DRAMA BERSIRI ANGKAT BIDANG PERLADANGAN DAN PENTERNAKAN TEMUI PENONTON RTM
Bidang perladangan dan penternakan sememangnya jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh, tekun dan penuh keikhlas mampu menghasilkan pulangan yang lumayan. Namun sebelum mengecap kejayaan tersebut, pelbagai rintangan dan dugaan terpaksa diharungi apatahlagi jika timbul rasa iri hati di kalangan pihak lain yang tidak menginginkan kejayaan itu diperolehi seseorang.
Mengangkat plot yang sama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan sebuah drama terbaharu bertajuk Setelah Kau Tiada arahan Jurey Latif Rosley yang bakal disiarkan bermula 19 April 2011, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.05 pagi di TV1.
Sepanjang 26 episod siarannya, Setelah Kau Tiada menyaksikan lakonan berkesan Intan Azura yang bergandingan dengan pelakon-pelakon lain antaranya Zed Zaidi, Aleeza Shadan, Yus Waisar, Wan Maimunah, Tunku Nurhaniz Tunku Salman dan Nabila Nasir menghidupkan watak masing-masing dalam drama yang menjalani penggambaran di kawasan sekitar Muar, Johor ini.
Setelah Kau Tiada mengisahkan Maria Mursyid yang telah memberitahu ibubapanya dia hendak berhenti kerja di bank. Ibubapanya terkejut dan tidak bersetuju dengan rancangan Maria. Bila Asraf Maulud, suami Maria pun memberitahu dia hendak berhenti kerja, bertambah sengitlah tentangan kedua-dua orang tua mereka.
Di tempat kerja, Maria mendapat galakan rakan-rakan yang mengetahui niatnya untuk berniaga sendiri. Bos tempatnya bekerja percaya Maria akan berjaya di bidang perniagaan.
Akhirnya Maria dan Asraf pindah ke kampung mengusahakan kebun seluas 20 ekar peninggalan ayah Asraf, walaupun mendapat tentangan dari kedua ibubapa. Kebun kelapa sawit diusahakan mereka dengan mengupah beberapa orang pekerja Indonesia. Mereka juga membela lembu dan kambing serta menternak ikan keli.
Sewaktu perkebunan mereka baru hendak mengeluarkan hasil, Asraf Maulud diserang angin ahmar dan meninggal dunia. Maka bermulalah episod Maria bersama dua orang anak mereka Aliah dan Reza yang masih kecil meneruskan pelbagai cabaran menguruskan perkebunan di kampung.
Maria dimarahi Zailani kerana lembu-lembu Maria yang terlepas dari kandang malam sebelumnya memusnahkan tanamannya. Maria mencari idea menambah pendapatan dan bercadang menjual aiskrim.
Abg Zailani sebenarnya sudah lama menaruh hati terhadap Maria tetapi tidak dibalas oleh Maria. Untuk memuaskan hati Abg Zailani, Maria terpaksa membayar ganti rugi tanaman yang dimusnahkan oleh lembu-lembu Maria.
Ketika pelbagai konflik dan tohmahan yang ditimbulkan Zailani hingga menyebabkan Maria adakalanya berdepan dengan situasi sukar. Namun bagaimanakah kesudahannya? Adakah Maria cekal berdepan dugaan?