Platform OTT meraih capaian 95% penonton untuk rancangan Cina di Malaysia, 80% lebih tinggi berbanding jumlah yang dicapai oleh saluran TV tradisional, menurut tinjauan terkini Nielsen.
Kaji selidik yang dilakukan oleh peneraju platform penstriman Asia, iQIYI ke atas ‘Penonton Kandungan Cina di Malaysia’ mendapati, penstriman OTT bagi kandungan rancangan Cina lebih meluas berbanding cara tontonan rancangan Cina secara langsung di saluran TV tradisional.
Walaupun majoriti (76%) responden menonton kandungan Cina menerusi kedua-dua saluran iaitu OTT dan TV tradisional, namun satu daripada lima responden menonton kandungan Cina secara eksklusif menerusi platform OTT. Dengan fleksibiliti untuk menonton pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, separuh daripada responden menonton kandungan Cina melalui peranti mudah alih secara minimumnya beberapa kali seminggu, dengan 28% daripada responden menonton menerusi telefon mudah alih setiap hari.
iQIYI percaya terdapat juga sentimen positif yang semakin meningkat terhadap kandungan Cina daripada penonton yang bukan berbangsa Cina. Tinjauan itu menunjukkan, walaupun 49% daripada penonton kandungan Cina di Malaysia adalah berbangsa Cina, namun mereka yang berbangsa Melayu atau bumiputera juga telah menyamai angka terbabit, manakala bakinya adalah daripada bangsa lain.
Antara genre kandungan Cina yang tersedia, filem Cina (C-movies) dan drama bersiri Cina (C-dramas) menjadi kandungan paling popular dalam kalangan penonton Malaysia dengan masing-masing mencatat 79% dan 71%. Walaupun kurang popular, C-animation, menarik penonton yang lebih tinggi dalam kalangan penonton lelaki dan bapa muda.
“Kami telah perhatikan peningkatan dalam tontonan kandungan Cina dalam kalangan penonton, terutama mereka yang bukan berbahasa Cina. Penonton telah menjadi lebih terbuka dalam penggunaan bahasa untuk hiburan mereka dan OTT telah membolehkan mereka menikmati kandungan ini menerusi penggunaan sari kata. Secara jelas, kami percaya kandungan Cina akan kekal dan dijangka terus menarik minat penonton dalam masa terdekat. Pendekatan iQIYI adalah akan sentiasa memberikan fokus untuk menghargai kandungan Asia yang asli dan berbeza. Kami akan terus berusaha untuk menawarkan hiburan premium Asia kepada penonton, selaras dengan komitmen kami untuk menjadi hab hiburan Asia yang digemari,” kata Dinesh Ratnam, Pengurus Besar iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei.
Dalam kajian yang sama, 95% penonton Malaysia bagi kandungan hiburan Cina dilihat menghabiskan lebih banyak masa untuk menonton kandungan Cina pada masa hadapan berbanding sekarang. Ini menunjukkan minat berterusan untuk kandungan tersebut dalam kalangan penonton Malaysia. Faktor yang dijangka mendorong peningkatan dalam tontonan rancangan Cina OTT adalah kepelbagaian judul, kesinambungan sosial, penambahbaikan yang berbaloi dengan nilai dan iklan yang relevan.
Mengenai Kaji Selidik
Analitis Media Nielsen: Penonton Kandungan Cina di Malaysia, November 2022, Khalayak 18+ yang menonton sebarang kandungan hiburan Cina dalam tempoh satu bulan.
Tinjauan ini dilaksanakan menggunakan sampel 400 responden berusia 18 dan ke atas di Malaysia yang menonton mana-mana genre berikut: drama Cina, filem Cina, rancangan varieti berbahasa Cina dan animasi Cina dalam tempoh satu bulan.