Biarpun berat melepaskan anak sulung menyambung pembelajaran di luar negara ketika dunia ‘berperang’ dengan COVID-19, Datuk Aaron Aziz, reda dengan pilihan Danish Anaqi, 16, mengejar cita-cita di Jepun. Aaron atau nama penuh, Aaron Mustapha Aziz, 44, percaya doa dirinya dan isteri, Diyana Halik sentiasa mengiringi anak lelaki tunggalnya itu.
“Saya dan isteri saya cuba mengingati apa yang kami lakukan pada usia 16 tahun. Ketika itu, kami tidak ada peluang seperti yang diperoleh Danish. Jadi apabila ada tawaran begini, mengapa kita mahu lepaskan.
“Kami mahu Danish menggunakan peluang sebaik-baiknya kerana ini keinginannya. Ini juga pengalaman yang akan mengajar dia berdikari.
Kami berdoa, berharap dan berserah kepada Allah supaya Danish dan anak-anak yang terpilih dari seluruh dunia itu dilindungi daripada perkara yang boleh dilihat dan tidak boleh dilihat,”
– Datuk Aaron Aziz
Semalam, Aaron menghantar Danish ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ‘terbang’ ke Jepun. Aaron turut memuat naik video mengucapkan selamat tinggal kepada Danish di Instagram (IG).
Aaron memberitahu, Danish berangkat ke Jepun bagi mengambil kursus pra diploma di sebuah sekolah selama tiga tahun.
“Kira-kira dua tahun lalu, Danish pernah ke sekolah yang sama bagi mengikuti aktiviti musim panas selama dua minggu. Ketika itu, dia tidak boleh membawa telefon. Alhamdulillah, semuanya baik-baik saja.
“Jadi, kami percaya dia selesa di sana kerana ada pengalaman sebelum ini. Kalau nak cakap risau, tipulah kami tidak risau apabila dia perlu menjalani ujian swab sebelum pergi dan apabila tiba,”
– Datuk Aaron Aziz
Aaron berkata, tidak dapat dipastikan bila Danish dibenarkan pulang berikutan pandemik yang melanda dunia sekarang.
Danish sepatutnya berangkat ke Jepun, Ogos lalu namun tertangguh akibat COVID-19.
Menjengah ke ruangan komen, rata-ratanya pengikutnya tidak lekang mendoakan agar Danish sentiasa dirahmati Allah SWT sepanjang menuntut ilmu. Malah tidak ketinggalan menitip kata-kata semangat untuknya sepanjang berada di tempat orang.
“@fatimahmohsin: Danish adalah seorang lelaki muda yang pintar, bertanggungjawab dan matang. Dia pasti akan cemerlang dan membuat anda dan @diyanahalik bangga. Kita akan pergi ke sana setelah semuanya baik-baik saja.
“@aieymanman: Semoga dipermudahkan perjalanan.
“@3mxputrxs: Semoga dia di bawah lindungan Allah swt sentiasa. Amin,” antara komen-komen pengikut.
Aaron yang mendirikan rumah tangga dengan Datin Diyana Halik turut mempunyai dua lagi cahaya mata, Dwi Ariana, 14, dan Dahlia Arissa, 10.
Selain Danish, Aaron mempunyai dua anak perempuan iaitu Dwi Ariana, 14 dan Dahlia Arissa, 10. Aaron mendirikan rumah tangga bersama Diyana Halik pada 2003.
*Sumber: BH Online