LRT bertembung: Kementerian Pengangkutan tubuh pasukan siasatan – Ka Siong
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata pasukan berkenaan akan menyiasat kejadian itu secepat mungkin dan hasilnya dijangka dikeluarkan dalam tempoh dua minggu.
“Ini merupakan kejadian pertama kali selepas 23 tahun (LRT) Laluan Kelana jaya ini beroperasi. Kerajaan berasa sedih dengan kemalangan ini.
“Kementerian akan tubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kejadian ini dan esok Ketua Pengarah Agensi Pengakutan Awam Darat, Azlan Shah Al Bakri, akan menghantar laporan awal kemalangan ini kepada saya.
Beliau juga memaklumkan, Prasarana sedang menguruskan perkhidmatan alternatif kepada penumpang di stesen lain yang masih terkandas.
Ka Siong juga menjelaskan, Prasarana akan memaklumkan dan mengemas kini pengguna LRT tentang gangguan perkhidmatan mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung KLCC.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua mereka sudah dikeluarkan dan dihantar ke hospital.
—
“Dalam tempoh dua minggu ini, pasukan petugas khas akan mengumpulkan hasil siasatan kepada saya dan dalam tempoh dua minggu kita akan kenal pasti sama ada ia disebabkan kesilapan sistem signal atau komunikasi, ataupun kesilapan manusia.
“Kita akan pastikan apa punca yang menyebabkan kemalangan ini berlaku,” katanya pada sidang media di Avenue K malam ini.
Seramai 47 penumpang parah manakala 166 cedera ringan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) bertembung dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung KLCC malam ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semua mereka sudah dikeluarkan dan dihantar ke hospital.
“Kejadian ini membabitkan tren dari Gombak dipandu secara automatik membawa 213 orang penumpang dengan sebuah lagi tren dari Kampung Baru iaitu tren kosong yang mempunyai pemandu.
“Kita dapati mungkin berlaku kegagalan komunikasi dan ini adalah kemalangan… kami masih menyiasat jika ia adalah (berpunca daripada) kecuaian kerana melibatkan kecederaan awam,” katanya pada sidang media sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tren yang dari Kampung Baru ke Gombak adalah tren yang mengalami kerosakan dan sedang dipandu uji ketika kejadian berlaku.
Beliau berkata, tiada sebarang petunjuk yang boleh dikaitkan dengan unsur sabotaj dalam kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan buat masa ini menjurus kepada masalah komunikasi di pusat kawalan.
Kemalangan LRT laluan Kelana Jaya berhampiran stesen KLCC
Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan berhampiran Stesen KLCC dan Kampung Baru malam ini.
Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, berkata perkhidmatan LRT melibatkan tren bernombor 40 dan 81 itu terlibat dalam satu insiden kira-kira jam 9 malam.
“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.
“Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan. Pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam ciapan di Twitter AskRapidKL, dimaklumkan semua penumpang yang cedera sudah dibawa keluar dari tren yang terbabit dan usaha membantu serta menyelamat sedang dijalankan.
Ciapan itu juga menyebut, pengangkutan alternatif akan disediakan selain keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan.
Sejumlah penumpang mengalami kecederaan apabila dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) terlibat dalam kemalangan.
Berdasarkan gambar-gambar dan video yang dikongsi di media sosial, terdapat beberapa penumpang dilihat terduduk sambil menutup bahagian tubuh yang cedera dengan ada antara mereka dilihat berdarah.
*Sumber: Astro Awani