[dropcap]M[/dropcap]ajlis Anugerah Industri Muzik (AIM) Cina 2013 yang diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada hari Sabtu, 6 Julai menyaksikan kehadiran lebih dari 50 artis dalam industri muzik bahasa Cina. Dua artis yang diramalkan sebagai pemenang, iaitu sepupu Z-Chen dan Fish Leong, masing-masing berjaya memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Lelaki dan Wanita. Kumpulan Thomas & Jack, yang bertanding dengan pesaing utama iaitu kumpulan Manhand, berjaya merebut anugerah Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan. Untuk kategori Artis Baru Terbaik, pemenang anugerah Emas, Perak dan Gangsa dimenangi oleh Bell, Jess Lee dan Fuying & Sam.
[pullquote align=”right”]Z-Chen dan Fish Leong pemenang anugerah Persembahan Vokal Terbaik Lelaki dan Wanita. Eric Moo diberikan penghormatan Anugerah Sumbangan Cemerlang[/pullquote]
Z-Chen, dengan albumnya “In Love With…”, telah ditabalkan sebagai pemenang besar pada malam tersebut, dengan lima anugerah berjaya dibawa pulang untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Lelaki, Album Terbaik, Komposer Terbaik (Jin Yu Liang Yan), Penulis Lirik Terbaik (Xiang Feng Hen Zao) dan Susunan Lagu Terbaik (Jin Yu Liang Yan). Pasangan muzik beliau, Percy Phang pula berjaya meraih sejumlah lima anugerah untuk Komposer Terbaik, Penulis Lirik Terbaik, Penerbit Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik dalam kapasiti beliau sebagai seorang penulis lagu.
Eric Moo telah dinobatkan sebagai penerima anugerah Sumbangan Cemerlang pada malam tersebut di atas pelbagai pencapaian dan sumbangannya kepada industri muzik bahasa Cina. Beliau juga telah mempersembahkan beberapa lagu-lagu popularnya diiringi petikan gitar. Mengikuti tema acara iaitu “Heritage”, persembahan khas telah dimasukkan ke dalam aturcara pada malam tersebut, di mana lagu-lagu popular dari zaman 80-an, 90-an sehinggalah lagu terkini telah didendangkan sepanjang 18 minit persembahan tersebut.