Pengacara dan penulis lirik terkenal Ahmad Fedtri Yahya, 39, diberitakan telah terlibat dalam satu kemalangan kecil pada Rabu.
Isteri Fedtri, Nurul Anati Ismail, 35, memaklumkan hal itu menerusi Instagram dan memohon orang ramai mendoakan suami segera sembuh.
“Assalamualaikum. Suami saya, Ahmad Fedtri Yahya, terlibat dalam kemalangan dan selesai menjalani pembedahan malam tadi.
“Banyak kecederaan di muka. Semuanya sudah dijahit sempurna.
“Alhamdulillah. Doakan yang terbaik untuk kesembuhannya,”
– Nurul Anati Ismail
Ahmad Fedtri Yahya cedera selepas terjatuh dalam kejadian di tempat letak kereta di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.
Ahmad Fedtri cedera pada bahagian muka iaitu kening kiri dan bibir sehingga perlu dijahit.
Mengesahkan perkara itu, TV3 dalam kenyataannya memberitahu, Ahmad Fedtri sedang dirawat di hospital.
“Insiden membabitkan basikal berlaku di tempat letak kereta Sri Pentas selepas siaran langsung MHI, semalam. Ahmad Fedtri sudah selesai menjalani prosedur rawatan dan sedang berehat di hospital.
Pengacara program Malaysia Hari Ini itu kini mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan KPJ Damansara.
“Terima kasih atas keprihatinan rakan-rakan media. Sama-sama kita doakan semoga Ahmad Fedtri cepat pulih,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ahmad Fedtri melalui mesej kepada BH Online mengesahkan sedang menjalani rawatan susulan akibat insiden itu.
“Saya hendak membuat pemeriksaan x-ray… Malam tadi, saya selamat menjalani pembedahan kecil.
“Saya mengalami patah tulang pipi, dahi dan bibir koyak serta hidung beralih kedudukan sedikit,” katanya.
Isteri penulis lirik terkenal itu turut memaklumkan kejadian menimpa suami melalui Instagram (IG), kira-kira enam jam lalu.
Entri itu turut memaparkan wajah Ahmad Fedtri yang cedera akibat insiden itu.
Sementara itu, rata-rata rakan artis dan pengikutnya mengucapkan takziah dan mendoakan agar penulis lirik lagu Basyirah itu diberi kesembuhan.