Azura Zainal dan Nita Hamzah Hos “13 Hari Kota Kinabalu, Labuan” di TV Okey (Astro 109)
Berkongsi tinjauan mengenai keindahan pulau dan variasi hidupan laut, program “13 Hari” yang masuk siri 3 siarannya menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) kembali menemui penonton mulai 3 Julai ini, setiap Selasa, pukul 12.30 tengah hari di TV Okey (Astro 109).
Menampilkan gandingan pengacara Azura Zainal dan Nita Hamzah, 13 episod terbaharu ini lebih padat dengan info menarik kehidupan laut yang unik dan menunjukkan pelbagai variasi kehidupan di sekitar batu karang yang berwarna-warni boleh didapati di Kota Kinabalu dan Labuan, Sabah.
Episod pengenalannya membawa hos dan jurulatih menyelam di kawasan kepulauan Mantanani, Taman Laut Tunku Abdul Rahman yang dikenali sebagai ‘Sahara desert’. Kawasan berpasir ini mempunyai kehidupan laut yang unik. Episod ini turut menunjukkan kesibukan Pasar Kota Belud. Azura pergi bersiar-siar di sekitar Pulau Mantanani Kecil dan Pulau Lungisan. Kebanyakan daripada seribu orang yang menetap di Pulau Mantanani terdiri daripada orang nelayan. Selain penangkapan ikan mereka menghabiskan masa dengan bermain pelbagai permainan tradisional tempatan.
Seterusnya mengetengahkan aktiviti skuba menyelam di kawasan ‘Clement Reef’ di Pulau Mengalum, Sabah, di mana terdapat pelbagai kehidupan laut yang unik. Episod sama juga menunjukkan keindahan dan kemudahan yang terdapat di pulau itu yang sangat cantik dengan tepi pantai terbentang luas dan amat popular dengan pelancong daripada negara Cina.
Diikuti perkongsian menarik mereka mengunjungi Kampung Warisan Monsopiad dan kesempatan ada digunakan kedua pengacara menyelam di tapak ‘Turtle Patch.’ Kampung Warisan memperlihatkan pameran kesenian dan kebudayaan kaum Kadazan. Tapak selaman pula dipenuhi dengan terumbu karang jenis lembut yang menjadi pelindung kepada ikan-ikan yang kecil.
Lokasi Kampung Lingkubang tidak kurang hebatnya di mana terdapat batu semula jadi yang dikaitkan dengan hikayat masyarakat Dusun. Mereka menyelam di tapak ‘Agill Reef’ di selatan Pulau Mengalum yang penuh dengan terumbu karang jenis lembut yang menjadi pelindung kepada ikan-ikan yang kecil.
Hos kemudiannya mengunjungi Tamparuli, Tuaran dan Pantai Sabandar dan memperkenalkan tarikan-tarikan pelancong seperti Jambatan Tamparuli, Cowboy Town dan sebagainya sementara seorang lagi hos menyelam di tapak ‘ Clements Reef ’ di selatan Pulau Gaya yang dipenuhi dengan terumbu karang jenis lembut dan keras yang menjadi pelindung kepada pelbagai jenis kehidupan laut.
Berikutnya memaparkan penerangan mengenai Marine Ecology Research Centre di Pulau Gaya dan kajian mengenai kerang kima gergasi di pusat itu. Turut dilakukan aktiviti melungsur pulau ke pulau dengan cara ‘flying fox.’ Ia juga menunjukkan dasar laut di Pulau Sapi yang penuh dengan pelbagai jenis terumbu karang dan kehidupan laut.
Seterusnya penerangan mengenai Borneo Reef World sebuah pelantar yang merupakan pusat sehenti rekreasi marin seperti berjalan di dasar laut, berkayak, belajar menyelam dan sebagainya.
Azura juga menyelam di sekitar pelantar itu untuk melihat ‘Electric Clam’, sejenis siput yang kelihatan berkelip-kelip seperti aliran arus elektrik.
Ada juga episode perkongsian pengalaman menaiki kereta api stim, North Borneo Railways, yang mencetuskan nostalgia zaman penjajah. Pengacara kedua pula menyelam di sekitar tapak ‘Down Under Reef ’ yang terletak dekat Pulau Sapi dan dapat melihat kehidupan laut yang unik seperti ‘Coral Sea Fan.’
Tidak kurang mencabar aktiviti dilakukan di Wilayah Persekutuan Labuan menyaksikan pelbagai acara sukan air sempena Pesta Air Antarabangsa Labuan. Turut dikongsikan aktiviti menyelam dekat perairan Labuan mencari kehidupan laut yang unik.
Episod akhir bakal mengimbas kembali aktiviti mereka sepanjang lawatan 13 hari ke Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.