Filem dokumentari terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia FINAS dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara (JWN) “Unburying the Past” telah berjaya menerima dua anugerah di Festival Arkeologi Filem dan Video Antarabangsa yang bertempat di Eugene, Oregon, USA dari 7-11 Mei 2013.
Filem tersebut arahan Harun Rahman dari Novista Sdn Bhd telah memenangi anugerah dalam kategori “Best Public Education” dan “Best Narration”. Filem tersebut juga telah muncul sebagai tiga filem teratas untuk anugerah Filem Terbaik daripada 79 buah filem dari 22 negara yang menyertainya.
[pullquote align=”right”]Dokumentari Terbitan Finas Memenangi 2 Anugerah Di Festival Arkeologi Filem Dan Video Antarabangsa, USA[/pullquote]
Pelbagai program telah diadakan sepanjang Festival. Wakil dari FINAS dan penerbit telah membentangkan kertas kerja mengenai pembikinan filem dokumentari tersebut dalam “The Archaeology Channel Conference on Cultural Heritage Film”. Pihak penganjur juga telah memilih sebanyak 18 buah filem terbaik termasuk filem “Unburying the Past” untuk tayangan umum di mana ianya telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
Wakil yang menyertai Festival tersebut terdiri dari Puan Subaidah Md Top, Pengarah Produksi FINAS, Encik Rizal Mat Yasin, Pegawai Eksekutif FINAS dan Puan Lara Ariffin, Penerbit dari Novista Sdn. Bhd.
“Dokumentari ‘Unburying the Past’ telah mendapat pujian dari pihak juri dari segi kualiti penerbitan, pengisiannya dan grafik. Dengan pengiktirafan antara tiga filem terbaik, ia membawa makna bahawa, filem penerbitan Malaysia telah mencapai taraf antarabangsa. Dengan menghadiri Festival tersebut, Warisan Arkeologi Malaysia dapat diangkat ke mata dunia.” – Puan Subaidah Md Top, Pengarah Produksi FINAS.
Dokumentari ‘Unburying the Past’ menyingkap tapak-tapak arkeologi terpenting di Malaysia termasuk Lembah Lenggong yang telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ia juga mempamerkan “Perak Man” – rangka manusia tertua Paleolitik yang paling lengkap di Malaysia dan pemulangan semula rangka-rangka manusia Neolitik Gua Cha Kelantan daripada Universiti Cambridge, England yang diambil pada tahun 1950an.
Dokumentari ini telah diterbitkan atas cetusan idea dari Menteri Kementerian Penerangan, Kommunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim dan mendapat kerjasama dari Prof Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid, Pesuruhjaya Warisan Malaysia.