in

500,000 Pengunjung Meriahkan Karnival Jom Heboh Johor Bahru

TERUS HEBOH SELEPAS 11 TAHUN!
Hampir 500,000 Pengunjung Meriahkan Angsana Johor Bahru

[dropcap]S[/dropcap]ejak diperkenalkan 11 tahun yang lalu, Karnival Jom Heboh jelas sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia terutamanya penonton-penonton setia TV3. Bermula dengan acara padang pada tahun 2003 yang menjadi platform kepada pihak stesen untuk mendekati jutaan penonton setianya tanpa mengira bangsa dan lapisan umur, Jom Heboh kini menjadi satu fenomena pada setiap kali penganjurannya di lokasi-lokasi terpilih.

Persembahan Faizal Tahir bersama Royal FT Force di 9X Gig

Seramai hampir 500,000 orang pengunjung telah hadir ke Karnival Jom Heboh yang berlangsung selama dua hari, 30 & 31 Mac (Sabtu & Ahad) lepas di Angsana Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Sempena konsep ‘Rekreasi & Riadah’, Karnival Jom Heboh edisi tahun 2013 (KJH 2013) memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik di gerai-gerai kendalian TV3 seperti Cereka, Studio 3, Selera@Jom Heboh, Bananana! Land, Wow Bag! dan Kota Ilmu yang memuatkan segala maklumat, cenderamata eksklusif dan promosi program-program TV3.

Atas dasar keprihatinan dan sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya, Karnival Jom Heboh dimulakan dengan program amal di lokasi-lokasi yang dikunjungi. Pada hari Jumaat (29 Mac 2013), rombongan KJH 2013 yang diketuai oleh Puan Zuraidah Atan, Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan, Media Prima Berhad dan disertai oleh barisan personaliti TV3 dan artis popular, antaranya, Maria Tunku Sabri, Hazlin Hussain, Zakiah Anas, Hazrena Kassim, Nor Azzura, Fariha Onn, Shadiya Abbas, Helmi Yusof, Tam Suhaimi, Afiq Muiz, Eina Azman, Tunku Hanis, Siti Elizad dan Adam Shah telah menyempurnakan aktiviti gotong-royong membaik pulih serta menaik taraf Sekolah Tabika Kemas di Desa Rahmat, Tampoi, Johor Bahru yang menelan kos berjumlah RM 13,000.00.

Antaranya, membaiki saluran air dan tangki air, membaiki saluran longkang, menambah bumbung, kerja-kerja mengecat keseluruhan tabika, menggantikan kipas siling, kipas dinding, pintu pagar dan banyak lagi.

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad,

“Alhamdulillah…Saya bagi pihak TV3 amat bersyukur kerana Karnival Jom Heboh terus mendapat sambutan hebat walaupun sudah memasuki tahun penganjuran yang ke-11. KJH tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan daripada penonton setia TV3 dan para pengunjung yang tidak pernah jemu datang tanpa mengira cuaca panas atau hujan.

Selain itu, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menjayakan penganjuran KJH 2013 di negeri Johor terutamanya Kerajaan Negeri Johor, PDRM Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru, pihak penaja, personaliti TV3 dan artis-artis yang turun padang.”

“Selama 10 tahun penganjuran, KJH pernah memperkenalkan Soopa Doopa, Petting Zoo, Pameran Astronomi dan tahun ini, KJH 2013 mengetengahkan pula Selera@Jom Heboh, Wow Bag! Booth, Bananana! Land dan One Stop Centre sebagai tarikan terbaru. Kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan menyajikan program-program terbaik supaya Jom Heboh 2013 terus dilihat sebagai tempat beriadah serta mengisi waktu lapang di hujung minggu untuk orang ramai”, tambah Encik Izham.

