Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, berkata program GV7 akan dikendalikan tanpa penonton bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Penganjuran dua konsert mingguan yang kebetulan jatuh dalam fasa PKPB.
“Ini membabitkan konsert minggu kedua, Ahad ini dan minggu ketiga (25 Oktober) yang akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Namun, hanya kru produksi dan tenaga kerja yang berdaftar dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada suatu masa,”
– Emarina Mohd Kamal
Emarina berkata, sebarang perubahan jadual berkaitan program GV7 akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
“Sebarang perubahan mengenai penganjuran untuk konsert minggu keempat dan seterusnya akan diumumkan kemudian, tertakluk kepada perkembangan situasi semasa wabak COVID-19 serta kelonggaran yang diberi pihak berkuasa,”
– Emarina Mohd Kamal
Atas dasar tanggungjawab sebagai badan korporat, stesen penyiaran berbayar itu turut meminta orang ramai agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan. Dalam hal ini, tanggungjawab, disiplin dan pematuhan masyarakat amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia.
Ahad lalu, sidang media GV7 yang sering dianjurkan selepas konsert mingguan dibatalkan. Langkah itu diambil bagi menyahut saranan kerajaan menggesa rakyat Malaysia lebih berwaspada dan mematuhi SOP. Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri dan memakai pelitup muka di kawasan awam.
*Sumber: BH Online