in

Program Menarik TV9 Sempena Aidil Adha 2010

IKHLAS BERSAMA TV9 SEPANJANG AIDIL ADHA INI

Seminggu sahaja lagi, umat Islam akan menyambut hari paling bersejarah di dalam kalendar Islam iaitu sambutan Aidil Adha yang jatuh pada 10 Zulhijah (17 November 2010).

Pada hari tersebutlah semua umat Islam di dunia dapat memeperingati tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah mengorbankan anakanda baginda Nabi Ismail a.s. Sambutan Aidil Adha ini juga banyak memberi pengajaran tentang erti sebenar pengorbanan dan kesabaran demi mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Seiring dengan sambutan Aidil Adha ini, TV9 juga tidak ketinggalan menyusun beberapa rancangan menarik bersesuaian dengan temanya pada tahun ini iaitu Ikhlas. Bermula dengan kapsul 2 minit berjudul Kasih Ikhlas, yang dibawakan oleh seorang pendakwah berpengalaman iaitu Ustaz Syed Mohd Norhisyam, menceritakan tentang sejarah Nabi Ibrahim a.s. dan keistimewaan di sebalik sambutan Aidil Adha.

Kapsul Kasih Ikhlas ini akan mula disiarkan bermula Rabu (10 November) hingga 16 November pada jam 12.30 tengahari dan ulangan pada 6.30 petang dan 8.30 malam. Namun, pada sambutan Aidil Adha sendiri, ketujuh-tujuh episod ini akan disiarkan pada jam 10.00 pagi, 11.00 pagi, 12.30 tengahari, 6.30 petang, 7.30 petang, 8.30 malam dan 9.30 malam.

Selain daripada Takbir Raya yang bermula pada malam Aidil Adha, beberapa rancangan berbentuk perbincangan agama, bual bicara, drama dan juga dokumentari akan ditanyangkan. Berikut adalah antara rancangan-rancangan yang mewarnai minggu Aidil Adha anda semua.

16 November 2010 (Selasa)
HALAQAH : AKAL TRADISI ILMU – DI SEBALIK KAABAH
10.00 malam

Istimewa siaran Hari Raya Aidil Adha Halaqah ~ Akar Tradisi Ilmu ~ tampil membawakan topik ” DI SEBALIK KAABAH ” menampilkan Dr. Azhar Sarip, Jurulatih Kecerdasan Emosi & Spiritual akan cuba membawa kepada penonton nilai tambah ilmu dari aspek yang jarang diketahui oleh umat Islam iaitu Kaabah yang semenjak ribuan menjadi Kiblat mereka. Mengupas tentang jutaan umat Islam dari segenap pelusuk dunia menghadap wajah dan hati ke arahnya apabila mengerjakan solat. Berada di tengah-tengah pusat bagaikan jantung kepada planet bumi. Di kunjungi jutaan umat Islam ketika melakukan ibadah Haji dan Umrah. Ia binaan segi empat yang tidak sama ukurannya menjadi medan gerakan tawaf mengikut arah lawan jam. Topik ini akan menghuraikan Kaabah dari aspek Sains Fizik dan Spiritual serta gelombang yang bergetar di sekeliling Kaabah dan kesannya kepada para jemaah bertawaf dan penduduk sekitar Mekah. Pernah kita terfikir kenapa Kaabah ditutupi kelambu berwarna hitam? Apa yang sedang berlaku ketika tawaf dilakukan serta kenapa putarannya berdasarkan arah lawan jam? Kenapa tawaf dikerjakan sebanyak tujuh pusingan? Ketahui mengapa seseorang yang sakit menjadi lebih sihat ketika berada di Mekah? Apakah bentuk gelombang yang berada di sekitar Kaabah? Ketahui bagaimana tekanan Graviti yang tinggi berhampiran Kaabah mengeluar Air Zam-Zam tanpa pernah Putus? Benarkah Kaabah mengalir gelombang infiniti hingga dapat di kesan oleh Neil Amstrong ketika berada di bulan? Dan benarkah gelombangnya menembusi hingga ke langit yang ke tujuh?
Ketahui semuanya ini dalam Halaqah, istimewa Aidil Adha, 10 malam, 16 November 2010 sehari sebelum sambutan Aidil Adha.

