Tentunya, kedatangan bulan Ramadan yang mulia kali ini disambut meriah oleh seluruh umat Islam. Selain dari memperbanyak amal dan ibadah, bulan Ramadan juga sinonim dengan bazar yang menjual pelbagai jenis juadah berbuka puasa.
Untuk tahun 2022, bazar-bazar Ramadan di Negeri Selangor menerima sambutan yang sangat memberangsangkan susulan kebenaran beroperasi setelah Negara melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika kunjungan ke bazar Ramadan demi kesejahteraan bersama. Jom lihat senarai bazar Ramadan terbaik yang boleh anda kunjungi di Negeri Selangor untuk menu berbuka puasa yang pastinya membuatkan anda rambang mata!
Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam
Siapa yang tidak tahu tentang bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam yang terkenal? Menawarkan pelbagai jenis hidangan, anda pasti rambang mata di bazar yang meliputi kawasan yang sangat luas ini.
Bukan itu sahaja, bazar ini juga menyediakan tempat letak kenderaan yang teratur dan selamat. Orang Islam dan bukan Islam dapat dilihat mengunjungi bazar yang menempatkan deretan gerai yang menjual menjual pelbagai jenis juadah seperti tepung pelita, akok, nasi ayam berempah, kambing bakar, ayam golek, pasta, laksa, dan juga pelbagai jenis minuman.
Alamat : Tapak Pakir E1 E2 Stadium Shah Alam 40100 Shah Alam, Selangor.
Bazar Taman Melawati
Bazar Ramadan Taman Melawati yang memenuhi tempat letak kereta yang luas ini merupakan salah satu bazar terbesar di Lembah Klang.
Sebut sahaja menu yang anda mahukan, segala-galanya daripada kuih muih hinggalah kepada roti bom, ayam percik, nasi lemak, tauhu bakar, pasta, dan banyak lagi ada di sini. Antara yang menjadi kegemaran di sini ialah menu nasi kerabu!
Alamat : Bazar Melawati, Jalan Negara, Taman Melawati, Selangor.
Bazar USJ 4, Subang Jaya
Bazar Ramadhan USJ 4 mempunyai jumlah gerai yang menepati semua citarasa berbuka puasa anda. Selain itu, aroma ikan bakar yang menyapa anda ketika memasuki bazar pasti akan menggamit selera. Jika anda sedang mencari lauk-pauk untuk disajikan bersama hidangan nasi anda, terdapat banyak pilihan di sini untuk anda cuba!
Alamat : Jalan USJ 4/5, Usj 4, 47600 Subang Jaya, Selangor.
Bazar SS6/1, Kelana Jaya
Bazar Ramadan SS6/1, Kelana Jaya terkenal dengan pelbagai jenis gerainya. Antara hidangan mereka yang paling popular dan diperkatakan termasuklah Nasi Ambeng yang disertakan dengan ayam goreng, ayam soya atau rendang daging. Selain daripada Nasi Ambeng, sambal ikan cencaru, ayam percik, laksa Penang, sate, kebab, menu panggang, makanan Cina dan India halal, serta hidangan pencuci mulut tempatan. Terdapat juga pelbagai gerai minuman di sini, seperti gerai jus tembikai, yang akan menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa.
Alamat : Jalan SS 6/1, Ss 5, 47301 Petaling Jaya, Selangor.
Bazar Ramadan Greenwood, Gombak
Bazar Ramadan yang terletak di Greenwood, Gombak ini juga menjadi kawasan pilihan mereka yang ingin merasai keunikan hidangan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. Antaranya, popia basah, nasi kerabu, ayam bakar, ikan bakar dan pelbagai jenis kuih muih kegemaran anda.
Alamat : Greenwood, 68100 Batu Caves, Selangor.
Bazar Bandar Baru Selayang
Walaupun ada hidangan nasi yang mengenyangkan, anda juga harus nikmati hidangan pencuci mulut yang ditawarkan di bazar Ramadan Bandar Baru Selayang. Selain itu, hidangan ringan seperti apam balik, kuih-muih dan churros turut dijual di sini.
Alamat : Bandar Baru Selayang 68100 Batu Caves, Selangor.
Bazar Ramadan Simpang 4, Klang
Bazar Ramadan Simpang 4, Klang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana orang ramai dari segenap kawasan sanggup memandu ke sini bagi mendapatkan juadah berbuka puasa. Bukan apa, mereka sudah sedia maklum dengan keenakan makanan dan minuman yang dijual di sini. Selain itu, kesabaran juga penting kerana juadah-juadah disini dikatakan laris sehingga perlu beratur panjang. Namun pasti ianya berbaloi!
Address : Teluk Pulai (Simpang Empat) 41250 Klang, Selangor.
Bazar Seksyen 7, Bandar Baru Bangi
Terdapat beberapa bazar Ramadan di Bangi yang boleh anda kunjungi. Salah satu yang paling terkenal terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Terdapat banyak pilihan makanan dan minuman di sini, tetapi antara yang paling digemari ramai ialah nasi kerabu, ayam golek, dan popia basah.
Address : Seksyen 7 (Jln 7/7 B) 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Bazar Seksyen 17/1A, Petaling Jaya
Anda pasti akan berasa seronok mengunjungi bazar Ramadan Seksyen 17/1A, Petaling Jaya jika anda tidak pasti untuk berbuka dengan menu apa apa bulan puasa. Juadah seperti Roti john, ayam claypot, dan kuih tepung pelita antara juadah yang banyak boleh didapati di bazar ini. Pilih sahaja dari gerai mana!
Address : 92, Jalan 17/1a, Seksyen 17, 46400 Petaling Jaya, Selangor.
Bazar Ramadan TTDI Grove
Bazar Ramadan TTDI tidak asing lagi bagi warga kota yang ingin mencari juadah lazat seperti nasi tomato, nasi lemak, nasi hujan panas, nasi padang dan pulut udang. Ini kerana makanan yang dijual adalah berkualiti dan harganya juga berpatutan. Selain itu, lokasi bazar ini yang strategik juga menjadi salah satu nilai-tambah pada bazar ini.
Address : Jalan TTI Grove, 43000, Kajang, Selangor.
Selain senarai di atas, anda juga boleh kunjungi mana-mana dari 241 lokasi bazar Ramadan di sekitar Negeri Selangor sempena bulan Ramadan yang mulia tahun ini. Memandangkan Negeri Selangor merupakan destinasi pelancongan utama di Malaysia, pilihan makanan di Negeri ini bukan sahaja menepati selera anda, tetapi juga menepati “Pusing Selangor Dulu!” perjalanan sepanjang bulan Ramadan 2022.
Kempen Ramadan 2022 Tourism Selangor juga masih berlangsung sehingga 15 April ini. Jangan lupa layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, dan aplikasi TikTok Tourism Selangor untuk menyertai pertandingan seperti “Kongsi, tag dan menang” serta “Isi dan menang”. Baucar bufet Ramadan di 12 hotel terkemuka di Negeri Selangor menanti anda! #PusingSelangorDulu.
Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.