Penerbit: David Teo
Pengarah: Ahmad Idham
Syarikat Penerbit : MIG Production Sdn. Bhd.
Kategori : Filem Cereka
Bahasa : Bahasa Melayu
Genre : Keluarga
Format : 35mm
Klasifikasi : U – Untuk tontonan umum
Tarikh Tayangan : 21 Mei 2009
Krew filem:
Raja Mukhriz: Pengarah Fotografi
Reanna : Pembantu Pengarah
Iqbal Mydin : Pengurus Produksi
Ollynn : Pengarah Seni
Mohd Zaini : Jurusolek Artis
Brian Ng (Kang) : Pereka Bunyi dan muzik
Irham, berusia lewat 20-an anak kepada pasangan Tan Sri Zakaria dan Pn Sri Mahani telah membesar di luar negara sejak berumur 12 tahun lagi. Dia telah bersekolah dan bekerja di sana untuk beberapa tahun dan pulang ke Malaysia kerana perlu mengambil alih syarikat milik keluarganya. Kerana terlalu lama di luar negara, cara dan gaya hidupnya tidak ubah seperti orang barat.
Sekembalinya ke Malaysia, Irham telah bertemu dengan rakan-rakan lamanya ketika belajar di luar negara iaitu Zainal dan Alex yang sangat mengenali hati budi Irham. Irham sememangnya seorang lelaki yang handal memikat gadis yang diinginkannya. Alex dan Zainal sering kalah jika bertaruh. Bagi memastikan Irham kalah, mereka mencabar Irham memikat gadis bertudung kerana mereka tahu Irham tidak menyukai gadis sebegini.
Gadis tersebut adalah Syuhadah, seorang gadis moden namun masih mempertahankan nilai-nilai sebagai seorang muslimah sejati. Dia merupakan anak yatim dan dijaga oleh datuknya sejak dari kecil. Walaupun hidup mewah namun dia tetap dididik dengan didikan agama yang cukup. Irham melakukan pelbagai cara untuk memikat Syuhadah yang secara kebetulan merupakan guru agama di sekolah adik angkatnya iaitu Ikmal.
Hubungan Irham dan Ikmal yang tidak begitu baik sebelum ini menjadi lebih baik apabila Irham memerlukan bantuan Ikmal dalam menjayakan ’misi’nya. Melihat ’ketulusan’ Irham yang berpura-pura mendalami ajaran Islam, hati Syuhadah terbuka untuk menerima Irham sebagai kawan dan dalam tempoh berkawan dalam diam-diam wujudnya perasaan kasih dan sayang. Irham pula sedikit sebanyak dibimbing oleh Syuhadah sehinggakan dalam tempoh sebulan tanpa dia sedari dia telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim dan dia merasa selesa dan tanpa disedari telah menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam seperti mendirikan solat.
Namun tempoh sebulan telah pun tamat dan Irham perlu berjumpa dengan Zainal dan Alex bagi menunaikan janjinya dengan membawa Syuhadah. Di depan Zainal dan Alex Irham telah berterus-terang kepada Syuhadah bahawa dia cuma ”suka-suka” dan bukannya benar-benar jatuh cinta kepada Syuhadah. Syuhadah yang mendengar pengakuan itu benar-benar kecewa. Sudahlah dia susah untuk menerima cinta dari seorang lelaki kini lain pula jadinya. Syuhadah telah membawa diri pulang ke kampung. Irham menang pertaruhan tetapi dia gagal menafikan perasaannya yang sebenar terhadap Syuhadah.
Bagaimana Irham menangani perasaan tersebut? Berjayakah Irham memenangi kembali hati Syuhadah yang begitu kecewa dengan apa yang berlaku? Segalanya bakal terjawab dalam SYURGA CINTA.
TRAILER FILEM SYURGA CINTA
SENARAI NAMA PELAKON DAN WATAK
1. IRHAM (AWAL ASHAARI)
Seorang pemuda tampan yang berumur lingkungan lewat 20 an. Dibesarkan di luar negara oleh itu sikapnya banyak dipengaruhi oleh suasana barat. Selain daripada itu, didikan agama yang tidak pernah diberikan oleh kedua orang tuanya menyebabkan dia seorang yang jahil tentang agama. Ego dan pantang dicabar tetapi sangat romantik. Mudah untuk menangis.
2. SYUHADAH (HELIZA AF5)
Berumur awal 20-an. Seorang guru agama yang baru sahaja keluar dari universiti. Sangat penyabar dan mudah memaafkan serta memberi orang peluang. Di besarkan dengan penuh didikan agama oleh datuk dan arwah neneknya. Seorang gadis bertudung yang bukan sahaja ayu tetapi terserlah dengan sifat-sifat muslimah sejati. Suka membaca dan menambahkan pengetahuannya tentang agama.
