in , ,

Kisah Benar Drama Bersiri WARKAH DARI FIRENZA

Sebuah kisah benar dalam masyarakat Bugis yang berlatarkan tahun 1950an tentang seorang nelayan yang meninggalkan isteri dan anaknya untuk belayar sebagai kelasi kapal bagi mengubah nasib dirinya diceritakan dalam drama bersiri terbaharu, “Warkah Dari Firenza” disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 27 Mac ini, setiap Isnin dan Khamis, pukul 8.30 malam di TV2.

13 episod arahan Adinata Mohd Khalil ini menampilkan pelakon Ika Nabila, Zahiril Adzim, Syed Ali, Amai Kamarudin, Engku Fridah, Azhar Amir, Laila Nasir, Navilya Husna, Ikhram Juhari, Ziema Din, dan Rahhim Omar.  

Kisah bermula dengan Waliq, nelayan miskin yang berjaya merebut cinta Maddani dan memperisterikannya. Kehadiran Mosek kelasi kapal pulang ke kampung dan mengajak Waliq serta Paimin belayar bersamanya. Paimin menolak ajakan itu kerana ibunya tidak mengizinkannya sementara Waliq bersetuju kerana ini adalah peluang baginya untuk mengubah nasibnya walaupun Maddani keberatan melepaskannya. 

Warkah Dari Firenza poster

Masa berlalu Maddani ada menerima surat dan wang daripada Waliq. Paimin pula selalu mengambil berat kepada Maddani dan anaknya. Emak Paimin pula marah kerana Paimin tidak mahu berkahwin lagi selepas kematian tunangnya. 

Waliq telah sampai ke Genoa, Itali dan dia dibantu oleh gadis bernama Margaret mencari rumah. Mosek pulang ke kampung dan terserempak dengan Maddani. Maddani dapat tahu kapal Mosek dengan Waliq terpisah kerana dia ke China sementara Waliq pula ke Itali. Margaret menawarkan Walid bekerja di darat dengan bapanya dan tidak perlu belayar lagi. Rumah Maddani dimasuki perompak mujur Paimin berjaya menyelamatkannya. Namun perompak itu membakar rumah Maddani setelah wang ditemui.

Ditakdirkan Margaret berkahwin dengan Waliq dan mengambil alih perniagaan bapanya. Waliq juga mula belajar Bahasa Itali daripada Margaret. Margaret. Maddani yang sangat rindukan Waliq tertunggu-tunggu surat dari Waliq yang tidak kunjung tiba. Apatahlagi berlaku musibah dia difitnah Siti dan seluruh penduduk kampung percayakannya.

Warkah Dari Firenza 1

Margaret menjumpai surat daripada Maddani yang dimasukkan ke dalam begnya dahulu tanpa pengetahuan Waliq. Sedih apabila ibu dan bapanya dibunuh, Mosek memutuskan kembali belayar. Waliq menghantar surat kepada Maddani dan juga Paimin. Surat itu dirahsiakan daripada Maddani kerana Waliq beritahu dia telah berkahwin lain. Margaret pula mengandung.

Margaret menemui sebuah kotak yang dipenuhi dengan surat-surat bertulisan Bugis di bawah katil. Maddani tertunggu-tunggu surat balasan daripada Waliq tetapi dia hampa. Paimin menyarankan Maddani fasakh dengan Waliq dan menyatakan kesanggupannya untuk memperisterikan Maddani. Maddani memarahi serta menghalau Paimin dari rumahnya. 

Waliq menipu Margaret dengan mengatakan yang dia menulis surat kepada Paimin sedangkan dia menulis kepada Maddani. Anak-anak Maddani iaitu Rahma dan Ipah sudah remaja. Margaret pula melahirkan Rahman Eduardo. Paimin berkahwin dengan Nur tetapi tiada anak. Waliq menerima surat yang mengesahkan dia diterima menjadi warganegara Itali. Margaret tahu Waliq menerima surat-surat dari kampung dan membakar surat-surat tersebut selepas membacanya. 

Bapa dan ibu Maddani menyuruhnya bercerai dengan Waliq yang telah bertahun tidak pulang. Nur menuduh Paimin mempunyai hubungan sulit dengan Maddani dan pergi bersemuka dengan Maddani. Setelah Maddani menjelaskan keadaan yang sebenarnya, Nur meminta maaf kepada Maddani dan juga Paimin. Ayah Maddani meninggal dunia.