17 November 2010 (Rabu)
NASI LEMAK KOPI O – AIDIL ADHA
8.00 pagi

Nasi Lemak Kopi O istimewa Aidil Adha kali ini amat istimewa kerana ramai hos terlibat menjayakannya seperti Aziz Desa, Sharifah Nur, Sharifah Shahirah dan Fimie akan menghiburkan anda semua di rumah. Antara yang ditampilkan adalah berlintas langsung dari Kedah meninjau keadaan mangsa banjir dan melihat secara dekat bagaiaman mereka meraikan Aidil Adha tanpa sebarang persiapan setelah rumah mereka ditenggelami banjir. Pada masa yang sama, rancangan bual bicara ini juga mengadakan lintas langsung di Masjid Kampung baru melihat acara korban dijalankan di sana. Turut menjadi tetamunistimewa pada pagi itu adalah seorang chef dan seorang ustaz yang akan menceritakan tentang cara afdal membahagikan daging korban dan chef tersebut juga akan menunjukkan car masakan daging yang boleh dikongsi bersama orang ramai.

KAK KIAH SERUNDING
12.30 tengahari

Drama yang pernah dicalonkan untuk Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2009 ini mengisahkan tentang Kak Kiah yang terkenal dengan serundingnya yang sedap. Dia selalu memberi serundingnya kepada jiran tetangga. Kak Kiah juga gemar melaram kerana baginya dengan berpakaian cantik, ia dapat melariskan penjualan serundingnya. Suatu hari, Kak Kiah berkunjung ke rumah Salbiah yang juga bakal menjadi besannya. Kak Kiah berasa iri hati apabila apabila mendapat tahu anak Salbiah iaitu Zaiton pandai membuat serunding dan kebetulan pula serunding Zaiton lebih sedap daripada serunding Kak Kiah. Drama menarik ini dibintangi oleh barisan pelakon handalan seperti Kartina Aziz, Rosnah Mat Aris, A.R. Badol, Hasnol Rahmat dan Catriona Ross.

INSYALLAH MAHER ZAIN
6.30 petang

Berkenalan dengan lebih dekat penyanyi kacak yang berasal dari Lubnan dan kini menetap di Sweden. Penyanyi yang membawa fenomena industry muzik berunsur agama di Asia Tenggara dan Eropah. Ketahui bagaimana dunia hiburan New York menukarkan beliau daripada penyanyi rap kepada penyanyi dakwah. Kisah disebalik lirik dan lagunya sehingga memberi kesan mendalam kepada setiap pendengar. Lagu-lagunya mendapat kedudukan tertinggi dalam carta muzik. Lagu Ya Nabi Salam Alaika dari album Thank You Allah telah memenangi anugerah The Award For Best Religious Song For 2009 di Nogoom FM sebuah stesen radio yang popular di negara Arab.Maher mengalahkan nama-nama besar seperti Sami Yusuf,Hussein Aljasmi dan Mohammad Mounir. Album “Thank you Allah” carta penjualan tertinggi 10 albums di Amazon UK dan album “Thank You Allah” juga album 5 jualan tertinggi di Virgin Megastores di Timur Tengah. Maher Zain jurutera aeronautical, penyanyi rap dan kini menyanyi untuk berdakwah dalam Insya-Allah Maher Zain di TV9.

Maher Zain (1)

JANJI DENGAN NAJWA
9.35 malam

Drama ini menceritakan tentang pengorbanan seorang ayah setelah kematian isteri tercinta dan juga pengorbanan seorang abang sulung menjaga adik-adiknya. Kisah ini bermula apabila Pak Uzir yang kematian isteri terpaksa menjalani kehidupan tanpa isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Pak Uzir mempunyai lima orang anak iaitu Alif (18 tahun), Aina (14 tahun), Akma 12, Ayie 10 dan Afiq 8. Setiap hari apabila turun ke laut, Pak Uzir akan menasihati anak sulungnya Alif untuk menjaga adik-adiknya. Pak Uzir yang bekerja sebagai nelayan menjalani kehidupana yang sederhana dan tidak mahu memikirkan tentang pengganti kepada arwah isterinya. Pak Uzir risau jika Perempuan yang dikahwini kelak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak kesayangannya.

Janji Dengan Najwa (4)

Pak Uzir amat beruntung kerana anak-anak perempuannya semua rajin ke dapur dan menyediakan makan dan minum mereka sekeluarga. Alif terutamanya sanggup berkorban masa hadapannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti walapun mempunyai harapan yang cerah. Setiap kali apabila Pak Uzir lewat pulang ke rumah, Alif akan membawa adik-adiknya ke jeti menunggu kepulangan ayah mereka. Namun pada suatu hari, cuaca amat buruk dan Alif berasa tidak sedap hati. Adik-beradiknya juga turut menangis dan risau tentang keselamatan ayah mereka, Untuk menyedapkan hati mereka, Alif membawa mereka ke jeti. Adik-adik yang tidak memahami mula membuat kesimpulan, ayah telah mati ditelan ombak. Ada dua tiga orang sedang menunggu dan Alif juga tidak terkecuali. Pelbagai andaian berserabut di kepala Alif. Apakah sebenarnya terjadi? Harapan Alif semakin menipis namun dia perlu menyembunyikan perasaannya. Adakah Pak Uzir ditelan ombak atau terperangkap di dalam ombak? Lakonan mantap daripada Wan Hanafi Su, Fauzi Nawi, Mohd Hanis Kamarulazaman dan Ezlisa Loy pastinya meruntun hati sesiapa sahaja yang menontonnya.

