Sejak awal minggu lalu, nama penceramah bebas yang juga pelakon dan penyanyi, Da’i Syed menjadi trending di media sosial berikutan penahanannya atas dakwaan merogol dan mencabul beberapa orang gadis.
Simpati Dengan Da’i Syed
Biarpun begitu, terdapat segelintir peminat Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail, 25 yang berasa simpati dengan penyanyi itu dan tidak menolak dia berkemungkinan telah disihir untuk tujuan tertentu.
Malah, ada hashtag iaitu #StandWithDaiSyed turut trending di laman Twitter bagi menyatakan sokongan mereka pada Da’i Syed namun telah dipergunakan oleh peminat K-Pop untuk mempromosikan selebriti Korea kesayangan mereka.
Betul Ke Ada Iras Zayn Malik?
Terbaru, nama penyanyi itu sekali lagi trending bersama-sama dengan penyanyi Hollywood terkenal, Zayn Malik apabila peminat mendakwa wajah Da’i Syed mempunyai iras pelantun Pillowtalk itu. Bagaimanapun, rata-rata pengguna laman itu mengecam tindakan mereka yang membuat perbandingan tersebut kerana beranggapan langsung tidak mempunyai persamaan diantara kedua-dua penyanyi itu.
Dalam perkembangan terkini,Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya juga percaya kemungkinan ada pertambahan laporan polis berhubung kes terbabit.
“Siasatan masih berjalan, setakat ini dua daerah terima laporan polis berhubung tindak laku pendakwah terbabit. Polis akan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
“Jumlah laporan terkini kira-kira empat hingga lima, jadi kita menyeru pada mangsa-mangsa agar tampil ke hadapan sekiranya mereka mangsa kepada pendakwah ini,”
– Datuk Noor Azam Jamaludin
Beliau berkata, semua laporan yang dibuat mangsa akan disiasat dan dikumpulkan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana perkenalan mereka juga medium apa yang digunakan.
“Kalau siasatan lengkap, kita akan ambil tindakan. Kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan fakta-fakta dan bukti, sama ada boleh dakwa atau tidak, keputusan itu terpulang kepada pihak pendakwaan,”
– Datuk Noor Azam Jamaludin
Ketika ditanya mengapa kebanyakan mangsa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis katanya, berkemungkinan mangsa malu kerana ia membabitkan maruah diri.
Sumber: Murai & Berita Harian