Sambutan Aidilfitri ini tidak dinafikan antara program yang ditunggu-tunggu ialah program hiburan “Lebih Indah Bersama Dato’ Siti Nurhaliza”. Program yang telah dirakamkan di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur ini bakal menghiburkan penonton pada Hari Raya Pertama, pukul 9.05 malam menerusi saluran TV1.
Dato’ Siti Nurhaliza merupakan artis kelahiran RTM yang telah berjaya dalam bidang seni. Beliau merupakan ikon yang sentiasa menjadi contoh kepada pendatang baharu dalam bidang seni suara. Program ini di iringi oleh pemuzik oleh Lok U, penyanyi latar dan penari bersama perekatarinya Encik Azdwa.
Menampilkan lagu-lagu terbaik Dato’ Siti Nurhaliza termasuklah Lebih Indah, Warna Dunia, Mula Dan Akhir, Jerat Percintaan & Jawapan Di Persimpangan (Medley) dan Engkau Bagaikan Permata & Cahaya Seribu Liku.
Selain itu, Siti turut menyampaikan persembahan lagu duet dengan penyanyi Tegar bertajuk Aku Yang Dulu. Malah penyanyi yang didatangkan khas dari Indonesia yang agak lama menyepi itu turut mendendangkan lagu solo bertajuk Ke Mana Kasih Ayah.
Siti kemudiannya mengambil tempat menghiburkan peminat setianya dengan mengimbas lagu Kurik Kundi, Janji & Kau Pergi Tanpa Pesan (Medley). Ruang Auditorium Perdana yang dipenuhi ribuan penonton teruja memperdengarkan artis pujaan mereka ini menyampaikan lagu nostalgia Kumpulan Iklim bertajuk Suci Dalam Debu dan Bukan Aku Tak Cinta.
Kemunculan Akim & Majistret menyampaikan lagu popular mereka, Potret diikuti dua lagu duet Dato’ Siti Dan Akim & Majistret dalam lagu Mewangi dan Terbaik Bagimu.
Kemuncak persembahan Siti berada di pentas menyampaikan persembahan lagu Jaga Dia Untukku, Mikraj Cinta dan Anugerah Aidilfitri. Lagu berunsur ketuhanan, Mikraj Cinta karya komposer Hafiz Hamidun dimuatkan dalam album terbaharu Dato’ Siti Nurhaliza yang berjudul Unplugged.
Program diterbitkan oleh Haliza Mat Kharsa, Unit Hiburan TV RTM ini pastinya memberi impak yang baik kepada penonton dan kemunculan program ini memberi penghargaan kepada peminat yang sentiasa menyokong program terbitan RTM.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.