Semuanya kerana keikhlasannya, kehebatan serta strategi beliau dan pasukannya dalam menangani penularan Covid-19 di Malaysia. Kini disaat negara berdepan gelombang ketiga yang lebih dahsyat, prestasi dan daya juang Dr Noor Hisham yang masih konsisten dan kesungguhannya memerangi virus maut ini untuk rakyat Malaysia sekali lagi mendapat pengiktiran media luar.
Kali ini beliau dan dua lagi doktor sama iatu Dr Anthony Stephen Fauci dari Amerika Syarikat dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Dr Ashley Bloomfiel mendapat pengiktiran oleh portal berita The Independent yang berpangkalan di Singapura.
Menurut Editor portal tersebut, Tan Bah Bah yang juga merupakan bekas penulis kanan The Straits Times, trio tersebut bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus kini menjadi perhatian dunia.
Menerusi kolumnya ‘Sense And Nonsense’, Tan juga mengangkat mendiang Dr Li Wenliang, pakar Oftalmologi China sebagai hero.
“Tidak dapat dinafikan, hero asal pandemik Covid-19 ialah mendiang Dr Li Wenliang, pakar Oftalmologi yang merupakan orang pertama memberi amaran kepada pihak berkuasa kesihatan di Wuhan tentang virus itu Disember lepas.
“Tatkala Beijing berjaya mengawal situasi di wilayah Hubei dan lain-lain kawasan di China, negara-negara lain yang bergelut menentang virus itu turut melahirkan wira masing-masing”
Tan kemudian mula berbicara mengenai peranan dan kelebihan yang dimiliki Dr Noor Hisham serta rakan sejawatnya dari AS dan New Zealand iaitu Dr Fauzi dan Dr Bloomfiled.
Jurucakap Malaysia bagi membendung Covid-19
“Hampir setiap petang sejak beberapa bulan lepas, rakyat Malaysia setia menonton siaran langsung taklimat Covid-19 yang disampaikan oleh Dr Noor Hisham.
“Beliau tenang memperincikan perkembangan terkini, dan secara bersahaja saling beralih di antara bahasa Inggeris dan Melayu. Beliau merupakan jurucakap negara tentang usaha Malaysia membendung penularan virus itu.”
Tambahnya lagi peranan Dr Noor Hisham juga tidak berhenti disitu sahaja sebaliknya bersungguh-sunguh menyambung ‘tugasnya’ dengan memberikan kesedaran tambahan yang ‘terus dari hati’ menerusi laman Twitternya.
“Kita perlukan perpaduan untuk menentang pandemik ini, bukan saling bertelagah. Barisan hadapan kita berjuang di lapangan sejak 10 bulan lepas, 24/7. Keletihan mental dan fizikal kini dirasai. Sesetengahnya sudah bersedia untuk mengalah. Belajarlah dari Sabah,” tulis Tan memetik hantaran yang dikongsikan Dr Noor Hisham di Twitternya.