Waliq bermimpi orang tuanya meninggal. Waliq ingin pulang ke kampung secepat mungkin tetapi Margaret juga ingin mengikutnya pulang. Waliq menipu Margaret yang Maddani itu sepupunya. Margaret menemui gambar Rahma dan Ipah di dalam surat-surat Waliq dan bertanya kepada Waliq. Waliq terpaksa menghantar surat kepada Maddani mengatakan dia tidak dapat pulang semasa hari jadi Ipah nanti. Paimin datang membawa hadiah untuk Rahma dan Ipah.

Pelakon Warkah Dari Firenza

Ipah memberitahu ibunya yang dia ingin segera berkahwin kerana yakin dia akan gagal dalam peperiksaannya. Maddani memberitahu anak-anaknya yang dia tidak pernah mempunyai sebarang prasangka terhadap bapa mereka walaupun selepas 18 tahun Waliq tidak pulang. Maddani menulis kepada Waliq merayu supaya dia pulang untuk mewalikan pernikahan Ipah. 

Waliq memberitahu Margaret bahawa dia ingin pulang ke kampung untuk pernikahan anaknya dan Margaret juga ingin mengikutnya bersama. Maddani, Rahma dan Ipah mula membuat persiapan perkahwinan. Eduardo menyelongkar surat-surat bapanya dan menemui kad kahwin berserta foto lalu menunjukkan kepada ibunya. Margaret menjelaskan kepada Eduardo bahawa itu adalah foto saudara mara bapanya di kampung. Maddani menyiapkan pakaian sedondong untuknya dan Waliq untuk dipakai di majlis perkahwinan Ipah nanti.

Waliq membuat keputusan untuk pulang ke kampung bersendirian walaupun dihalang dan diugut oleh Margeret. Malangnya Waliq ditimpa kemalangan dalam perjalanan dan dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ipah tidak mengaku Waliq sebagai bapanya lagi kerana tidak pulang di hari perkahwinannya. Waliq sedar dari pengsan tetapi tidak lagi mengenal Margaret dan dia juga tidak tahu siapa dirinya sendiri. Maddani beranggapan bahawa Waliq tidak dapat pulang kerana sesuatu terjadi kepadanya dan dia akan terus menunggu kepulangan Waliq sampai bila-bila pun.

Maddani menerima surat dan kiriman wang melebihi kebiasaannya daripada Waliq sempena hari jadinya. Waliq rajin mengaji dan berdoa supaya dia diampunkan kerana telah menzalimi keluarganya yang jauh. Waliq keluar bersendirian dan terjatuh di jalan lalu dimasukkan ke hospital. Rahma membantu ibunya menelefon bapanya tetapi panggilan tersebut telah diangkat oleh Eduardo yang mengatakan Waliq sedang sakit. Rahma merahsiakan perkara ini kepada ibunya tetapi ibunya terdengar sewaktu dia memberitahunya kepada Ipah. 

Waliq memberitahu Margaret yang dia ingin pulang ke tanah air untuk meminta maaf kepada keluarganya di sana. Margaret membenarkannya dengan syarat Waliq membawa Eduardo bersama. Waliq menulis surat kepada Maddani dari katil hospital kerana dia khuatir tidak sempat pulang ke tanah air. Ipah membuat persiapan untuk perkahwinan Abby, anaknya di rumah ibunya. Sewaktu mengemas bilik neneknya untuk dijadikan bilik pengantin, Abby menemui kotak yang mengandungi surat-surat yang dia tidak faham tulisannya. Eduardo telah menempah tiket untuk bapanya pulang ke tanah air. Waliq telah keluar dari hospital dan merasa gembira kerana lagi seminggu dia akan pulang ke Malaysia.

Waliq ditemui meninggal dunia. Eduardo bertanggungjawab dalam menyampaikan amanat Waliq memohon kemaafan daripada Maddani dan anak-anaknya. Adakah usaha Eduardo berjaya? 

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aliff Syukri Menangis Airmata Darah Luah Rasa Kesal Dikecam Masyarakat

Sharifah Sakinah Amal Kunyah Petai Elak Masalah Depressi & Stress