Novel LUKA telah dilancarkan pada 12 Mac 2009 di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding, Perak oleh YBhg. Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal b. Hj Abu Bakar, Pengerusi Kumpulan EMKAY. LUKA, hasil karya penulis baru Tris Zainol Abidin, adalah novel pertama di Malaysia yang diterbitkan dengan cakera padat runut bunyinya sendiri.
Penerbit Novel ini, Tris, adalah seorang graduan undang-undang dari London School of Economics and Political Science (LSE) tetapi memilih kerjaya professional sebagai pengurus seorang artis terkenal Malaysia sejak 13 tahun yang lalu. Beliau mula berjinak dalam bidang penulisan kreatif melalui penulisan lagu dan lirik. Salah satu karya beliau lagu berjudul ‘Kata’ nyanyian Hazami telah berjaya dinobatkan sebagai Lagu Pop Terbaik di Anugerah Juara Lagu 2006. Beliau mendapat ilham cerita LUKA pada hari jadinya yang jatuh di dalam bulan Ramadhan enam tahun yang lalu.
Seiring dengan penerbitan buku LUKA ini adalah cakera padat LUKA yang memuatkan 2 buah lagu iaitu Luka (versi Bahasa Malaysia) dan ‘Losing Me’ (versi Bahasa Inggeris) nyanyian penyanyi popular Dayang Nurfaizah. Muzik meninggalkan impak pada para pendengar—lagu-lagu dalam novel LUKA ini pastinya akan menyentuh perasaan para pembaca dan memberikan penghayatan yang lebih mendalam.
Pelancaran novel LUKA ini ditaja oleh Kumpulan EMKAY dan Belum Rainforest Resort. Melalui Pulau Banding Foundation, Kumpulan EMKAY sangat komited dan aktif di dalam usaha-usaha pemuliharaan dan pengekalan alam semula jadi di Kompleks Hutan Hujan Belum-Temengor, manakala melalui Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah merupakan platform EMKAY menyumbang kearah usaha membiak, mengkaji dan mengelak primat Orang Utan dari kepupusan.
Memandangkan Dayang Nurfaizah juga adalah Duta Pemeliharaan dan Pengekalan Alam Semula Jadi bagi Pulau Banding Foundation dan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah, maka kerjasama strategik novel LUKA dengan Kumpulan EMKAY amatlah bertepatan. Sebagai penghargaan kepada Kumpulan EMKAY, Pulau Banding Foundation, Belum Rainforest Resort dan Kawasan Hutan Belum – Temengor diberi sebutan istimewa di dalam novel LUKA.
Usahasama di antara novel Luka, Dayang dan Kumpulan Emkay ini merupakan satu alternatif baru untuk memberi kesedaran kepada generasi muda hari ini untuk mengenali dan menjadi lebih prihatin terhadap alam semula jadi.
Di samping memberi kesedaran ini, novel LUKA juga adalah satu platfom baru bagi menarik dan memupuk kembali minat membaca di kalangan golongan muda dalam lingkungan umur 14-25 tahun. Golongan muda yang sentiasa dahagakan hiburan akan terhibur dengan novel ini yang mempunyai kelebihannya tersendiri dengan mengarahkan pandangan mereka kepada sesuatu yang positif dan konstruktif berbanding dengan aktiviti yang kurang produktif seperti melepak di pusat-pusat hiburan, bermain ‘video game’ dan sebagainya. MTV luka juga diharap akan dapat menimbulkan rasa cinta generasi muda terhadap alam semula jadi.
“Saya percaya LUKA akan memberikan impak kepada pembaca kerana mereka bukan sahaja akan tertarik dengan ceritanya tetapi akan juga terhibur dengan dendangan lagu oleh Dayang disamping menanam rasa cinta terhadap alam semula jadi.” menurut Tan Sri Datuk Hj. Mustapha Kamal.
Kumpulan EMKAY juga telah menaja pembikinan 2 video klip bagi lagu ‘Luka’ dan ‘Losing Me’ yang dirakamkan sepenuhnya di kawasan Hutan Belum-Temengor dan di Belum Rainforest Resort.
Novel LUKA akan berada di pasaran bermula 23 Mac 2009.