Datangnya Tidak Diundang
Jin saka sangat popular di kalangan masyarakat Melayu. Pada zaman moden sekarang, masih ramai yang mempunyai saka samada secara sedar ataupun tidak sedar. Menyusuli “Durja Ningsun”, TV3 mempersembahkan sebuah lagi drama bersiri Seram, “Saka Jentayu”, bakal bersiaran mulai 25 November 2010, setiap Khamis jam 9.30malam.
Seram “Saka Jentayu” 13 episod terbitan Wayang Tinggi Production membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Zarina Zainordin, Ungku Ismail Aziz, Mubarak Majid, Liza Abdullah, Wan Hanafi Su, Hairi Safwan, Khairil Anwar, Fathil Dani dan Kuswadinata bersama pengarah Abdul Azizi Awang Ghazali serta penulis skrip Mohd Azmy Mohd Ariff.
Sesi penggambaran yang dijalankan di sekitar kawasan kampung di Malaysia dan juga kawasan pedalaman di daerah Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia telah mewujudkan suasana yang seram bagi drama ini. Berbeza dengan drama seram hantu yang biasa ditonton, Saka Jentayu memaparkan kisah jin saka yang diilhamkan daripada sumber cerita masyarakat Melayu. Keunikan drama tersebut juga memaparkan seni tradisi Minangkabau seperti teater Randai, Saluang Jo Dendang dan Pencak Silat.
Drama ini mengisahkan perjalanan cinta Jentayu (Zarina Zainordin) sering didatangi pelbagai halangan dan dugaan. Arwah suaminya meninggal ketika mereka berbulan madu. Selepas beberapa tahun, Jentayu bakal bertunang dengan Faris (Ungku Ismail Aziz). Malangnya, majlis pertunangan terpaksa dibatalkan kerana ibu Faris, Puan Sarimah diserang penyakit ganjil ketika mahu menyarungkan cincin ke jari Jentayu.
Jentayu sering diganggu oleh jin saka iaitu saka Inyiak Utieh milik datuknya, Tok Jalit (Hairi Safwan). Saka Inyiak Utieh mahu mendampingi Jentayu dan ia telah menimbulkan masalah di kampung.
Selepas kematian tragis Puan Sarimah, pelbagai cemuhan dilemparkan kepada ibu bapa Jentayu, Pak Suman (Mubarak Majid) dan Induk Awa (Liza Abdullah) sehingga memaksa mereka berpindah balik ke kampung Induk Awa. Jentayu dan Faris terpaksa berpisah. Faris memilih untuk mendalami ilmu agama dari Ustaz Hanafi (Fathil Dani).
Kepulangan keluarga Jentayu ke kampung tidak disenangi oleh Pak Sadun (Khairil Anwar). Jentayu pula sering diganggu oleh jin saka tersebut. Pak Suman telah meninggal dunia akibat perbuatan langgar lari. Hidup Jentayu dan Induk Awa bertambah sempit. Mereka terpaksa berdepan dengan fitnah dan cemuhan yang disebarkan oleh Pak Sadun.
Pelbagai cabaran yang mengganggu kehidupan Jentayu dan dia turut dikecewakan oleh Zamri. Akibat termakan hasut jin saka tersebut, Jentayu bersetuju untuk mewarisi jin saka nenek moyangnya. Semakin hari Jentayu semakin jauh dari ajaran agama. Apakah Faris dapat menyedarkan Jentayu ataupun Jentayu akan terus hanyut dalam dunia gelap?
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Populariti slot Seram terbukti dengan rating purata mencecah 2 juta penonton pada setiap minggu.
Tidak dapat dinafikan bahawa citarasa penonton yang menggemari drama-drama berunsur seram terus memberikan ilham kepada pihak produksi dan TV3 untuk mempelbagaikan persembahan jalan cerita.
Drama terbaru di slot Seram akan mengupas asal usul jin saka yang pernah diamalkan oleh nenek moyang masyarakat Melayu di Sumatera, Indonesia pasti memberikan pengajaran kepada para penonton supaya menjauhi kepercayaan tahyul dan mistik.”
Seram: Saka Jentayu akan menemui para penonton mulai 25 November 2010, setiap hari Khamis jam 9.30malam. Hanya di TV3!