Pagi-pagi lagi Budiey bangun seawal jam 6 pagi pada hari ini semata-mata mahu buat liputan untuk Pembukaan Besar-Besaran IKEA Malaysia cawangan kedua di Cheras. Rasanya, Budiey tidaklah seteruja rasa pertama kali menjejak kaki di sini semasa Hari Keluarga Pekerja IKEA minggu lepas. Namun, apa yang membezakan ialah, jumlah manusia yang berada di sini pada hari ini sangat ramai ya.
Pembukaan ini juga serentak untuk mengalu-alukan pelanggan setia IKEA dengan mengadakan Malaysia’s Biggest Housewarming Party.
Ada empat barang yang dijual dengan harga termurah di Ikea Cheras sempena pembukaan pada hari ini. Antara yang paling laris ialah Sofa yang berharga RM199 dan juga side table yang berharga RM39.
Gedung seluas 42,000 kaki persegi itu dikatakan menempatkan 8,500 produk dan nampaknya Ikea Cheras yang terletak di Jalan Cochrane, Cheras ini menerima kunjungan ramai pelanggan pada hari pembukaan. Dengarnya, ada kawan yang datang terpaksa pulang gara-gara terpaksa menempuh jalan yang sesak.
Namun, apa sahaja rungutan, masih ramai pelanggan yang mahu beratur panjang sehingga ke luar pintu masuk. Super duper excited betul. Manakan tidak, seawal jam 8 pagi lagi, sudah ramai pelanggan yang beratur panjang untuk menjadi pelanggan pertama yang membeli belah di sini.
Pada jam 8 pagi juga, Budiey lihat ramai media hadir dan mereka dilayan dengan disediakan sarapan pagi di ruang restoran sementara menantikan acara pembukaan rasmi berlangsung pada jam 9 pagi.
Cawangan kedua ini merupakan 20 peratus lebih besar dari cawangan pertama Malaysia yang terletak di Mutiara Damansara, Petaling Jaya dan yang penting sangat dekat dengan KLCC dengan hanya mengambil 5 minit sahaja.
Gedung terbesar IKEA di negara ini turut dirasmikan oleh Duta Sweden ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Bengt G Carlsson dengan gimik perasmian tradisi Sweden, iaitu dengan menggergaji kayu log sebagai tanda simbolik permulaan.
Dengan tema “Pembukaan IKEA Cheras yang baharu”, IKEA kini dibuka Isnin hingga Jumaat dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 malam, manakala hari Sabtu dan Ahad waktu operasi bermula jam 9.30 pagi hingga 11 malam.