KONSEP ‘GOLDEN GLAMOUR’ SERLAH MALAM ANUGERAH
Anugerah Skrin 2010 telah meraikan kejayaan pengarah Murali Abdullah serta pelakon-pelakon tersohor seperti Fauzi Nawawi, Noorkhiriah, Fadhilah Mansor, Bront Palarae, Sharifah Amani, Aaron Aziz, Fazura, Syamsul Yusof dan Shaheizy Sam. Kini, penganjuran anugerah paling berprestij, Anugerah Skrin kembali untuk memberi pengiktirafan kepada para karyawan seni tanah air dengan mengangkat ‘Golden Glamour’ sebagai konsep malam Anugerah Skrin 2011 yang akan bersiaran secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 4 November 2011 (Jumaat) jam 9.00malam.
VIDEO SEKITAR PELANCARAN ANUGERAH SKRIN 2011
Klik sini untuk tengok
Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Skrin anjuran TV3 meneruskan usaha untuk menjulang bakat penggiat-penggiat seni dan karyawan tanah air. Utuh memasuki musim penganjurannya selepas sedekad, Anugerah Skrin 2011 merupakan antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun kerana cetusan konsep dan identiti yang berlainan. Konsep yang segar ditampilkan setiap kali penganjurannya telah menyerlahkan lagi keunggulan majis tersohor ini.
Menurut Ketua Pengawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Encik Ahmad Izham Omar, “Aziz M. Osman, Ahmad Idham, Khabir Bhatia, Azman Yahya, Eirma Fatima, Murali Abdullah, Afdlin Shauki, Mamat Khalid dan arwah Yasmin Ahmad merupakan nama-nama yang pernah menjulang Anugerah Pengarah Terbaik di penganjuran anugerah berprestij, Anugerah Skrin. ‘Golden Glamour’ merujuk kepada sentuhan magis para karyawan dan produksi yang menghasilkan karya-karya hebat, melahirkan bintang-bintang baru yang bersinar di persada seni tanah air selain mencetus idea dan inspirasi kepada rakan seangkatan untuk terus berkarya.â€
Tahun ini, pengacara TV berkaliber, Ally Iskandar akan berganding dengan pelakon wanita sensasi, Rozita Che Wan untuk mengemudikan majlis penganugerahan manakala acara karpet merah akan dikendalikan oleh pasangan Adzriefaiz Adzlan (Faiz) dan Nabila Huda bersama Juara Hos Bintang Pantene. Antara artis-artis yang akan menjayakan persembahan Anugerah Skrin 2011 ialah Black, Elecoldxhod, Ferhad, Zizan, Zain Ruffedge, Altimet, Najwa Latif, Awi Rafael, Nashrin, Jaclyn Victor, Shila Amzah, Alyah, Aizat dan Tomok. Selain itu, nantikan persembahan istimewa daripada dramatis popular seperti Kilafairy, Nur Fathia, Wawa Zainal dan Liyana Jasmay.
Seperti tahun sebelumnya, selain rangkaian televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad yang terdiri daripada TV3, NTV7, 8TV dan TV9, pihak penganjur juga turut menjemput stesen televisyen RTM dan ASTRO untuk sama-sama menyertai anugerah yang berprestij ini. Kesemua rangkaian televisyen ini layak untuk menghantar penyertaan bagi terbitan drama dan terbitan dalaman yang pernah disiarkan di stesen televisyen mereka untuk merebut anugerah bagi kategori yang dipertandingkan mengikut syarat yang telah ditetapkan.
Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2011 bakal mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta 2 Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene. Kesemua 23 kategori yang dipertaruhkan meliputi 10 kategori drama bakal dipertandingkan manakala jumlah kategori filem yang dipertandingkan kekal 7 kategori dan 6 kategori penerbitan dalaman. Calon-calon yang dipertandingkan pula terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011 selain pencalonan drama yang berdasarkan catatan jumlah penonton yang berjaya diraih mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut ‘genre’ masing-masing.
Untuk kategori drama, 17 buah drama, 10 drama rantaian dan 7 drama komedi telah dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula 29 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk Anugerah Skrin 2011 ini. Antara drama yang layak bertanding seperti Berkalung Noda, Airmata Nur Salina, Korban Kasih Abah, Jangan Hantar Aku Ke Neraka, Rendang Madu, Masihkah Ada Sinar, Janji Syurga dan Sanggul Beracun.
Manakala filem yang layak bertanding termasuk Mantra, Magika, Estet, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hikayat Merong Mahawangsa, Nur Kasih The Movie, Sekali Lagi dan KL Gangster. Bagi kategori drama rantaian pula, ASK 2011 menerima pencalonan seperti Asmara 2, Juvana, Nora Elena, Syurgamu Ramadan, Trilogi Cinta, Roda-Roda KL, Dia Bukan Maryam dan Lagenda Budak Setan. Semua pencalonan akan dinilai oleh panel juri profesional yang dipilih.
Tahun ini, ASK 2011 turut menyampaikan Anugerah Yasmin Ahmad dalam kategori Anugerah Khas Juri untuk kali yang ketiga sempena menghargai jasa arwah Yasmin Ahmad dalam sumbangannya menghasilkan konsep filem yang berkualiti dan memperkenalkan bakat-bakat baru di dalam filem terbitannya. Selepas Jaclyn Victor dan Shaheizy Sam, trofi ini akan dianugerahkan kepada bakat baru yang berpotensi untuk pergi jauh di dalam industri tanah air. Sementara itu, drama-drama yang dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat yang memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu.
