in , ,

Imam Muda Asyraf Berdakwah Menerusi Projek Kahwin

Pementasan teater Projek Kahwin bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 6 hingga 14 Jun depan turut menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Hanez Suraya, Shah Iskandar, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz.

Selain itu, Imam Muda Asyraf turut terlibat sama dan menjadi hype apabila banyak media memberi publisiti kerana beliau berlakon buat pertama kalinya. Namun, bekas juara program Imam Muda musim pertama itu tidak berhasrat untuk menjadikan bidang lakonan sebagai karier walaupun bakal muncul dengan pementasan teater pertamanya.

Pemilik nama Muhammad Asyraf Mohd Rizuan, berkata, penglibatannya itu sekadar ingin menimba pengalaman dan akan meletakkan bidang dakwah sebagai keutamaan.

“Sebelum ini saya pernah menolak beberapa tawaran berlakon kerana kekangan masa tetapi tertarik dengan pengisian teater berkenaan dan rasanya tidak salah mencuba untuk mendapatkan pengalaman bagaimana rasanya berlakon teater. Bagaimanapun ini bukan bermakna saya akan menjadikan lakonan sebagai satu karier kerana bidang dakwah masih menjadi keutamaan saya.”

Sempena pemetasan ini turut diadakan pameran pengantin dan pakej perkahwinan pada 11 hingga 15 Jun di perkarangan Istana Budaya. Dalam perkembangan sama, Asyraf mengakui pada mulanya dia agak ragu-ragu untuk menerima tawaran tersebut kerana bimbang kemunculannya itu nanti akan disalah ertikan oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun kata Asyraf, selepas membaca sebuah artikel yang ditulis oleh seorang pemikir Islam dia mengubah keputusannya dan berharap penglibatannya akan memberi manfaat berguna kepada penonton yang hadir nanti.

“Jujur saya bimbang dengan pandangan negatif daripada masyarakat tetapi apabila pihak penerbit menerangkan peranan sebenar saya dalam teater itu saya bersetuju dan yakin ia akan memberi kesan positif.”

Dalam pada itu, Asyraf berkata, penglibatannya dalam teater arahan Muhammad Azri Ali itu sedikit sebanyak dijadikan sebagai platform untuknya berkdakwah menerusi watak yang bakal dipegangnya.

Malah kata Asyraf, peranan yang diberikan juga adalah seorang ustaz yang akan menerangkan mengenai soal hukum dan adab dalam perkahwinan pada pementasan teater itu.

“Barangkali ramai tidak berpeluang untuk bertemu saya di masjid atau majlis dakwah lain dan kemunculan saya di pentas teater tersebut sekurang-kurangnya dapat saya menyebarkan dakwah mengenai isu yang diketengahkan dalam teater itu nanti.”

Tambah Asyraf berkata dia berdebar untuk berlakon kerana itu adalah kali pertama dia berbuat demikian walaupun hanya akan muncul dalam tiga babak besar dalam Projek Kahwin. Asyraf berkata, dia akan mengikuti kelas lakonan dan bacaan skrip terlebih dahulu bersama pengarahnya sebelum sesi latihan bermula.

Tiket untuk menyaksikan pementasan teater itu dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM185 dan RM225 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi AirAsiaRedTix.com atau di kaunter Box Office Istana Budaya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Amirul di talian 013-3962612.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV3 Siar Siri Terbaru Agents of S.H.I.E.L.D

Shila Amzah Gementar Bila Lee Hom Datang Menonton Konsertnya?