Secara kolektif, Karnival Jom Heboh adalah antara karnival yang paling berjaya dan meriah yang pernah dianjurkan. Ia telah memberikan banyak manfaat kepada para pengunjung untuk menjadi wahana penjana minda dengan pelbagai pameran dan aktiviti yang berteraskan ilmiah di samping dapat berhibur bersama-sama artis-artis popular dan juga personaliti-personaliti TV3. Sambil berhibur, Jom Heboh juga meletakkan Tabung Wira Lahad Datu di gerai-gerai program bagi mengumpul dana untuk keluarga ahli pasukan keselamatan yang terkorban dalam misi Ops Daulat Lahad Datu.

Persembahan dari Monoloque turut memeriahkan 9X Gig

Tarikan terbaru KJH 2013 semestinya Selera@Jom Heboh, Wow Bag! Booth, Bananana! Land dan Kiosk Perkhidmatan selain mengekalkan gerai Cereka, Studio 3 dan Kota Ilmu. Selera@Jom Heboh yang berkonsepkan “food pavilion” ini mengetengahkan pelbagai jenis makanan tradisi di Malaysia mengikut lokasi yang dikunjungi. Selain itu, Selera@Jom Heboh juga mempamerkan dan menjual buah-buahan tempatan yang segar keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pertandingan menghias kek, demonstrasi masakan daripada chef selebriti dan banyak lagi akitviti menarik yang melibatkan penyertaan pengunjung.

Wow Bag! Booth menjual koleksi cenderahati eksklusif dari semua rangkaian televisyen dan radio Media Prima Berhad seperti TV3, TV9, ntv7, 8TV, Bananana!, HOT FM dan Tonton. Di sana, selain membeli pelbagai cenderahati yang ditawarkan dalam pakej RM15 dan RM 25, para pengunjung juga boleh beramah-mesra dengan artis jemputan.

KJH 2013 juga memberi kelainan kepada kanak-kanak dan golongan remaja melalui Bananana! Land. Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di ruangan Bananana! Land Stage, B-Model Studio & B-instaSnap, Out of the Box, dan gerai BoBoiBoy & Bola Kampung. Di Out of the Box, adik-adik boleh mencuba kreativiti mencipta kraftangan D-I-Y (Do-It-Yourself) dan membawa hasil tersebut pulang ke rumah selain sertai pertandingan mewarna. Di gerai BoBoiBoy & Bola Kampung, kanak-kanak boleh mendaftar menjadi ahli dan membeli barangan eksklusif BoBoiBoy dan Bola Kampung.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai aktiviti menyeronokkan yang dianjurkan oleh rakan animasi Canimals, Supertots, Winx Club, berhibur sambil belajar bersama Oxford-Fajar serta bergembira bersama Deera, Harris, Hadi dan Ben dari Idola Kecil di Bananana! Land Stage. Dengan pembelian kupon RM 5 (seorang), kanak-kanak juga boleh mendapatkan solekan ‘make-over’ menjadi bintang rock, putera, puteri atau karakter animasi pilihan tersendiri dan bawa pulang gambar polaroid di B-Model Studio & B-instaSnap.

Siaran langsung Melodi di tapak Karnival Jom Heboh

Di KJH 2013, para pengunjung juga dapat menikmati perkhidmatan yang disediakan oleh beberapa badan kerajaan seperti Pos Malaysia, PERKESO, PTPTN & Skim Pinjaman Pendidikan Nasional (SPPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Kiosk Perkhidmatan. Orang ramai boleh menyemak dan membuat bayaran saman, memperbaharui lesen memandu, menjelaskan bil-bil dan lain-lain lagi untuk kemudahan mereka.

Di gerai Cereka pula terus menjadi tumpuan utama para pengunjung untuk beramah mesra bersama artis-artis popular yang terlibat dengan drama TV3 seperti Syazwan Zulkifly, Jay Iswazir (Aksi: Karlos), Eina Azman (Samarinda: Bangkitnya Seorang Perempuan), Amar Asyraf, Adam Shah (Azalea: Duri Di Hati) dan Elyssa Johari (Akasia: Rindu Bertamu Di Abu Dhabi). Selain beramah mesra, para pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti bersama artis, antaranya, Sembang-sembang Artis, Aneka Peraduan, ‘Dunia Tersembunyi’ (cari barang dalam tepung) dan banyak lagi.

