Penyanyi, Noryn Aziz, 44, selamat diijabkabulkan bersama pasangannya, Shaik Rizal Sulaiman, 48, dalam satu majlis tertutup di Bukit Damansara, di sini, malam tadi.
Majlis akad nikah berlangsung dalam suasana norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan apabila hanya dihadiri 30 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan terdekat pasangan mempelai.
Mengulas majlis pernikahannya yang disifatkan sebagai mengejut, Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz berkata, awalnya, dia dan suami memilih tarikh 25 Oktober ini untuk hari bersejarah mereka.
Namun, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan hari ini, majlis berkenaan terpaksa dipercepatkan lebih awal.
“Untuk makluman, pada awalnya, saya dan suami ingin melangsungkan majlis akad nikah pada 25 Oktober ini. Bagaimanapun, majlis akhirnya diputuskan untuk diadakan lebih awal disebabkan PKPB bermula hari ini.
“Kami mahu meraikan hari bahagia bersama ahli keluarga dan rakan baik. Alhamdulillah, segala persiapan berjalan lancar dalam tempoh 24 jam dengan pertolongan keluarga dan sahabat.
“Saya bersyukur hajat dan keinginan tercapai serta dipermudahkan Allah SWT. Kami bersyukur segala-galanya diatur dengan mudah. Saya percaya, semua ini kebesaran Allah SWT,”
– Noryn Aziz
Mengimbau pertemuan dengan Shaik Rizal yang juga ahli perniagaan dalam industri pembangunan dan pembinaan, penyanyi yang popular menerusi lagu Fantasi O Realiti itu berkata, perkenalan mereka bermula sebagai rakan perniagaan.
“Kami berkenalan pada penghujung 2019 sebagai rakan perniagaan. Kami mula rapat dan serius menjalinkan hubungan pada pertengahan tahun ini. Syukur, akhirnya membawa ke alam rumah tangga.
“Semuanya berlaku sekelip mata. Saya dan suami tak pernah terfikir menjadi pasangan kekasih. Hubungan kami benar-benar secara profesional, namun suami banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri muzik.
“Lama-kelamaan saya dapat merasakan kehadiran suami amat menyenangkan saya dan keluarga,”
– Noryn Aziz
Juara program realiti, Gegar Vaganza musim kelima berkata, keperibadiannya suami juga memikat hatinya.
“Suami, seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan termasuk perniagaan.
“Selepas beberapa bulan hubungan menjadi lebih akrab dan banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya membuatkan kami sepakat untuk mengakhiri persahabatan kepada ikatan yang lebih suci,”
– Noryn Aziz
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkaya, dia mengharapkan tiada fitnah atau gosip yang akan dilemparkan dengan penjelasan itu.
“Saya mendambakan mahligai yang baru dibina ini berkekalan hingga ke akhir hayat, sekali gus menghadiahkan kebahagiaan hakiki buat kami berdua.
“Pada usia sebegini, tiada apa lagi yang diharapkan selain majlis pernikahan dirahmati Allah SWT dan rumah tangga yang berkekalan. Adalah penting buat saya supaya jalinan persahabatan ikatan cinta ini dihalalkan kerana ia bukanlah satu permainan.
“Terima kasih kepada rakan media atas sokongan dan doa buat kami berdua. Saya cuma berharap perkahwinan kami dapat dihormati tanpa apa-apa gosip dan fitnah yang tidak diingini. Kami amat pentingkan soal privasi secara peribadi dan keluarga,”
– Noryn Aziz
*Sumber: BH Online
Noryn Kembali Bergelar Isteri
Penyanyi terkenal yang juara program Gegar Vaganza musim kelima, Noryn Aziz kini disahkan selamat berkahwin dengan seorang usahawan bernama Shaik Rizal Shaik Sulaiman dalam satu majlis tertutup yang sederhana yang mana telah diadakan di Damansara semalam iaitu 13 Oktober 2020.
Majlis berkenaan difahamkan berlangsung dalam suasana norma baharu dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP). Pasangan pengantin ini nampak anggun dan ceria dengan mengenakan busana berwarna putih krim.
Dalam pada itu, Noryn Aziz dan suami dikatakan memilih untuk bernikah lebih awal berbanding perancangan awal pada tarikh 25 Oktober ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi negeri-negeri di Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.
Menurut laporan Astro Awani, mereka pada awalnya merancang untuk mengadakan majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka pada 1 November ini.
Namun begitu, segalanya terpaksa ditunda pada tarikh baharu sebaik sahaja selesai PKPB.
Untuk rekod, ini merupakan pernikahan kedua bagi pasangan berkenaan. Noryn Aziz juga sebelum ini pernah melangsung perkahwinan dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, namun mengambil keputusan untuk bercerai pada tahun 2018.
Hasil pernikahan itu juga, Noryn Aziz telah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Raja Bariq Umar Shah.
Sumber: Astro Awani