in ,

Remy Ishak, Sabrina Ali, Rozita Che Wan dalam Masihkah Ada Sinar

TELEMOVIE KHAS MAAL HIJRAH : MASIHKAH ADA SINAR LAKONAN ROZITA CHE WAN DAN REMY ISHAK DI TV1

Maal Hijrah merupakan antara peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Sambutannya diadakan pada setiap tahun menjelang bulan Muharaam dengan pelbagai program atau acara bagi mengingati semula peristiwa agung ini disamping mengambil pengajaran daripadanya. Dalam konteks pada hari ini, hijrah bermaksud berubah daripada sikap-sikap atau perkara-perkara yang negatif ke arah yang positif.

Bersempena dengan sambutan Maal Hijrah pada kali ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membawakan kepada anda sebuah telemovie khas, Masihkah Ada Sinar yang membariskan pelakon terkenal tanah air Rozita Che Wan, Remy Ishak, Sabrina Ali, Rashidah Jaafar, Kismah Johar dan Zaiboo pada 7 Disember, 2010, jam 2 petang di saluran TV1.

REMY ISHAK (1)

Remy Ishak

Menyelitkan sifat-sifat kesabaran dan pengorbanan seseorang dalam menghadapi dugaan yang terpaksa dilalui oleh watak-watak yang diketengahkan, telemovie ini mengajak para penonton supaya mengambil pengajaran dan iktibar daripadanya disamping mengisi sambutan Maal Hijrah tahun ini dengan lebih bermakna lagi.

Telemovie ini bermula dengan memperkenalkan watak utamanya bernama Hawati seorang guru dan masih bujang yang berumur sekitar akhir 30an. Dia tiba-tiba terpaksa menanggung empat orang anak saudaranya yang masih bersekolah apabila adiknya menemui ajal bersama suami di kemalangan jalanraya. Lebih malang lagi anak saudaranya yang sulung menghidapi penyakit jantung berlubang. Hawati sendiri dibelenggu dengan penyakit kencing manis yang kronik serta tekanan darah rendah.

Kekasihnya, Mazlan juga seorang guru berhasrat melamarnya. Ibu Mazlan tidak mahu menerima Hawati kerana tidak mahu bermenantukan gadis yang berpenyakit serta tidak mahu anaknya menanggung beban memelihara anak saudara orang lain.

Kegagalan hubungan dengan Mazlan, bebanan memelihara anak-anak saudaranya selain pada masa sama terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai guru telah menjadi beban yang membuatkannya berasa tertekan dan mengganggu kesihatan Hawati.

Doktor Suraya yang memantau kesihatan Hawati sering menasihati Hawati agar melakukan sesuatu bagi mengurangkan tekanan yang dilaluinya. Setelah kecewa dengan Hawati, Mazlan berkahwin dengan doktor Suraya, sepupunya.
Walaupun Suraya tidak tahu hubungan Mazlan dengan Hawati tapi Suraya kerap memberitahu kisah Hawati kepada Mazlan. Mazlan berasa bersalah kerana menyingkirkan Hawati dari hidupnya. Dia terasa tidak berdaya hendak mendesak Hawati supaya mementingkan kesihatannya. Akibat dari itu hubungan rumahtangga Suraya dan Mazlan sangat terganggu.

Bila kesihatan Hawati bertambah merosot dia terpaksa melepaskan anak saudaranya yang sulung dan yang nombor dua kepada keluarga angkat. Di samping itu dia selalu mengambil cuti kerana tidak sihat. Hawati dapat tahu dia akan dirujuk kepada Medical Board untuk tindakan lanjutnya.

Bagi mengelakkan tindakan itu dari berlaku Hawati memaksa dirinya untuk bekerja dengan lebih keras lagi. Pun begitu dengan Mazlan yang selalu mencari peluang untuk mendekati dia di sekolah juga menghantui dirinya kerana Mazlan adalah kegagalan kisah percintaannya. Rindu pada anak-anak saudaranya yang dianak-angkatkan juga menimbulkan rasa bersalah dia pada diri sendiri.

Apakah yang akan terjadi kepada nasib Hawati dan anak-anak saudaranya itu? Untuk mengetahui kesudahannya, usah lupa temu janji anda pada 7 Disember 2010 di TV1.

SABRINA ALI

Sabrina Ali

ROZITA CHE WAN

Rozita Che Wan

RASHIDAH JAAFAR

Rashidah Jaafar

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Charity Carnival We Love, We care

Farawahida Lahir Single Terbaru Jangan Kau Tanya Aku Lagi