1 Utama Shopping Centre merupakan Pusat Beli-belah yang terbesar di Malaysia. Ia mempunyai slogannya yang tersendiri iaitu “It’s All in One”, bagi mempromosikan idea membeli-belah dan hiburan kepada para pengunjung di bawah satu bumbung. Selain pengalaman beli-belah, 1 Utama Shopping Centre juga menawarkan pelbagai aktiviti sukan yang menarik untuk para pengunjung. Tidak perlu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, kerana anda boleh lakukan semuanya di sini! Teruskan membaca untuk ketahui aktiviti manakah yang boleh anda cuba bagi memenuhi debaran adrenalin anda!
- FlowRider
Rindu nak meluncur tapi tiada masa hendak ke pantai? FlowRider adalah tempat yang sesuai untuk anda asah kemahiran anda dalam sukan papan luncur air.
Bagi sesiapa yang tiada kemahiran meluncur, usah risau kerana tenaga pengajar di FlowRider akan akan mengajar memastikan para pengunjung berpeluang untuk mempelajari kemahiran meluncur yang pastinya mengujakan!
- WINDLAB Indoor Skydiving
Para pengunjung yang ingin rasai aktiviti eksrem terjun udara atau “skydiving”, bolehlah kunjungi WINDLAB yang terletak di dalam 1 Utama Shopping Centre. Dahulunya tempat ini dikenali sebagai AirRider Indoor Skydiving, ia menawarkan pengalaman terjun udara pada ketinggian 14,000 kaki kepada para pangunjung. Mereka juga akan dibekalkan dengan peralatan yang lengkap untuk keselamatan seperti sut, topi keledar dan cermin mata.
- ROLLERWA
Pada yang tidak tahu, Rollerwa adalah sebuah gelanggang aktiviti berkasut roda yang berasal dari Korea. Rollerwa telah dibuka baru-baru ini pada 23 Disember 2021, menawarkan pengalaman yang menyeronokkan! Di gelanggang ini juga dilengkapi dengan muzik dan lampu yang berwarna-warni untuk memberi keceriaan semasa bermain kasut roda.
Para pengunjung boleh membawa kasut roda mereka sendiri, atau boleh menyewa kasut roda di sini. Jika anda minat akan aktiviti berkasut roda dan budaya K-Pop, pastikan anda tidak lepaskan peluang untuk ke Rollerwa!
- Morac Go Kart
Morac Go Kart juga baru dibuka pada Disember lepas. Rasa debaran adrenalin dengan melakukan aktiviti go kart di sini. Morac Go Kart menawakan litar yang luas dan suasana yang seronok untuk penonton dan pelumba. Trek sepanjang 420m ini akan memberi kepuasan kepada para pelumba untuk berlumba dengan penuh kelajuan!
- Saranghae Bridge
Saranghae Bridge merupakan tempat yang tidak memerlukan anda untuk melakukan aktiviti yang ekstrem. Tempat ini sesuai untuk anda bersantai dan menikmati keindahan lampu LED yang cantik terutama pada waktu malam.
Di sini juga para pengunjung boleh ‘kunci cinta’ mereka dengan menggunakan mangga dan kuncikan di pagar-pagar yang disediakan. Pada yang suka mengambil gambar dan inginkan suasana romantik, bolehlah singgah ke sini!
1 Utama Shopping Centre terletak di Petaling Jaya, hanya 20 minit perjalanan dari Kuala Lumpur. Banyak lagi aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di sini selain dari yang disenaraikan di atas. Anda pasti tidak sabar untuk mencuba semuanya, bukan? Jadi jangan tunggu lagi, ajak kawan-kawan dan keluarga anda #PusingSelangorDulu pada hujung minggu ini!
Walaubagaimanapun, para pengunjung diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.
Anda juga boleh layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemas-kini. #PusingSelangorDulu.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.