in ,

EJEN ALI THE MOVIE & ALIF & SOFIA Menang di Asian Academy Creative Awards 2020

Ejen Ali The Movie dan Alif & Sofia berjaya merangkul dua kemenangan di Asian Academy Creative Awards 2020 apabila diumumkan sebagai pemenang untuk mewakili Malaysia, secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Asian Academy Awards (AAA) .

Filem box office dan animasi #1 Malaysia yang berjaya meraih kutipan melebihi RM30juta Ejen Ali The Movie, hasil usahasama Primeworks Studios dan WAU Animation ini mendapat penghormatan menerusi kategori Arahan Terbaik (Fiksyen) untuk pengarah, Usamah Zaid Yasin. Ini merupakan tahun kedua untuk Ejen Ali di Asian Academy Creative Awards, selepas kemenangan siri TV pada tahun 2018 bagi kategori Program Animasi 3D Terbaik atau kategori Siri (Malaysia).

Manakala, Alif & Sofia pula mengungguli kategori Program Prasekolah Terbaik. Siri animasi 3D  yang diterbitkan untuk platform YouTube, dihasilkan bersama antara Primeworks Studios dan Blindspot Studios ini menampilkan pengembaraan dua adik-beradik yang aktif, bertanggungjawap dan mereka menerokai dunia kanak-kanak melalui proses pembelajaran yang menyeronokkan iaitu belajar menerusi cerita, muzik, lagu, tarian dan permainan imaginatif yang diilhamkan dari pembelajaran kehidupan Islam.

EJEN ALI THE MOVIE & ALIF & SOFIA Menang di Asian Academy Creative Awards 2020

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata, “Ini adalah pencapaian yang luar biasa bagi kami, ditambah lagi dengan peluang mewakili Malaysia untuk bersaing di  Asian Academy Creative Awards dan disenaraikan diantara kandungan terbaik dari seluruh Asia adalah satu pencapaian tinggi bagi kami di dalam tahun yang mencabar ini lebih-lebih lagi dengan apa yang yang berlaku sekarang ini akibat dari wabak COVID-19, ianya sangat terkesan kepada industri media.  Saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan kerjasama kami WAU Animation dan Blindspot Studios atas kecemerlangan mereka mencipta dan menerbitkan kandungan  animasi berstandard tinggi yang dapat membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.  Tidak lupa juga ucapan terima kasih kami kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang turut berganding bahu menyokong perjuangan penerbit animasi tempatan.”

Usamah Zaid Yasin, Ketua Pegawai Eksekutif Animasi WAU, menyatakan, “Kami merasa teruja dengan kemenangan ini, terima kasih diucapkan kepada panel juri Asian Academy Creative Awards yang memilih kami.  Kemenangan ini  menjadi pembakar semangat untuk kami mengembangkan lagi jalan cerita Ejen Ali kepada skala filem epik agar dapat menjangkau penonton di semua peringkat umur.  Harapan agar visi kami untuk meletakkan animasi bukan sekadar untuk golongan kanak-kanak akan menjadi kenyataan.  Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Primeworks Studios dan MDEC atas sokongan selama ini. “

EJEN ALI THE MOVIE & ALIF & SOFIA Menang di Asian Academy Creative Awards 2020

Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios, Lukman Nulhakim Othman, menambah, “Ketika  mencipta watak Alif & Sofia, kami memikirkan bagaimana kami dapat membantu ibu bapa membimbing anak-anak dengan kandungan yang menyeronokkan. Prasekolah adalah tempoh peralihan yang paling formatif bagi kanak-kanak dan mencabar bagi ibubapa.  Dengan kemenangan ini kami merasakan usaha kami dihargai dan  ia sebagai petanda bahawa kami berada di landasan yang betul.  Ia juga sebagai dorongan untuk terus menghasilkan karya bermutu dan mengangkat animasi negara ke peringkat lebih tinggi.  Terima kasih kepada rakan-rakan di Primeworks Studios dan MDEC kerana telah menyokong usaha kami sejak hari pertama. “

