Menurut Fizz, apa sahaja penyakit dialami itu adalah penghapus dosa dan semoga dipermudahkan segalanya.
“Insya Allah, doa daripada semua akan menyembuhkan isteri saya. Take care (jaga diri) sayang,” kongsinya di Instagram.
Menerusi hantaran perkongsian dibuat Fizz itu, ramai mendoakan Almy kembali sihat. Rata-rata berharap Almy tabah berhadapan ujian.
Menurut Fizz, isterinya di masukkan ke sebuah hospital swasta di Setapak semalam selepas mengalami sakit perut yang teruk.
“Menerusi pemeriksaan, doktor mengesahkan Almy menghadapi masalah batu karang dalam hempedu.
“Bagaimanapun, Almy perlu menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnet (MRI) untuk menentukan rawatan sesuai membuang batu karang berkenaan,” katanya.
Menurut Fizz, masalah batu karang dalam hempedu dialami Almy tidak kritikal, tapi banyak dan halus-halus.
Fizz memaklumkan, dia bersyukur melihat keadaan kesihatan isterinya sekarang semakin baik.
Fizz dan Almy mendirikan rumah tangga pada 2014 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Sumber: Harian Metro