Baginya, tiada pasangan suami isteri yang tidak mengharapkan dikurniakan cahaya mata, cuma apabila terlalu berharap, mungkin boleh menjadi sebagai tekanan.
“Apabila terlalu mengharap, itu yang menjadi punca tak dapat. Saya dan suami tenang sahaja kerana percaya Allah sudah tentukan yang baik, cuma jangan putus berusaha.
“Bagaimanapun, ia boleh menjadi satu tekanan sekiranya terlalu memikirkan sangat.
“Saya hanya berjalan ke depan dan ikut percaturan terbaik kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Jadi, saya serahkan pada qada dan qadar, jalani hidup seperti biasa. Insya-Allah, adalah rezeki, cuma cepat atau lambat,” katanya kepada BH Online.
Elly berkata, dia tahu ramai tertanya-tanya sama ada dirinya sudah berbadan dua atau sebaliknya.
“Saya mohon doakan yang terbaik buat saya dan suami.
“Saya suka ikut nasihat orang tua. Jika usia kandungan masih baharu, jangan berkongsi lagi. Sebab bimbang sifat teruja boleh membawa perkara yang tidak diingini.
“Sampai masa, saya akan kongsi berita gembira dengan semua. Sudah tentu, saya nak berahsia dengan teman media dan peminat,” katanya.
Elly Mazlein dan suami, Mohamad Azlan Che Nuh bahagia dengan fasa baharu dalam kehidupan. – Foto IG Elly Mazlein
Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dirinya bahagia bersama suami tersayang.
“Syukur, sangat bahagia dapat menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan wanita bekerjaya. Semoga kebahagiaan ini berpanjangan dan Allah melindungi keluarga saya,” kata ibu Putri Sara Sefhia itu.
Elly dan Mohamad Azlan Che Nuh yang juga bertugas sebagai guru mendirikan rumah tangga pada 17 Januari lalu selepas lebih setahun berkenalan.
Dalam perkembangan lain, Elly berkata, drama rantaian, Kampung People musim kedua akan mula bersiaran pada 17 September ini.
Seterusnya, Elly akan menjayakan program masakan, Senduk Kuali Bersama Kak Lina Pom Pom sebanyak 29 episod terbitan RTM untuk siaran Ramadan tahun depan.
Sibuk dengan bidang lakonan dan pengacaraan, Elly berkata, dia tidak menolak untuk mengeluarkan single terbaharu.
“Jadual agak padat sekarang. Saya mahu fokus dengan rakaman single terbaharu selepas rakaman program masakan selesai pada November depan.
“Single baharu yang bakal dirakamkan adalah ciptaan penyanyi dan komposer muda, Aina Abdul,” katanya.
*Sumber: BH Online