Para pengunjung berpeluang menjadi penonton bertuah menyaksikan episod akan datang drama bersiri TV3, antaranya, ‘Karlos’, ‘Kisah Cinta’ dan ‘Sebenarnya Saya Isteri Dia’ sebelum disiarkan di kaca TV di Studio 3. Mereka hanya perlu menderma di pintu masuk Studio 3 dan simpan keratan tiket tersebut untuk cabutan bertuah. Mereka juga berpeluang memenangi cendarahati menarik menerusi pelbagai aktiviti pentas yang dijalankan di Cereka.

Kota Ilmu pula menfokuskan program ilmiah dan kerohanian TV3 seperti Al-Kuliyyah, Al-Hidayah dan Da’i. Para pengunjung berpeluang mengikuti siaran langsung program Al-Kuliyyah di Kota Ilmu pada hari Jumaat (29 Mac) dari jam 5.00 hingga 6.00 petang bersama pengacara, Mohd Fasil. Peserta Da’i iaitu Hazwan Bin Padzil akan turut berada di Kota Ilmu.

Pameran Astronomi di Planetarium diteruskan sejak diperkenalkan pada Karnival Jom Heboh tahun lalu. Pameran ini melibatkan Digital STARLAB Planetarium menggunakan sebuah kubah hitam yang mensimulasikan langit malam hemisfera utara dan objek-objek ruang angkasa. Ia merupakan satu pendekatan menyeluruh berkaitan bidang astronomi untuk menggalakkan generasi muda mendalami jurusan Sains.

Tidak ketinggalan untuk pengunjung generasi muda, TV9 di bawah jenama 9X membawakan 9X GIG bersama barisan band Indie seperti Oh Chentaku, Monoloque, Pita Hati dan Madinee (sebelum ini dikenali sebagai Laila’s Longue) pada hari Ahad (31 Mac) bermula jam 9.00 malam. Majlis pelancaran album terbaru Faizal Tahir dengan tema “New Sound of Rock” oleh En. Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan Datin Jacynta Au-Yong, Ketua Jabatan Pengurusan Artis, The 8Unit juga berlangsung di 9X GIG, disusuli dengan persembahan selama satu jam oleh Faizal Tahir menampilkan lagu-lagu daripada album terbaru dan juga beberapa lagu hits terdahulu. Sebelum itu, Faizal Tahir berada di Wow Bag! Booth pada hari yang sama dari jam 4.00 hingga 5.00 petang sempena jualan t-shirt, cd dan mug ‘limited edition’ beliau.

Antara aktiviti pentas yang berlangsung di Bananana Land

Berikut adalah senarai aktiviti sepanjang dua hari Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru, Johor Darul Takzim, Sabtu dan Ahad (30 & 31 Mac 2013) dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 petang:

SENARAI GERAI AKTIVITI-AKTIVITI

CEREKA
• Sesi beramah mesra dan menyertai pelbagai pertandingan bersama Syazwan Zulkifly, Jay Iswazir (Aksi: Karlos), Eina Azman (Samarinda: Bangkitnya Seorang Perempuan), Amar Asyraf, Adam Shah (Azalea: Duri Di Hati) dan Elyssa Johari (Akasia: Rindu Bertamu Di Abu Dhabi)
• Sembang–sembang Artis
• Aneka peraduan
• Dunia Tersembunyi’ (cari barang dalam tepung)

STUDIO 3
• Tayangan perdana drama-drama hebat TV3 secara eksklusif, antaranya, Aksi: Karlos, Samarinda: Bangkitnya Seorang Perempuan, Cerekarama: Lara Qaseh, Lestary: Kisah Cinta, Zehra: Sebenarnya Saya Isteri Dia dan Akasia: Rindu Bertamu Di Abu Dhabi
• Hanya perlu menderma di pintu masuk Studio 3 dan simpan keratan tiket untuk cabutan bertuah di dalam Studio 3

