TEMPATKAN DIA DI SYURGA : TELEMOVIE KHAS MAAL HIJRAH DI TV2
Sambutan Maal Hijrah atau Awal Muharram yang bakal disambut seluruh umat Islam tanggal 7 Disember ini memberi pengertian yang berbeza kepada setiap individu. Namun yang pasti apabila tibanya Awal Muharram saban tahun, setiap individu mengharapkan supaya diri masing-masing berhijrah daripada situasi yang tidak elok kepada keadaan yang elok.
Daripada baik sekaligus mempersiapkan diri menjadi lebih baik dan terbaik tidak kiralah daripada segi amalan mahu pun perbuatan.
Hasrat untuk berhijrah menuju ke jalan kebaikan mestilah disertai dengan kesungguhan supaya apa yang dirancang berjaya untuk direalisasikan. Usah pula ianya hanya sekadar seperti melepas batuk di tangga dan perancangan tinggal perancangan. Sementara masa yang ada terus berlalu begitu sahaja hingga tiba ke tahun-tahun yang seterusnya.
Dalam usaha mengajak penonton menyemai perasaan ‘hijrah’ yang sebenarnya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan sebuah telemovie menarik khas meraikan sambutan Maal Hijrah ini bertajuk Tempatkan Dia di Syurga pada 7 Disember 2010, jam 10.00 malam di TV2 yang sememangnya sarat dengan pengajaran berguna untuk dijadikan pedoman semua.
Kisahnya berlegar sekitar watak kehidupan seorang wanita bernama Salmah yang tertekan akibat pergolakan dengan suaminya dikenali sebagai Zakir. Malah situasi itu turut mengheret sama emosi anak tunggal mereka, Saliza gara-gara angkara si ayah yang tidak bertanggungjawab itu.
Begitu pada masa yang sama, seorang pemuda sekampung dengan Salmah bernama Wahab ternyata masih menaruh harapan terhadapnya. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya apabila secara tidak sengaja bertemu dengan Saliza yang berkelana di Kuala Lumpur untuk mencari jejak suaminya di bandar besar itu.
Ketika di Kuala Lumpur, Salimah bertengkar dengan suaminya itu. Namun secara tidak sengaja, Salimah telah tertikam Zakir ketika mereka bergaduh. Insiden itu menyebabkan Salimah ditahan dilokap dan dipenjarakan.
Dua tahun berlalu tiba masanya Salimah dibebaskan. Ketika itu hanya satu dalam fikirannya untuk mencari anaknya Saliza yang telah diamanahkan kepada jirannya yang hanya dikenali sebagai Mona. Salimah buntu memikirkan cara untuk menjejaki semula anaknya itu.
Tanpa diduga takdir telah menemukan semula kedua beranak itu. Namun keduanya dipertemukan dengan cara yang menyedihkan. Hancur luluh hati Salimah sebagai seorang ibu apabila mengetahui anaknya diperangkap untuk menjadi seorang pelacur.
Lalu Salimah cuba menyelamatkan anaknya itu hingga menyebabkan nyawanya sendiri terancam. Pada situasi genting itu mampukah Saliza diselamatkan? Bagaimana pula cara Salimah mahu memperjuangkan haknya sebagai ibu dalam memperjuangkan nyawa anak tersayang?
Telemovie menarik khas Maal Hijrah ini dibintangi pelakon Tasha Aziz, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi, Siti Surya Suryani, Liza Zain, Shaharudin Thamby dan Fadilah Mansor.