Bertepatan dengan tajuk diberi, “Warna-Warni Asia”, travelog 13 episod terbitan YG Films Sdn Bhd ini giat mempromosi negara-negara Asia dan kepelbagaian warna serta kehidupan penduduk di negara-negara terbabit yang bakal disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 4 Oktober ini, setiap Ahad, pukul 11.30 pagi di TV1.
Chef selebriti, Nik Michael Imran selaku hos program ini pastinya teruja berkongsi pengalaman beliau mengunjungi dan merasai sendiri pengalaman berada di beberapa negara Asia antaranya Taiwan, Jepun, India, Korea, dan Indonesia. Apatahlagi banyak festival akan ditonjolkan dalam program ini.
Bonus pastinya kepada pelancong yang suka berswafoto dimana sahaja kerana lokasi indah dikunjungi mereka berlatarbelakangkan pemandangan yang cantik, berwarna warni, eksotik dan unik boleh dijadikan panduan lokasi pilihan mereka untuk melancong.
Memulakan perjalanan 13 episod terbaru ini menumpukan kepada kepelbagai kaum dan warna-warni di bandar industri minyak dan gas iaitu Bintulu Sarawak. Bermula dengan memaparkan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo ke-14. Menariknya layang-layang dari lebih dari 40 negara akan diterbangkan di sana. Masing-masing pasti teruja melihat banyak layang-layang besar tanpa perlu pergi ke luar negara untuk melihatnya. Ia menonjolkan kemeriahan keceriaan festival yang pastinya mampu menyumbang daya tarikan kepada pelancong luar berminat mengunjungi Malaysia.
Antara lokasi menarik tumpuan Asia yang diterokai dalam program ini termasuklah keindahan Kampung Pelangi di Semarang Indonesia yang mana rumah kediaman mereka dicat semula penuh dengan warna warni, manakala di Korea Selatan pula menonjolkan lokasi Gamcheon Culture Village dimana masyarakat di sana memberi nafas baharu kepada kampung mereka dengan mengecatnya penuh warna warni dari segi rekabentuk, mural, bentuk-bentuk seni, seni jalanan, dan graffiti.
Produksi Warna-Warni Asia juga turut ‘menawan’ negara diberi gelaran ‘Heart of Asia’ iaitu Taiwan. Pertama kalinya berada di Taichung untuk memperlihatkan Desa Pelangi, bertemu dengan lelaki tempatan berusia 97 tahun. Cef Nik belajar bagaimana membuat kuih matahari, minum ‘bubble tea’ dan mengunjungi pasar bunga yang cantik di daerah Houli. Kemudiannya menuju ke Pingtung, Donggang & Dapeng Bay yang mengadakan Festival Tanglung Taiwan. Cef Nik turut berkesempatan menjamu selera makanan laut di Donggang.
Dua episod program ini juga menonjolkan lokasi keindahan seni di Kota Singa, Singapura yang mempamerkan pelbagai karya seni dan bangunan warisan termasuklah mural yang menghiasi kota ini. Episod sama akan menampilkan Chingay Parade yang memukau yang mendapat kerjasama baik daripada Lembaga Pelancongan Singapura.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.