasaran digital pada 11hb Disember 2020 di Apple Music, Spotify, Deezer, Joox, KKBOX, Youtube, iTunes dan Music Video ‘PrettyGirlBop’ akan berada di Youtube pada 11hb Disember jam 9malam. 

SYA PERMATA BARU DEF JAM ASIA TENGGARA

Minat gadis manis ini terhadap muzik amat mendalam, kebanyakan masanya diisi dengan menzahirkan bait-bait puisi pada melodi menerusi ilham penulisannya. Tidak kira latar belakang muzik, baik pop, R&B, Hip-Hop atau Soul, SYA mengambil beberapa nama legenda rap seperti Jay Z, Tupac Shakur dan Kendrick Lamar sebagai pengaruh persembahan. 

“Dari segi melodi, saya tak meletakkan secara spesifik siapa yang saya minati untuk membentuk identiti saya, tetapi buat masa sekarang saya sukakan melodi Ty Dolla $ign dan cukup enjoy mendengarkan karyanya. Saya juga sukakan visi Kanye West sebagai seorang mogul Hip-Hop yang telah membawa genre ini jauh ke hadapan,” tambahnya lagi.

SYA turut menyatakan minatnya mula berputik pada dunia seni hiburan sejak mendengarkan lagu-lagu daripada ikon pop Amerika Syarikat, Britney Spears ketika zaman kanak-kanak lagi.

“Sudah pastilah  bintang-bintang rap wanita seperti Nicki Minaj, Cardi B, Saweetie dan Doja Cat juga saya minati namun sebagai seorang artis yang versatile, saya mahu tampil dengan gaya saya sendiri, oleh itu jangkakan sesuatu di luar jangkaan!” tambahnya bersahaja apabila ditanya jangkaan penerimaan pendengar sebaik buah tangan pertamanya ini muncul.

Disunting oleh Syarikat rakaman Def Jam Asia Tenggara kerana kelibatnya menyanyikan rap bebas berjudul KIKA dalam laman sosial sehingga viral sedikit masa dahulu, kini dengarkan pula ‘PrettyGirlBop’, hasil buah tangan yang amat tinggi nilainya untuk peminat-peminat hip hop dan wanita di seluruh dunia!

MENGENAI DEF JAM SOUTH EAST ASIA 

Pada tahun 1984, Def Jam Recordings muncul di New York City untuk mendorong budaya hip-hop ke tahap yang baru. Dalam beberapa dekad yang lalu, rumah yang dibina oleh Russell Simmons dan Rick Rubin lebih dari sekadar memenuhi tujuannya dibina, malah ia menjadi antara salah satu pengedar hiburan hip-hop yang paling dikenali di seluruh dunia.

Pada bulan September 2019 dalam satu persidangan All That Matters di Singapura, penubuhan Def Jam South East Asia (SEA) telah diumumkan, dengan barisan bakat besar serantau yang merangkumi Joe Flizzow dari Malaysia, Daboyway dari Thailand, A. Nayaka dari Indonesia, dan Fariz Jabba dan Yung Raja dari Singapura.

Def Jam pernah mewakili nama-nama besar dunia muzik seperti Run-DMC, LL Cool J, The Beastie Boys, Public Enemy, Jay Z, Kanye West, Nas, Rihanna, Justin Bieber, 2 Chainz and Desiigner. 

Sejak pelancarannya, Def Jam SEA telah berjaya dalam permainan muziknya dalam acara berprofil tinggi seperti konvensyen Culture Cartel 2019 di Singapura, di samping membantu dengan kemasukan perniagaan sukan global JD Sport ke dalam pasaran Thailand ketika upacara pelancaran label tersebut di Bangkok.

Dengan pengaruh hip-hop yang telah meluas di dunia, tidak lama masa yang diambil oleh Def Jam untuk meluaskan sayapnya di Asia Tenggara dengan barisan hadapan yang berbakat besar. Label ini juga sibuk membawa lebih banyak bakat hebat dari seluruh rantau ini seperti Abubakarxli dari Malaysia, Ben Utomo Indonesia dan Rayi Putra, dan kemasukan Vietnam dan Filipina ke dalam keluarga Def Jam SEA diwakili oleh SeaChains dan VVS Collective.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Enggan Berpindah Ke Stesen Radio Lain, DJ Lin Setia Bersama Suria FM Sampai Bila-Bila

It’s A Boy! Tok Ti Bakal Bersalin Anak Lelaki, Mahu Letak Nama Awalan Huruf ‘A’