Semasa proses pengambaran yang bermula sejak Disember 2011 lagi, Budiey dah teruja dengan jalan cerita filem Penanggal. Memang Budiey tak sabar sangat nak tengok hasilnya. Ternyata ramai juga yang tunggu filem yang menelan kos keseluruhan iaitu RM2.8 juta ini menjelma di pawagam.
Apabila dijelmakan di layar lebar, keterujaan Budiey bertambah dirasuk dengan plot cerita yang sememangnya Budiey kagum dengan buah tangan sulung pelakon Ellie Suriaty. Kredibiliti yang ada pada pelakon Ellie Suriaty yang sentiasa berfikir di luar kotak ini membenihkan hasil yang mengkagumkan. Syabas Kak Ellie!
Itulah, apa yang Budiey dengar, semasa pengambaran filem ini, Ellie mengalami keguguran, mungkin kesan dari terlalu bersungguh-sungguh, terkejar ke sana ke mari demi komitmen yang tinggi dan bekerja keras siang malam untuk menjayakan filem ini. Sebab itulah, bagi Fasha Sandha, dia tak mahu menghampakan hati pengarah. Jadi, untuk itu, Budiey dapat tahu, Fasha turut menghadiri kelas bahasa Arab selama sebulan untuk sebutan yang betul semasa berlakon watak Sharifah Zahrah.
Cakap pasal mitos hantu yang jasadnya bercerai dari kepala ini, Budiey teringatlah cerita orang tua dulu-dulu. Sekali dengar, memang seriau juga. Takut wooo! Bukan apa, kisahnya memang jadi bualan orang kita sewaktu masa dulu. Hantu penanggal bukan sahaja dikatakan wujud di negara kita sahaja, malah di negara lain di sekitar Asia juga.
Apa-apa pun, sampai sekarang kita tak tahu mitos ni benar-benar berlaku atau sekadar cerita legend sahaja. Budiey juga keliru dengan asal usul Penanggal. Adakah ia disumpah, terkena buatan orang, jelmaan kuasa ilmu hitam atau macamana? Sebab itulah dalam filem ini, watak Syed Yusof lakonan Azri Iskandar cuba mencari dan menjejaki Murni.
Jadi, jika anda nak tahu asal usul Penanggal ni, elok kiranya korang pergi ke pawagam dan tonton kisah Penanggal dari sudut kaca mata Ellie Suriaty. Siap dikaji dan cerita pasal Penanggal ini dikompilasikan menjadi satu filem yang menarik. Bukan senang nak kumpulkan kisah pasal penanggal ni, kan?
Ya, segalanya bermula semasa Ellie terbabit dalam pementasan teater seram di Jepun hampir sedekad lalu. Menurut Ellie, ilham untuk cerita filem ini datang tak semena-mena dari watak yang dilakonkannya.
Sinopsis Filem Penanggal
[dropcap]F[/dropcap]ilem ini mengisahkan Murni (Ummi Nazeera) yang dibela oleh Mak Ajeng (Normah Damanhuri) yang berketurunan jawa selepas kematian orang tuanya akibat dimakan haiwan buas di hutan.
Mak Ajeng, yang mengamalkan ilmu hitam, terpaksa menyerahkan saka penanggal miliknya kepada Murni pada saat kematiannya. Tapi, disebabkan diburu penduduk kampung, Murni terpaksa melarikan diri ke hutan.
Pertemuannya dengan Anom Merah (Nadia Mustafar) yang sarat mengandung telah mengundang kemarahan orang kampung selepas mendapati ada tanda di leher Murni. Hampir dibunuh oleh orang kampung, Murni kemudian diselamatkan oleh Syed Yusof. Nak tahu kesudahan cerita ini, kenalah tonton sendiri di pawagam ye.
Budiey sudah pun menonton filem ini pada 13 November lalu. Apa yang boleh katakan filem bergenre seram klasik ini memang lain dari filem seram yang Budiey pernah tonton sebelum ini.
Apatah lagi, sejurus selepas Malam Gala Filem Penanggal, Budiey menerima maklum balas yang positif daripada rakan blogger dan wartawan. Pada malam itu, Budiey lihat ramai sekali selebriti dan pelakon hadir untuk memberi sokongan kepada filem Penanggal. Antaranya Datin Paduka Umie Aida, Erma Fatima, Datin Sofea Jane, Eja, Chomel Fana, Khir Rahman, Osman Ali, Fatimah Abu Bakar, Vanidah Imran, Sharifah Amani, Sein Ruffedge dan ramai lagi.
Bukan untuk membodek, ternyata Budiey boleh berikan pujian selayaknya untuk pengarah yang punyai falsafah yang tinggi ini. Apatah lagi, Budiey meletakkan sesuatu yang agak mantap dan sempurna untuk filem ini apabila ia menggabungkan kerjasama pertama kali oleh dua syarikat perfileman gergasi Malaysia, Astro Shaw Sdn Bhd dan Grand Brilliance.
1. Kesan Visual Yang Artistik
[dropcap]S[/dropcap]epuluh minit pertama menonton filem ini, sudah membuatkan Budiey rasa kagum dengan kerja-kerja kamera dan paparan visual yang sangat ohsem. Sudah tentu, kredit ini harus diberi kepada krew produksi. Sentuhan arahan dan artistik memang membuatkan Budiey rasa Ellie memang ada masa depan untuk menyuntik nilai yang berbeza untuk industri filem. Anda boleh tengok sendiri dari sudut lain seperti suntingan, plot dan jalan cerita juga ada kelainannya. Itu tak termasuk lagi dengan mutu solekan dan juga kesan khas untuk hantu Penanggal. Kita boleh lihat dalam beberapa babak aksi pertarungan dan cara penjelmaan hantu penanggal. Tidak keterlaluan jika Budiey katakan, filem Penanggal ini adalah satu-satunya filem seram yang ada nilai artistik yang terbaik setakat ini di Malaysia! Ya, paparan nilai seni dalam filem ini haruslah mendapat tempat di anugerah filem akan datang. Tak percaya kita lihat sahajalah ya.
