in ,

50 Pelanggan Terawal Terima Serahan Toyota C-HR

UMW Toyota Motor (UMWT) telah menyerahkan 50 unit crossover kompak Toyota C-HR serba baru kepada pemilik terawalnya dalam sebuah acara yang berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Jurutera Toyota C-HR, Takatomo Suzuki.

Bercakap pada acara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, penyerahan 50 unit Toyota C-HR kepada pemiliknya juga menandakan pengenalan secara rasmi model berkenaan untuk pasaran tempatan.

TGR RACING FESTIVAL MUSIM PERTAMA SAMPAI KE KEMUNCAK

“Sejak mula dipertontonkan tahun lalu, minat yang ditunjukkan terhadap C-HR sangat menggalakkan. Setakat ini, kami telah menerima sebanyak lebih kurang 1,500 tempahan dan disebabkan ia merupakan model yang begitu unik dan bermakna, kami ingin ambil kesempatan untuk menyerahkannya sendiri kepada 50 pemilik terawal kami,” ujar beliau.

“Toyota sentiasa berterima kasih di atas sokongan yang diberikan oleh para pelanggan. Untuk itu, kami juga ingin memastikan pengalaman pemilikan yang terbaik buat semua, dengan servis dan penyelenggaraan dilakukan oleh juruteknik terlatih khusus untuk model C-HR, dan stok alat ganti yang tersedia sepanjang masa, sekiranya diperlukan. Selain itu, dengan model yang dibeli hanya dari UMW Toyota Motor dan pengedar sahnya akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan,” tambah beliau.

Sejak pengenalan diperingkat global, Toyota C-HR serba baru menerima sambutan hangat di semua pasaran di mana ia telah dilancarkan. Selain penampilan yang unik dan menarik, model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini telah banyak digunakan pada model-model baru Toyota.

Untuk pasaran Malaysia, C-HR diperkenalkan hanya dalam satu varian, dengan enjin 1.8 liter petrol yang digandingkan bersama transmisi Sequential Shiftmatic CVT 7-kelajuan. Ciri-ciri keselamatannya termasuk ABS sebagai standard, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM). C-HR juga dilengkapi ciri Brek Parkir Elektrik dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) untuk mengelakkannya daripada mengundur ketika mula bergerak di permukaan curam.

Rekaan dalaman C-HR menampilkan konsep yang sama sekali berbeza berbanding model-model Toyota yang sebelumnya; ia menggabungkan penggayaan moden dengan fungsi termaju. Bahagian pemandu menerapkan perincian inovatif dan teknologi intuitif dengan meter Optitron 4.2-inci berwarna dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID). Bagi yang gemar memandu, turut tersedia ialah ciri G-monitor yang akan memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.

Memberi komentarnya terhadap Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival dan Vios Challenge pula, Ravindran berkata acara berkenaan telah menerima sambutan hangat di tiga lokasi sebelum ini; Batu Kawan di Pulau Pinang, MAEPS Serdang dan Medini City, Johor. Pusingan terakhir dan kemuncaknya akan berlangsung di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil hujung minggu ini (24 & 25 Mac).

“UMW Toyota Motor amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan acara yang cukup menarik ini. Dari sambutan yang diterima pada setiap pusingan, kami sangat terpanggil untuk meneruskan penganjuran musim keduanya nanti. Perancangan untuk itu sudah pun dilakukan, dan ia akan bermula pada separuh kedua tahun ini. Kami sangat berterima kasih kepada semua penaja di atas sokongan mereka dan berharap akan dapat meneruskan kerjasama ini bagi musim kedua pula,” jelas Ravindran.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Yang Menarik di Hari Pertama Toyota Gazoo Racing Malaysia di TPM

Kemuncak Adrenalin Musim Pertama Vios Challenge