Dipetik dari Kosmo:
RAMAI betul teman-teman media yang merungut dengan sikap penyanyi, Suki. Kononnya Suki sukar memberi kerjasama sewaktu dia hadir ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Princess Haliza di Sepang, Selangor minggu lalu.
Kata mereka, alasan Suki untuk pulang lebih awal dan kesuntukan masa sebagai kurang relevan kerana pihak media dijemput ke kem tersebut untuk mengikuti dokumentari kehidupan tiga selebriti yang sedang menjalani latihan di kem itu selama tiga bulan. Mereka ialah Diana Danielle, Alif dan Suki.
Jadi apabila Suki memberi alasan yang dia kesuntukan masa dan seperti enggan bekerjasama sewaktu gambarnya ingin dirakamkan media, ramai yang berasa Suki tidak menghormati pekerjaannya sendiri.
“Sepatutnya dia tak boleh balik awal dan beri alasan begitu. Dia tahu bahawa pada hari itu dia perlu memberi komitmen untuk dokumentari tersebut. Seharusnya Suki sudah mengosongkan jadual hari tersebut dengan agenda itu sahaja. Kalau dia sibuk, kami pihak media tak sibuk ke?” luah seorang teman wartawan Diva yang menganggap tindakan Suki itu sebagai kurang profesional.
Tambahnya lagi, mujur ada Diana dan Alif yang memberi kerjasama baik. Jika tidak, pasti mereka pulang dengan tangan kosong.
Buat Suki, Diva suka nak ingatkan, media tak rugi apa-apa kalau anda sombong. Tapi anda yang rugi kerana merosakkan reputasi sendiri.
Diva: Ada teman mengadu pernah menemu bual Suki yang berbaring dengan alasan penat.