Memetik BH Online, Ezad mengakui tidak pandai dalam pelajaran serta meminta mereka diluar sana untuk belajar selagi ada peluang dan tidak menjadi seperti dirinya.
“Saya akui, tidak pandai dalam pelajaran. Tindakan saya meninggalkan alam persekolahan dan terus terjun ke bidang nyanyian adalah pengorbanan besar yang pernah dilakukan dalam hidup.
“Dari Alor Setar, Kedah, saya sambung tingkatan lima di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur. Namun, pelajaran saya tidak ke mana, malah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun lingkup.
“Jangan contohi saya, belajarlah selagi ada ruang dan peluang. Ketika saya meninggalkan alam sekolah untuk menjadi artis, ramai anggap tindakan saya tidak bijak. Ada yang anggap nasib artis tidak semuanya indah,”
– Ezad Lazim
Meskipun memilih kerjaya sebagai artis, Ezad berkata dia tidak menyesal dengan pilihannya namun kesilapannya terjerumus dengan dadah adalah penyesalan terbesar dalam hidupnya.
Berdepan zaman kejatuhan dan kegelapan hingga hampir putus asa dalam hidup, bagaimanapun Ezad bangkit dengan sokongan keluarga dan peminat.
“Najis dadah juga membuatkan kehidupan dan kerjaya saya hampir musnah. Namun, berkat sokongan keluarga dan peminat yang sentiasa memberikan semangat, saya bangkit semula dan belajar berubah menjadi insan lebih baik.
“Saya bertuah kerana isteri tersayang, Nor Azeana Ramli menjadi nadi dan tulang belakang. Isteri jugalah yang menguruskan perjalanan kerjaya saya.
Alhamdulillah, saya masih berdiri atas paksi yang sama iaitu berkongsi karya seni buat peminat yang setia menyokong,”
– Ezad Lazim