in

Tonton Teater Mana Setangginya & Inran Yang Tercanai di TV1

2 TEATER : MANA SETANGGINYA DAN INTAN YANG TERCANAI DISIARKAN DI TV1

Dari pentas teater ke kaca TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menayangkan dua teater hebat yang pernah di pentaskan tahun lalu bertajuk Mana Setangginya (17 Januari 2010) dan Intan Yang Tercanai (31 Januari 2010), jam 3.05 petang menerusi Saluran Informasi TV1 yang masing-masing membawa mesej yang sama iaitu ketuhanan.

Bermula dengan Mana Setangginya berlegar sekitar kisah penduduk sebuah perkampungan nelayan menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil ponhon setangginya. Nelayan ini dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu hari beribadat. Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit. Walaupun hidup mewah, mereka melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing telah membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka.

Juda, iaitu anak Hawar mengahwini kekasihnya Iriam, iaitu anak Ibra. Tetapi Silbi dan Subhat menabur fitnah akan asal usul Iriam. Juda bermuka-muka akan kebaikannya untuk mengaburi penduduk kampung. Lalu, dia dan ayahnya mengiktirafkan kedudukan mereka sebagai ‘raja’.  Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda telah ditangkap oleh Uzza. Ibra dan Iriam datang membebaskan paderi tapi telah dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan. Iriam juga diserahkan kepada Uzza dengan persetujuan Juda.

Tiba-tiba turunlah ribut yang maha dashyat serta halilintar yang membelah suasana. Belut gergasi yang dibela Uzza akhirnya memakan tuannya serta membunuh Hawar. Akhirnya, Juda telah pun menemui sodom wa gamurahnya.

Mana Setangginya dibintangi Tony Eusoff, Sabrina Ali, Shahrudin Thamby dan Azizah Mahzan.

Menyusul kemudiannya teater yang mengupas satu per satu persoalan psikologi dan agama yang membawa penonton hanyut didalam perjalanan cerita yang sangat indah bertajuk Intan Yang Tercanai karya terkini sasterawan negara Noordin Hassan dimana drama ini mengangkat keperibadian seorang wanita unggul bernama Ungku Intan Anis. Dia bersahabat dengan Danial Sundaram sejak di bangku sekolah lagi dan terus akrab semasa di luar negara.

Danial yang pernah belajar perbandingan dan psikologi agama di universiti sedang dalam pencarian sebenarnya. Keperibadian Ungku Anis yang luar biasa yang sanggup datang dengan kawan-kawannya pada hari Danial menanggung kavadi serta terlibat dalam kerja-kerja sosial, membantu orang miskin di kampung hingga ke Guatemala dan negara Afrika telah menyentuh dan mengharukan hati Danial.

Dalam usia muda Ungku Anis ke Makkah, tetapi Ungku Anis telah hilang dalam peristiwa Terowong Al- Mu’aysam yang mengorbankan 1426 jemaah haji. Kehilangannya telah mendorong Danial untuk ke Makkah untuk mencarinya .

Arahan A.Wahab Hamzah, teater ini menyaksikan persembahan pentas bertenaga oleh Mardiana Alwi, Arwindran Kalaivanan, Geethanjali Gausilia, Rasdi Daud selain pelakon hebat yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri Fauziah Ahmad Daud, Juhara Ayob dan Norzizi Zulkifli.

Justeru kepada anda yang terlepas kesempatan menyaksikan dua teater hebat ini, usah ketinggalan menyaksikan Mana Setangginya (17 Januari 2010) dan Intan Yang Tercanai (31 Januari 2010), jam 3.05 petang di TV1.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Halim Othman di Sidang Media Penyampai Suria FM

Drama Komedi Aca dan Atuk di TV2