3. IKMAL (HADZIQ TOM TOM BAK)
Ikmal seorang budak lelaki yang berumur 8 tahun. Seorang budak nakal tetapi cerdik dan petah apabila bercakap. Penuh dengan idea-idea yang bernas yang dipengaruhi dari kaca televisyen. Ikmal ialah seorang budak yang mendengar kata bukan sahaja guru tetapi juga kedua orang tuannya. Bersikap penyayang dan suka memerhati. Meletakkan guru agamanya (Syuhadah) sebagai sumber ilmu bagi pelajaran agama.
4. TAN SRI ZAKARIA (MUSTAPHA KAMAL)
Zakaria berumur lingkungan 50-an merupakan seorang ahli perniagaan yang disegani di Malaysia. Bapa yang sangat penyayang namun tanggungjawabnya sebagai bapa bagi mendidik anak-anak tidak terlaksana kerana dia sendiri sangat jahil di dalam agama. Seorang yang berfikiran terbuka dan tidak kisah apa sahaja. Suka membuat amal jariah dengan menderma dan sebagainya kepada insan yang memerlukan.
5. PUAN SRI MAHANI (DIAN P. RAMLEE)
Juga berumur di dalam lingkungan lewat 40-an. Dia ialah seorang isteri dan teman yang baik kepada Tan Sri Zakaria namun tidak dalam soal mendidik anak-anaknya. Sentiasa sibuk dengan persatuan datin-datinnya dan gila glamour. Suka menangis.
6. ALEX (SAM SAHEIZY)
Rakan baik kepada Irham ketika belajar di luar negara. Suka mencabar Irham dan juga merupakan seorang ”kaki perempuan”. Sikap baiknya ialah cenderung mempromosikan produk tempatan.
7. ZAINAL (FIZZ FAIRUZ)
Berumur lebih kurang Alex dan Irham yang juga merupakan teman baik Irham ketika belajar di luar negara. Juga suka mencabar Irham. Zainal mempunyai sikap baik iaitu suka mengikut kata-kata ibunya walaupun dia sendiri tidaklah berapa baik dalam soal-soal tertentu.
8. DATUK (HISHAM AHMAD TAJUDDIN)
Datuk kepada Syuhadah yang berumur lingkungan 60-an yang merupakan seorang datuk yang mempunyai sikap humor. Namun begitu, pandai dan arif dalam soal-soal agama dan mendidik Syuhadah menjadi seorang muslimah yang sejati.
SIARAN AKHBAR
Metrowealth (MIG) telah menghasilkan filem terbitannya yang ke-29 berjudul Syurga Cinta. Syurga Cinta mengetengahkan unsur keagamaan di dalam sebuah kisah cinta remaja masa kini. Pada awal pembabitannya, MIG menghasilkan filem pertama berjudul Syukur 21 yang juga sebuah filem berunsur keagamaan. Syurga Cinta yang skripnya dihasilkan oleh Panel Skrip MIG berasaskan konsep oleh David Teo ini diarahkan oleh Ahmad Idham.
Menjadi sebahagian daripada tanggungjawab penggiat filem yang merupakan medium berpengaruh mendidik masyarakat untuk memaparkan sesuatu yang mampu dijadikan tauladan. MIG menganggap cara sebegini mampu mengimbangi pelbagai medium lain yang dilihat mampu memesong akidah dan minda remaja di era globalisasi ini. Kebimbangan terhadap gejala sosial menjadi salah satu agenda terpenting negara untuk menanganinya dan MIG cuba memainkan sedikit peranan dalam menjayakan usaha tersebut.
Syurga Cinta akan mengupas kehidupan dua Melayu Islam dengan dua akidah atau pegangan yang jauh berbeza. Pertama yang mengagungkan gaya hidup barat dan seorang lagi yang masih teguh mempertahan keimanan kepada Islam dan nilai-nilai ketimuran. Pertembungan dua gaya hidup inilah yang akan menonjolkan nilai yang akan menyentuh dan menggeletek hati para penonton. Biarpun filem Syurga Cinta ini mengutarakan kisah cinta namun, ia tetap mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri apabila ia akan digarap melalui pendekatan Islamik.
Barisan pelakon yang menjayakan filem Syurga Cinta ini terdiri daripada pelakon-pelakon terkenal tanah air seperti Awal Ashaari, Mustapha Kamal, Dian P. Ramlee, Hisham Ahmad Tajuddin, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam dan Wazata Zain. Syurga Cinta juga memperkenalkan Heliza AF5 di layar perak sebagai heroin dan pelakon kanak-kanak yang terkenal melalui rancangan Tom Tom Bak iaitu Hadziq yang berusia 8 tahun semasa pengambaran. Pemilihan pelakon ini dibuat berdasarkan kesesuaian watak dan kehendak skrip selain menyediakan barisan pelakon pelapis untuk industri perfileman Malaysia di masa akan datang.
Syurga Cinta akan menemui penonton seluruh Malaysia bermula 21 Mei ini.
SNEAK PREVIEW BABAK-BABAK MENARIK DALAM SYURGA CINTA
PART 1
PART 2
PART 3