Asian Academy Creative Awards (AAA) adalah anugerah tahunan berprestij yang meraikan karya-karya dari Australia & New Zealand, Kemboja, China, Hong Kong SAR, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Anugerah ini adalah untuk meraikan usaha industri kreatif dalam penerbitan kandungan dan produksi.   Acara kemuncak AAA 2020 dijadualkan berlangsung pada 3 dan  4 Disember 2020.  Untuk maklumat lanjut mengenai upacara anugerah, sila layari https://www.asianacademycreativeawards.com

MENGENAI PRIMEWORKS STUDIOS

Primeworks Studios adalah syarikat produksi terkemuka di Asia Tenggara yang bergiat dengan pelbagai pengolahan kandungan kreatif seperti penerbitan TV dan filem, jualan kandungan syarikat, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, serta perlesenan dan perdagangan. Ia merupakan sebuah syarikat bertaraf antarabangsa yang telah menghasilkan lebih 3,000 jam isi kandungan hebat untuk pelbagai platform televisyen, pawagam dan digital setiap tahun. Juga, sebagai rumah produksi, Primeworks Studios adalah lambang mutu kreatif disamping pelbagai genre kandungan termasuklah hiburan, majalah, dokumentari, sukan, dan drama. 

MENGENAI EJEN ALI THE MOVIE

Ejen Ali The Movie mengisahkan tentang Ali, budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet  istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System). Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baru ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat. Pada saat itu, dia didatangi oleh individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu EJEN ALI demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

MENGENAI ALIF & SOFIA

Alif & Sofia adalah siri animasi 3D yang tersedia di platform YouTube, menampilkan kandungan interaktif yang sesuai  untuk kanak-kanak prasekolah hari ini. Alif yang berumur 5 tahun mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan aktif bertanya kepada kakaknya Sofia, yang berusia 7 tahun.  Sebagai kakak yang bertanggungjawap, Sofia cuba melakukan yang terbaik untuk membimbing dan menggalakkan adiknya berkongsi dan mencari jawapan bersama.  Sebagai kanak-kanak, mereka sangat gembira dan kagum meneroka dunia disekeliling mereka dan secara tidak langsung mereka belajar akan nilai-nilai yang baik melalui cerita, muzik, tarian dan permainan imaginatif.  Siri ini juga memupuk nilai-nilai murni mengenai Islam dalam menjalani kehidupan seharian, membantu dan memberi panduan kepada ibu bapa untuk berhubung dengan anak-anak mereka dan berkongsi pengalaman menerusi kandungan pembelajaran yang menghiburkan serta dapat menggalakkan perkembangan minda anak dengan baik.

ABOUT WAU ANIMATION

Wau Animation merupakan studio animasi kesan khas (CG) yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan anak muda yang berbakat besar dan kreatif yang mempunyai lebih daripada 10 tahun pengalaman dalam menghasilkan pelbagai siri animasi dan filem kesan khas yang pernah merangkul pelbagai anugerah tempatan. Misi utama Wau Animation adalah berazam dalam menghasilkan animasi yang mampu memberikan impak kepada para penonton di Malaysia dan juga peringkat antarabangsa. Wau Animation juga bermatlamat menghasilkan siri dan rangkaian cerita yang menghiburkan sekaligus dapat memberi inspirasi dan juga menerapkan intipati tempatan dalam mengetengahkan identiti Malaysia yang unik.

MENGENAI BLINDSPOT STUDIOS

Blindspot Studios Sdn Bhd adalah sebuah agensi reka bentuk dan studio animasi yang pernah memenangi anugerah Status MSC. Ditubuhkan pada tahun 2013, syarikat ini telah mengusahakan pelbagai projek berprestij dari pelbagai sektor swasta dan awam. Pakar dalam mengembangkan kandungan animasi pra sekolah yang menyeronokkan dan menarik.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Puma & Von Dutch Team Up For A Throwback Collection

Pelitup Muka Punca Muka Berjerawat, Apa Kata Ikuti Tip Mudah Ini