Kisah di ilhamkan daripada hak-hak poligami yang sangat sinonim dengan masyarakat kita sekarang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan telemovie sarat pengajaran bertajuk “3 Kali Sayang” disiarkan menemui penonton pada 31 Januari ini, pukul 10.30 pagi di TV1.
Menghiburkan penonton mengisi slot popular Panggung Ahad, telemovie komedi kekeluargaan ini mengetengahkan pelakon yang terkenal dengan sisi lawak mereka seperti Raja Azrey, Sharifah Sahora, Zenna Felicia, Yussham Raja Lawak, dan Fathil Dani. Malah menariknya drama ini turut dibintangi salah seorang pelawak berasal dari negara seberang iaitu Vicha SayWho.
Cerita berkisarkan tentang seorang lelaki iaitu Dato Kamil Al Quyyub. Orangnya sangat licik dalam menyusun strategi hidup agar di sayangi serta di kasihi penuh kepercayaan oleh isteri-isterinya.
Berbekalkan sebuah rumah banglo yang sederhana mewah, dia berusaha menjalani kehidupan seharian untuk membahagiakan isteri-isterinya walaupun pada hakikatnya dirinya dihimpit kesusahan untuk menyara diri yang situasi itu seringkali membuatkannya tertekan.
Maka terjadilah kekecohan apabila isteri-isteri yang disayangi dan dikahwini telah tinggal bersama di bawah satu bumbung. Pelbagai ragam dan karektor yang di miliki oleh isterinya tidak membebankan hidup Dato Kamil, malah dia berasa sangat gembira apabila berjaya mendekatkan isteri-isterinya di dalam satu bumbung.
Dengan bantuan pemandu sambilannya iaitu Beejay, Dato Kamil telah merangka satu projek baru demi membahagiakan isteri-isterinya. Namun begitu usahanya itu tidak di terima oleh mereka yang sentiasa mahukan perhatian lebih daripada suami mereka.
Bila Dato’ Kamil asyik jatuh cinta, maka bertambahlah ‘madu’ untuk isteri-isterinya itu. Apakah strategi yang dilakukan oleh Dato Kamil untuk membahagiakan mereka? Ikuti kesudahannya di TV1.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.