2. Pelakon Yang Berkaliber
[dropcap]P[/dropcap]emilihan pelakon juga sangat sesuai. Pertama kali melihat lakonan Ummi Nazeera yang membawa watak Murni, seorang wanita yang terikat dengan sumpahan Penanggal. Budiey rasa, semua setuju jika Budiey katakan, wajah Ummi Nazeera yang sangat klasik sesuai dengan garis masa filem ini. Selain Ummi, lakonan Azri Iskandar juga tak mengecewakan. Boleh Budiey katakan, lakonan kedua pelakon utama ini menyelamatkan filem ini. Tak kurang juga pelakon lain seperti Zul Ariffin dan Fasha Sandha.
Dari segi prestasi pelakon pula, Budiey percaya, kesungguhan dan kaliber bukan sahaja terletak pada tunjang utama malah semua pelakon memberikan yang terbaik untuk menghasilkan semua babak. Filem ini menggabungkan pelakon berbakat seperti Normah Damanhuri, Fasha Sandha, Azri Iskandar, Zul Ariffin, Latiff Borgiba, Josiah Hogan, Allahyarham Kuswadinata, Nadia Mustafar dan ramai lagi. Oh ya, sebelum Budiey lupa, penyanyi terkenal, Datuk Sharifah Aini juga tampil di layar sebagai ibu kepada Azri Iskandar, Zul Ariffin dan Josiah Hogan. Kemunculan istimewa Datuk Sharifah Aini harus dipuji juga sebab tak sangka la kan, biduanita terkenal ini ada bakat berlakon. Tambahan lagi, cabaran untuk mengucapkan dialog bahasa Arab bukan sesuatu yang mudah. Ternyata, ini meninggalkan kesan dan impak yang bukan sikit bagi penonton.
Konsep hantu penanggal sebenarnya menarik. Lagi pun, Budiey kira, kisah hantu penanggal ni belum lagi difilemkan. Inilah masa untuk anda mengenali hantu penanggal lebih dekat. Hehe…
3. Bukan Sekadar Filem Seram
[dropcap]L[/dropcap]ebih baik Budiey ingatkan kepada anda yang nak menonton filem ini agar tidak menganggap filem ini seram kerana dalam filem ini ada drama dan nilai dakwah serta filem ini juga mengangkat bahasa Arab dan Jawa sebagai bahasa perantaraannya. Sangkaan Budiey awalnya meleset dan tersasar jauh juga . Mulanya memang Budiey dapat bayangkan dari awal hingga habis, filem ini akan menjadikan Budiey tak berhaluan, namun dari segi konsep cerita yang menggabungkan masyarakat Arab dan Jawa di Tanah Melayu memang memberikan kesan berbeza. Ramai yang tak tahu, sebenarnya, Arab dan Jawa dah lama bertapak di Tanah Melayu. Jadi, Budiey rasa filem ini mahu lari dari klise atau kebiasaan filem Melayu yang mendatari bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Filem ini bukan sahaja mahu memaparkan cerita mitos dan kekejaman penanggal semata-mata tapi ia juga menjadikan latar masyarakat sekitar era 1930-an sebagai objek utama. Jadi, dialog yang digunakan untuk filem ini memang klasik dan sikit berbeza dan yang penting setiap lafaz dialog itu sangat berseni, okay. Filem ini menggabungkan kisah cinta tiga segi, ada nilai persaudaraan, kekeluargaan, ada kisah tentang kehidupan masyarakat yang dulunya sememangnya kaya dengan budi bahasa dan kita dipaparkan tentang bagaimana orang dulu-dulu berniaga.
4. Jalan Cerita Yang Mudah
[dropcap]B[/dropcap]agi Budiey, filem ini sangat mudah untuk difahami. Nak kata ianya berat, taklah berat sangat pun. Cuma apa yang boleh Budiey pesan, anda tidak boleh terlepas beberapa saat sekali pun kerana setiap babak memberi makna dan kadangkala Ellie bijak bermain dengan bahasa alam dan metafora dalam filem ini. Jadi, kita sendiri sebagai pelakon kena pandai menterjemah apa yang dimaksudkan oleh pengarah. Dalam erti kata lain, kita tak perlu lah nak banyak berfikir semasa menonton filem ini. Seperti filem lain, Penanggal juga ada mesej dan pengajaran kepada penonton. Itu memang satu motif utama Penanggal difilemkan agar orang kita sedar tentang bahaya bermain dengan makhluk halus dan keburukan mengamalkan ilmu hitam. Filem ini menyedarkan Budiey tentang mengapa agama kita melarang supaya menjauhi amalan khurafat dan syirik ni. Pada dasarnya, filem ini juga memberi mesej kepada kita tentang tanggungjawab sesama manusia yang mahu membawa insan lain kembali ke jalan yang benar.
5. Belum Apa-Apa Lagi Dah Dapat Anugerah
[dropcap]K[/dropcap]alau nak dikira pencapaian, belum apa-apa lagi, sebelum tayangan umum, filem Penanggal sudah memenangi enam Anugerah PROFIMA 2013, selain berpeluang membuat tayangan di luar negara seperti di Festival Filem Cannes untuk edaran antarabangsa Mei lalu dan Puchon International Fantastic Film Festival pada Julai lalu. Syabas, Budiey ucapkan!
Anda semua dijemput untuk menonton filem ini di pawagam mulai 28 November.