in ,

Telemovie PANAS Lakonan Fizo, Effa Narisha, Sheila Mambo

TELEMOVIE PANAS KONGSI PENGAJARAN ANAK DERHAKA MENGISI SLOT CITRA KHAS AIDIL ADHA DI RTM

Kita sering mendengar isu-isu masalah akhlak dan moral di kalangan remaja yang kian menular di dalam masyarakat kita pada masa kini. Persekitaran sosial dan budaya yang merangkumi tradisi, tingkah-laku dan rangsangan yang berbentuk akhlak kerap kali mempengaruhi manusia.

Bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha yang bakal menjelang tiba ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyajikan telemovie Panas bagi mengisi slot Citra Khas Aidil Adha. Telemovie yang berkisar kehidupan seorang remaja yang lupa diri ini bakal menyentuh hati dan perasaan para penonton. Telemovie yang sarat dengan pengajaran berguna ini di bawakan istimewa untuk tatapan penonton setianya pada 19 November 2010, jam 10.00 malam di TV 2.

Panas mengisahkan tentang Aina seorang anak angkat yang menyangkakan dirinya berasal dari keluarga yang kaya raya dan mempunyai kedudukan. Ketika Datin Maria, ibu angkatnya meninggal dunia, Aina baru mengetahui kebenaran mengenai statusnya. Dia tidak dapat menerima kenyataan apabila Badrul, abang angkatnya yang sulong berbincang dan ingin menyerahkan Aina kepada ibu dan keluarga kandungnya.

Badrul juga berharap, Tipah, ibu kandung Aina dapat membetulkan perangai dan pergaulan bebas Aina. Kehidupan Aina menjadi ‘panas’ di rumah keluarga kandungnya. Dia mengambil keputusan untuk meninggalkan keluarga kandungnya dan hidup dengan caranya yang tersendiri.

Kemelut hidup yang melanda Aina telah menyebabkan dia hanyut apatah lagi apabila dia berkenalan dengan Sham, seorang penipu yang hanya mempergunakan wanita untuk kepentingan dirinya.

Ibu bapa kandungnya,Tipah dan Hamid berjaya mengesan rumah Aina. Aina bimbang dengan kehadiran Tipah dan Hamid akan mengganggu serta menggugat kehidupan dan aktivitinya di situ. Dia menolak kehadiran Tipah malah tidak mengaku bahawa Tipah adalah ibunya. Ketika itu, Aina yang tak habis-habis menyebut bahawa kehadiran Tipah menyebabkan hidupnya ‘panas’ lalu meninggalkan tempat itu bersama Sham dengan kenderaan mewah mereka.

Semasa di dalam kereta, Aina merasa dirinya panas, walaupun penghawa dingin di dalam kenderaan tersebut telah dibuka pada tahap maksima. Kulit muka dan tubuh Aina mengering, menggelupas bagaikan udang dibakar. Dia merasa sangat panas lalu memaksa Sham mencari air untuknya. Sham yang ketakutan apabila melihat perubahan pada muka dan kulit Aina itu segera menghentikan keretanya dan terus mengusir Aina keluar dari situ.

Dalam keadaan separa sedar, Aina cuba diselamatkan oleh para media. Aina tidak habis-habis menyebut nama ibunya walaupun dalam nada yang sangat perlahan. Tipah, Hamid dan Badrul bergegas ke wad kecemasan. Mereka tidak sanggup melihat keadaan wajah Aina yang kelihatan seakan rentung itu. Tipah mendekati telinga Aina lalu membisikkan kalimah syahadat dan juga menyatakan dia telah mengampunkan Aina.

Adakah takdir akan menyebelahi nasib Aina atau sebaliknya? Saksikannya pada 19 November ini pada jam 10.00 malam di TV 2. Telemovie ini di bintangi oleh Fizo Omar, Effa Narisha, Hasnol Rahmat, Shila Mambo, Azad Jazmin dan John Louis.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Khas Aidil Adha di Saluran Muzik Aktif RTM

Telemovie & Program Sempena Aidil Adha di TV3