Menurut Shiha, kekasihnya seorang yang berfikiran terbuka dan dia percaya jika bahawa Tuhan sudah menetapkan jodoh mungkin belum sampai waktunya lagi.
“Bukan tidak mahu, sebaliknya belum masanya. Mungkin ramai yang ketawa sinis apabila saya mengatakan belum sampai seru, tetapi tiada apa yang perlu dikejarkan,” itulah kata penyanyi Shiha Zikir yang tidak terburu-buru untuk menamatkan zaman bujangnya, meskipun sudah 12 tahun menjalin hubungan cinta dengan jejaka bernama Arul.
“Saya amat bersyukur Arul sangat memahami dan tidak pernah memaksa dalam soal perkahwinan. Malah, menjadi pembakar semangat untuk melakar kejayaan terlebih dahulu. Jika ikutkan, saya masih banyak perkara yang perlu dikejar dalam hidup, termasuk kerjaya dalam arena seni,” ujarnya lagi.
“Saya bernasib baik mempunyai kekasih yang bersikap terbuka dalam perhubungan. Bayangkan, pening kepala juga jika dapat kekasih yang suka memaksa berkahwin. Bagi saya, tidak perlulah terburu-buru dalam setiap apa yang ingin dilakukan. Sebab saya percaya, Tuhan sudah menetapkan jodoh, pertemuan, ajal dan maut.
“Saya dan Arul bukan tidak berusaha, tetapi segala-galanya ketentuan Allah. Ia juga tidak bererti kami memandang ringan soal perkahwinan, cuma menunggu waktu yang sesuai,”
Dalam pada itu, Shiha berkata dia lebih selesa untuk tidak meletakkan sasaran bilakah akan berkahwin kerana bimbang apa yang dirancang tidak menjadi.
“Saya dan Arul tidak terlalu merancang soal jodoh. Bimbang apa dirancang tidak menjadi kenyataan, nanti ‘frust’ menonggeng. Jadi, saya percaya apabila tiba masa yang sesuai dan sudah ditetapkan, kami pasti bersatu sebagai suami isteri,”