BANANANA! LAND
• Ruang hiburan dan pembelajaran khas untuk kanak-kanak
• Serlahkan kreativiti seni dan kraftangan di Out of the Box
• Riang ria bersama maskot Boboiboy dan Bola Kampung
• Penampilan artis – Deera, Harris, Hadi dan Ben dari Idola Kecil
• ‘Make-over’ dan ‘Photo Booth’

SELERA@JOM HEBOH
• Demo masakan oleh chef selebriti
• Pertandingan dekorasi kek
• Pameran dan jualan buah-buahan tempatan FAMA

WOW BAG! BOOTH
• Aktiviti jualan cenderahati eksklusif dari semua rangkaian televisyen dan radio Media Prima Berhad seperti TV3, TV9, NTV7, 8TV, Bananana!, Hot FM, dan Tonton
• Pelbagai jenis cenderahati seperti t-shirt, buku nota, beg, pen, kipas tangan, poskad, lanyard dan banyak lagi
• Sesi ramah mesra bersama Alex Yanz dan Talha Harith

MEDIA PRIMA DIGITAL – HOT FM
• Pendaftaran akaun Tonton secara percuma sepanjang hari
• Khidmat langganan akhbar digital dalam talian (e-paper) untuk Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times
• Penampilan penyampai Hot FM, Chad dan Sharifah Aleya
• Pelbagai kuiz dan permainan serta peluang untuk memenangi wang tunai berjumlah sehingga RM 1,000.

TV9
• Aktiviti Senda Pagi: Aerobik & Nasi Lemak
• Ramah mesra bersama Faizal Tahir
• Berlakon bersama barisan artis, Riz Amin, Siti Elizad, Tunku Hanis (Ratu: Kerana Lelaki Itu) dan Idzham Ismail (Aurora: Bunga Merah Punya)

Demo dekorasi cupcakes oleh Chef Zaidah, Tam Suhaimi dan Eina Azman

SIARAN LANGSUNG DAN RAKAMAN DARI TAPAK KARNIVAL

Sembang Sembang
Berlangsung dari tapak KJH 2013 Johor pada hari Sabtu & Ahad dari jam 10.00 hingga 10.30 pagi. Membincangkan isu-isu semasa selain menemuramah artis-artis, pihak berkuasa dan wakil penaja.

Al-Kuliyyah
Siaran langsung dari tapak karnival jam 5.00 – 6.00 petang hari Jumaat
Topik : ‘Ahli Syurga’
Ahli Panel : Ustaz Hanafiah Abd. Razak
Pengacara : Mohd Fasil

Melodi
Siaran langsung dari tapak karnival jam 12.30 tengah hari – 1.30 petang hari Ahad
Pengacara : Zizan Razak & Awal Ashaari

9X GIG & Majlis Pelancaran Album Terbaru Faizal Tahir
Pentas Utama, Hari Ahad bermula jam 9.00 malam
Artis: Oh Chentaku, Monoloque, Pita Hati, Madinee dan Faizal Tahir
Hos: Bone Alfie

Selepas ini, KJH 2013 akan meneruskan siri penjelajahan ke negeri Pulau Pinang, Pahang, Putrajaya, Kelantan, Sabah, Sarawak dan akhir sekali di Kuala Lumpur.

Layari laman sesawang rasmi Karnival Jom Heboh 2013 di www.tv3.com.my/jomheboh serta laman sosial Facebook dan Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #JomHeboh2013 untuk sebarang perbualan dan komen.

60 anak pokok yang ditanam di tabika kemas desa rahmat, tampoi sempena aktiviti kemasyarakat dan tanggungjawab sosial KJH2013

Kemunculan maskot Supertots menceriakan adik adik di tabika kemas desa rahmat, tampoi, johor bahru

Lawatan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, Datuk Abd Aziz Kaprawi di booth Selera

Gimik Pelancaran Album Faizal Tahir semasa 9X Gig

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

CN BLUE Bakal Gegarkan Konsert Pertama Blue Moon 2013 World Tour di Malaysia

Remy Ishak Tarik Diri Berlakon Teater M.BUTTERFLY