HOS ANUGERAH SKRIN – ROZITA CHE WAN. CANTEK!
Rozita mulanya terkejut dengan pemilihan itu namun memandang positif dengan amanah yang diberikan. Tugas itu adalah peluang besar untuknya dalam mengembangkan kerjaya seninya ke tahap lain.
“Sudah tentu saya takut dan fikir banyak kali sebelum menerima tawaran itu. Namun atas dorongan dan keyakinan pihak produksi serta Ally saya menyahut cabaran tersebut,” katanya.
Manakala Ally pula berkata, dia akan mempersiapkan diri untuk acara gilang gemilang itu dan akan memastikan keserasian mereka berdua. Ally menyifatkan pemilihan Rozita sebagai hos bersama memberikannya peluang untuk mengenali bidang lakonan dengan lebih mendalam.
“Sebelum ini saya banyak mengacarakan program berbentuk hiburan dan ini kali pertama untuk ASK2011.Persediaan tetap perlu dilakukan kerana ia sebuah majlis anugerah dan latihan bersama Rozita akan diteruskan bagi mencari keserasian antara kami supaya tidak kekok nanti. Kami akan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Pengalaman saya sebagai penyampai akan saya kongsi bersama Rozita, manakala pengalaman Rozita dalam bidang lakonan akan dikongsikan dengan saya. Pada malam itu, kami berharap akan dapat saling melengkapi bagi memeriahkan lagi suasana malam tersebut.†tambah Ally lagi.
Izham pula menjelaskan, “Pihak penerbitan telah melakukan satu sesi ujibakat untuk Rozita. Saya sendiri telah menonton pita rakaman ujibakatnya. Kami merasakan ia satu kombinasi yang unik selain mewujudkan satu pembaharuan. Kami cukup teruja untuk menyaksikan hasilnya,â€
Tambah Puan Nurul Aini selaku Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “Kami sangat yakin kombinasi Rozita dan Ally akan memberi sentuhan kelainan kepada majlis anugerah berprestij itu.â€
Berterima kasih kerana dipilih sebagai hos bersama, Rozita berjanji akan melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.
“Saya mengambil masa selama 2 minggu untuk membuat keputusan. Saya sedar pengacaraan bukan bidang saya tetapi saya mencabar diri saya untuk melakukannya. Saya telah meneliti draf pertama skrip untuk majlis tersebut. Saya perlu banyak belajar dengan Ally bagaimana untuk menjadi seorang hos yang baik.”
Encik Ahmad Izham Omar menjelaskan lagi, “Seperti yang pernah kami tegaskan sebelum ini, Anugerah Skrin bukanlah pertandingan antara stesen televisyen, tetapi drama dan terbitan yang disiarkan melalui stesen-stesen ini yang dipertandingkan. Kami amat berbesar hati kerana Anugerah Skrin 2011 sentiasa mendapat kerjasama dan sokongan positif dari rakan-rakan stesen televisyen yang lain dan menerima banyak pencalonan yang menampilkan muka-muka baru dalam bidang ini. Ia merupakan satu petanda positif dalam meningkatkan mutu seni tanah air serta ia dapat menyuntik semangat kepada penggiat-penggiat seni untuk berusaha lebih gigih lagi agar hasil karya mereka dihargai dan mendapat pengiktirafan. Kami berharap dengan adanya Anugerah Skrin ini, akan menyemarakkan lagi usaha penggiat seni tanahair untuk menerbitkan produk-produk yang lebih bermutu pada masa akan datang,†tambahnya.
Pantene sekali lagi menjadi penaja utama untuk Anugerah Skrin 2011. Apa yang menarik tahun ini, sokongan mantap daripada penonton-penonton Anugerah Skrin berjaya menarik minat jenama penjagaan kulit dari Procter & Gamble. “Nantikan tips-tips menarik daripada Pantene dan Olay yang bakal disiarkan di TV3 untuk melihat bagaimana artis-artis kesayangan anda bersiap untuk karpet merah. Walau apapun penampilan mereka, yang pasti, tiada lebih penting daripada keyakinan diri yang teserlah hanya dengan rambut dan kulit yang sihatâ€, ujar Ellie Xie, Ketua Pegawai Eksekutif, Procter & Gamble Malaysia.
Untuk menyemarakkan lagi Anugerah Skrin 2011, TV3 akan mengadakan suatu sesi ramah mesra bersama artis-artis seperti Datin Paduka Umie Aida, Zahiril Adzim, Johan Asa’ari, Izreen Azminda, Wan Sharmila, Zul Yahya dan Fasha Sandha pada 22 Oktober 2011 (Sabtu), jam 2.00petang di Pintu Utama, Central Park, Pusat Membeli Belah 1 Utama (Sayap Baru), Petaling Jaya, Selangor. Acara tersebut juga akan dimeriahkan dengan persembahan nyanyian hebat daripada Nashrin, Najwa Latif, Salma Mentor 5 serta pengumuman Juara bagi Pertandingan Pencarian Hos Bintang Pantene yang akan mengacarakan karpet merah ASK 2011.
Selain itu, Anugerah Skrin 2011 turut mendapat kerjasama daripada stesen radio Hot FM selaku rakan media. ASK2011 juga boleh disaksikan di laman sesawang www.tv3.com.my dan www.tonton.com.my yang turut memuatkan klip-klip menarik di sebalik takbir dan kemeriahan karpet merah. Tenaga penerbitan Anugerah Skrin 2011 akan diketuai oleh Puan Hamsiah Biri selaku penerbit.