Tangisan Bulan Madu Lakonan Ezany Nizariff, Rita Rudaini Dan Zarynn Minn

SLOT RATU: TANGISAN BULAN MADU, BERMULA 20 MEI 2008, SETIAP SELASA DAN RABU, JAM 9.00 MALAM DI RTM2

Kehadiran novel Tangisan Bulan Madu bagaikan fenomena hingga diulangcetak belasan kali dan disusuli oleh tiga sekuel. Lantaran itu sehingga kini watak Bogatt dan Amira masih segar di ingatan peminat setia karya Samsiah Mohd Nor yang sekaligus pernah diangkat antara novel perintis dalam genre sastera pop di Malaysia. Kini, Setelah 17 tahun, baru lah novel ini dipindahkan ke medium televisyen.

Dihasilkan dalam bentuk drama bentuk drama 30 episod, Tangisan Bulan Madu disiarkan mengisi slot Ratu, bermula 20 Mei 2008, setiap Selasa dan Rabu, jam 9.00 malam di RTM2.

Kerjasama dan persefahaman antara penulis skrip, Maizura Mohd Ederis sebagai penulis skrip dibantu oleh Samsiah Mohd Nor, pengarang asalnya berjaya menghasilkan sebuah karya yang boleh berdiri dengan sendiri di samping karya asalnya.

Namun mereka akur pada hakikat perbezaan medium yang menuntut beberapa perubahan semasa proses adaptasi. Kemunculannya di kaca televisyen, pasti mendapat kejutan yang menarik dari segi huraian plot, perubahan struktur, penambahan isi kandungan, tekstur, visual dan pengolahan yang hasilnya jelas menunjukkan kekuatan visual yang ingin ditonjolkan.

SINOPSIS DRAMA TANGISAN BULAN MADU

Tangisan Bulan Madu mengisahkan saat tiga minggu paling bermakna yang dikecapi pasangan Bogatt dan Amira ketika berbulan madu. Amira, seorang gadis kampung miskin yang bertemu jodoh dengan Bogatt, anak ahli perniagaan berjaya di Kuala Lumpur.

Namun belum sempat mengecapi kebahagiaan suami isteri, Bogatt meninggal dunia kerana penyakit barah otak yang dirahsiakan. Bogatt tidak menyentuh Amira walaupun berkeinginan mengecap kebahagiaan suami isteri yang sah bersama wanita yang amat bermakna dalam hidupnya itu. Bogatt memutuskan mahu meninggalkan Amira dalam keadaan “suci” agar boleh menyambung impian bulan madu dengan lelaki lain.

Amira merayu agar Bogatt meninggalkan “sesuatu” kepadanya. Bogatt tetap dengan pendiriannya. Lalu di depan Bogatt, Amira bersumpah untuk tidak berkahwin sekali lagi buat selamanya.

Amira kemudiannya menjadi guru di samping menghasilkan puisi menggunaka nama pena Delima. Antara puisinya yang terkenal termasuklah Pengantin yang diangkat daripada kisah benarnya dengan arwah suaminya. Dalam diam puisinya diminati R.Q.Amir yang sering menghubunginya melalui e-mel tapi tidak pernah dibalasnya.

Tetapi pertemuannya dengan penyair saling tidak tumpah seperti Bogatt mengejutkan Amira. Apatahlagi setelah lelaki bernama Razlan itu memperkenalkan diri sebagai R.Q.Amir yang meminatinya. Malah lebih mengejutkan, Razlan adalah adik kepada Bogatt tetapi berlainan ibu.

Razlan berterus-terang menyatakan rasa cintanya terhadap Amira tetapi ditolak kerana Amira masih setia terhadap sumpahnya pada arwah Bogatt. Razlan yang kecewa memutuskan mengikat tali pertunangan dengan Johanna, gadis pilihan ibunya. Hakikatnya baik Razlan mahupun Amira memendam rasa di atas keputusan itu.

Masa berlalu Razlan asyik menunda pernikahan yang akhirnya membuatkan Johanna nekad memutuskan pertunangan mereka. Kemunculan Bada, seorang doktor yang menabur budi mengubati ibu Amira berkesudahan Amira terpaksa melunaskan wasiat ibunya supaya Amira menerima Bada sebagai suami.

Razlan kecewa lalu membawa diri ke luar negara menyertai projek kebajikan membantu mangsa perang. Sementara Amira pula tidak dapat menerima Bada sepenuh hati kerana kesetiaann cintanya terhadap Bogatt.

Lima tahun berlalu, hubungan Amira dan Bada masih dingin. Bada sengaja menyibukkan dirinya dengan tugas di hospital. Amira masih terdera perasaannya mengingati Bogatt yang sudah bertahun-tahun tiada. Dia kemudiannya berhenti mengajar lalu menguruskan perniagaan Butik Marina. Razlan pula kembali ke pangkuan keluarga untuk menguruskan perniagaan milik keluarganya.

Bada yang bosan dengan situasi itu nekad menceraikan Amira dengan talak satu. Detik itulah Amira semakin tertekan dan kerap mengunjungi pusara Bogatt.

Mampu kah Amira berpegang kepada sumpah setia itu? Apatahlagi dengan kemunculan semula Razlan yang tidak pernah putus asa menyatakan rasa cintanya terhadap Amira.

Tangisan Bulan Madu menyaksikan lakonan mantap dan berkesan Ezany Nizariff, Rita Rudaini, Dato’ Jalaluddin Hassan, Fadilah Mansor, Liza Othman, Zarynn Minn, Eira Syazira dan Aripah Damanhuri.

Saksikan kesudahan episod tragis dan perjuangan kesetiaan wanita cekal bernama Amira menerusi Tangisan Bulan Madu disiarkan mengisi slot Ratu, bermula 20 Mei 2008, setiap Selasa dan Rabu, jam 9.00 malam di RTM2.

[tags]Ezany Nizariff, Rita Rudaini, Dato’ Jalaluddin Hassan, Fadilah Mansor, Liza Othman, hollywood gossips, legend of bagger vance, los angeles escort, Zarynn Minn, Eira Syazira, Aripah Damanhuri, Tangisan Bulan Madu, bada, bogatt, amira[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gossip Maya Karin Akan Kahwin British Guy Bernama Steve?

Sekitar Majlis Anugerah Inspirasi Triumph 2008 di Pavilion