18 November 2010
SELANGKAH KE SYURGA
12.30 tengahari

Drama yang menyayat hati ini mengisahkan tentang pengorbanan Pak Jalil lakonan Jalil Hamid yang telah menyimpan wang hasil titik peluhnya untuk mengerjakan Haji di Tanah Suci Mekah. Isterinya telahpu meninggal dunia dan dia hidup kesepian walaupun mempunyai sepasang anak bernama Farhana (Watie-Elite) dan Farhan (Zulhuzaimy). Anak-anaknya bekerja di Kuala Lumpur dan tinggallah Pak Jalil menjalani kehidupan di kampung keseorangan. Hasrat Pak Jalil ditentang oleh anak-anaknya berikutan usia Pak Jalil yang sudah tua. Pak Jalil amat kecewa dengan keputusan anak-anaknya dan telah pergi ke Tabung Haji sendiri bagi menguruskan perkara tersebut tanpa bantuan anak-anaknya. Suatu hari Pak Jalil bermimpi bahawa dia didatangi oleh seorang tua yang mengatakan dia akan ke Mekah. Namun, keesokan harinya, Farhan dan Farhana sangat terkejut apabila mendapati ayahnya telah meninggal dunia pada pagi Hari Raya Aidiladha itu.

CORETAN DI TANAH SUCI
6.30 petang

Program ini menceritakan tentang pengalaman beberapa jemaah haji dan umrah mengerjakan ibadah mereka sepanjang berada di Tanah Suci Mekah. Antara yang berkongsikan pengalaman adalah Dato’ Mat Daud Che Ngah, Haji Hasni, Hajah Arbi dan Dr Muhamad Jantan.

19 November 2010 (Jumaat)
SELUHUR NAZAR
12.30 tengahari

Drama ini mengisahkan tentang Fatimah, seorang ibu tunggal yang bernazar untuk mengorbankan seekor lembu sempena Aidiladha. Suatu hari tanpa diduga, dia telah dirompak dan ketika bergelut untuk menyelamatkan diri, kepalanya telah dipukul oleh perompak dan dibiarkan di tepi jalan. Keadaan Fatimah yang kritikal telah mendesak anak-anaknya untuk menunaikan hajat terakhir ibu mereka. Drama ini dilakonkan oleh Elly Suriati, Syafie Naswip, Rozita Che Wan, M. Rajoli dan Zed Zaidi.

KOTA SALAHUDDIN
6.30 petang

Kisah mengenai perjalanan krew TV9 mengikuti rombongan sukarelawan Aman Palestin menjejak kesan sejarah dan peninggalan Salahuddin Al-Ayubbi, iaitu seorang pejuang Islam yang berjaya membebaskan Palestin daripada penguasaan tentera Salib pada tahun 583 Hijrah. Tujuannya adalah untuk melihat kehebatan peninggalan Salahuddin dalam membebaskan dan mempertahankan bumi Palestin. Ia juga adalah untuk memberi iktibar kepada rakyat Malaysia bagi meningkatkan semangat juang membantu rakyat Palestin. Seterusnya adalah kisah misi Aman Palestin menyampaikan sumbangan daging korban daripda sumbangan penduduk Malaysian kepada pelarian Palestin di sekitar Lubnan. Krew TV9 juga menjenguk kehidupan pelarian Palestin yang serba daif. Temu bual bersama ketua rombongan Aman Palestin iaitu Ustaz Mohd Nadzmi Mohd Nadzir mengenai misi Aman Palestin menjejeaki tiga Negara iaitu Jordan, Lubnan dan Syria serta mengapa Salhuddin menjadi pilihan.

Sesungguhnya keikhlasan dan keluhuran yang ada di dalam hati setiap insan dapat menginsafkan kita sebagai umat Islam. Oleh itu, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan rancangan-rancangan yang penuh dengan nilai keikhlasan, keluhuran dan pengorbanan khas buat penonton setia TV9.

Selamat menonton!

Adegan menarik dari Janji Dengan Najwa

Janji Dengan Najwa (5)

Janji Dengan Najwa (1)

Janji Dengan Najwa (2)

Janji Dengan Najwa (3)

Insyaallah Maher Zain

Maher Zain (2)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AirAsia adds Direct Flight for Kuala Lumpur – Chennai

AirAsia X Returns With Amazing Low Fares