Meskipun kini pertandingan mencungkil bakat dalam bidang nyanyian tumbuh umpama cendawan lepas hujan, namun pertandingan Bintang RTM anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sememangnya masih memiliki auranya yang tersendiri untuk menarik penyertaan penyanyi-penyanyi amatur di Malaysia mempertaruhkan bakat masing-masing.
Malah Bintang RTM sememangnya telah melahirkan ramai penyanyi-penyanyi berbakat yang telah mencipta nama dipersada muzik tanahair antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Siti Sarah, Azharina dan Misha Omar.
Ujibakat Bintang RTM 2009 yang telah berlangsung sejak 10 dan 11 Januari lalu diadakan di empat lokasi berbeza melibatkan RTM Kuching, RTM Miri, RTM Labuan dan RTM Kota Kinabalu yang telah menarik penyertaan warganegara Malaysia berumur antara 17 hingga 25 tahun yang mahu mengetengahkan bakat mereka.
Peserta yang berminat untuk menyertai sesi ujibakat ini bebas untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer tempatan atau antarabangsa samada lagu berirama pop komersial, balada, rock, R&B, Jazz, dangdut dan pop tradisional.
Ujibakat Bintang RTM 2009 turut diadakan di RTM Pulau Pinang pada 16 hingga 18 Januari 2009, Plaza Angsana Johor Bahru pada 17 hingga 18 Januari 2009, Taman Awam Batu Buruk Kuala Terengganu pada 23 hingga 25 Januari 2009 sebelum sesi ujibakat terakhir berlangsung di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Februari 2009.
Kepada anda yang berminat menyertai Ujibakat Bintang RTM 2009 boleh mendapatkan borang penyertaan atau maklumat lanjut di stesen RTM berhampiran atau meluangkan masa melayari laman sesawang : www.bintangrtm.com.