in

Sari Yanti & Eddy Casmady Kahwin 16 Januari Ini

Semestinya sekarang Sari Yanti sedang buat persiapan rapi untuk majlis kahwinnya. Tak sangka diam-diam, Sari Yanti yang sering Budiey temui ini akan kahwin pada usia muda 25 tahun. Selamat melangsungkan majlis, Sari Yanti. Jangan lupa jemput Budiey ya.

SARI YANTI PILIH MAJLIS SEDERHANA!

Pelakon kecil molek, Sari Yanti, 25, bakal menamatkan zaman solonya dengan jejaka pilihan, Mohd Eddy Casmady (Eddy), 28, pada 16 Januari ini. Memandangkan hari bersejarah itu hanya tinggal dua minggu sahaja lagi, pelakon yang terkenal menerusi drama ‘Kisah Kaisara’ ini, memberitahu dia masih sibuk membuat persiapan akhir. Kata Sari, dia sememangnya tidak ‘menang tangan’ untuk melakukan semua persiapan di hari bahagia itu. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarganya banyak membantu.

“Setakat ini, sudah 80 peratus persiapan dibuat dan Insya-Allah akan siap sepenuhnya menjelang perkahwinan nanti. Majlis perkahwinan saya ni tidaklah sebesar mana, hanya sederhana saja. Konsepnya ringkas, sama seperti majlis perkahwinan orang lain juga. Cuma untuk malam nikahnya, adalah kelainan sikit, sebab kita akan buat dalam konsep taman. Itu pun sebab rumah saya memang ada taman dan ada banyak bunga,” kata Sari yang ditemui ketika majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular, di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan baru-baru ini.

Dia tidak mengharapkan majlis perkahwinan besar-besaran atau mewah seperti artis popular lain. Bagi aktres yang semakin mencipta nama di pentas lakonan ini, hari bahagianya itu sudah cukup memadai dengan majlis yang sederhana. Kata Sari, adalah lebih penting sekiranya majlis perkahwinannya itu berlangsung dengan lancar dan selamat.

“Saya tidak suka majlis yang terlalu ‘glamor’, cukuplah kalau secara sederhana saja, tetapi ia bukan bermakna tak meriah. Meriah tu tetap meriah, cuma dengan cara yang biasa. Majlis ini dibuat di rumah saya sahaja iaitu di Kuala Pilah. Bagi pihak suami akan buat di pekarangan Masjid Besar, Subang Jaya. Pada saya, tak perlu keluar banyak wang untuk mengadakan majlis besar-besaran kerana ianya hanya membazir. Lebih baik sekiranya kita simpan wang itu untuk masa depan kita. Apa yang penting, majlis perkahwinan saya itu nanti akan berjalan dengan baik,” ujar Sari.

Mengulas lanjut tentang majlis perkahwinannya itu nanti, kata Sari, majlis resepsi kedua-dua pihak akan menggunakan warna-warna lembut yang sesuai dengan jiwanya. Namun, dia masih belum memutuskan jenis warna yang akan digunakan pada tema majlis resepsinya itu nanti.

“Buat masa ini saya masih belum menetapkan warna apa untuk digunakan pada majlis resepsi nanti, tapi yang pasti warnanya lembut dan sejuk mata memandang. Untuk pelamin, baju nikah dan sanding saya dapatkan khidmat pereka, Linda Rahim. Soal baju ni saya tidaklah terlalu cerewet sangat, asalkan ia sesuai dengan bentuk dan ketinggian badan saya. Setakat ini saya senang bekerjasama dengan Linda sebab kami boleh berbincang dan dia tahu bagaimana cita rasa saya,” kata Sari dalam nada yang ceria.

Dalam persiapan lain, Sari telah pun mengedarkan kad jemputan perkahwinannya kepada saudara-mara terdekat, sahabat handai dan juga pihak media sejak sebulan lalu. Dianggarkan seramai 2,000 tetamu akan hadir menyerikan majlis perkahwinannya itu.

Menyentuh soal wang hantarannya pula, sambil tersenyum, Sari berkata ia terlalu peribadi untuk dikongsi. Namun tidak pula menyembunyikan jumlah dulang hantaran yang bakal diterima pada majlis bermakna itu nanti. Kata Sari, dia bakal menerima tujuh dulang hantaran daripada suami tercinta dan pihaknya pula akan membalas sembilan dulang hantaran.

TIDAK MENYESAL KAHWIN MUDA

Melihat pada orangnya yang kecil molek, ditambah pula dengan perwatakan yang tak ubah seperti remaja belasan tahun, pasti ramai yang tidak menyangka, Sari akan menamatkan zaman bujangnya dalam usia yang begitu muda. Namun bagi Sari, usianya yang bakal mencecah 25 tahun itu bukanlah terlalu muda untuk menempuhi alam perkahwinan, sebaliknya sudah cukup sesuai dan matang untuk melalui fasa tersebut.

“Setiap kali saya jumpa orang, pasti yang ada tanya tak rasa muda ke nak kahwin ni? Terus-terang saya katakan yang saya ni pun bukanlah muda sangat, usia saya dah pun masuk 25 tahun dan ada orang yang lebih muda daripada saya pun dah kahwin. Mungkin sebab badan saya ni kecil, jadi orang fikir saya ni budak-budak lagi. Sebenarnya, sejak dulu lagi saya suka tengok orang kahwin muda. Pada saya, bukan mudah untuk buat keputusan berkahwin muda ni, sebab ia bukan perkara yang main-main. Untuk menempuh ke fasa ini (perkahwinan) kita harus bersedia. Saya pun sudah bersedia untuk menempuhi fasa ini dan saya percaya perkahwinan akan mengubah kehidupan saya menjadi lebih baik. Lagipun, buat apa bercinta lama-lama, lebih baik terus kahwin bagi mengelak benda-benda yang tak diingini,” kata Sari yang tidak pernah menyimpan perasaan kesal untuk berkahwin muda.

Mengimbau kembali detik perkenalan dengan bakal suaminya, Eddy, yang merupakan seorang ahli perniagaan itu, Sari memberitahu perkenalan mereka mula terjalin sejak beberapa tahun lalu. Bermula sebagai rakan biasa, akhirnya hubungan mereka bertukar menjadi serius.

”Saya kenal Eddy dah lama, tapi bercinta baru dua tahun lebih sahaja. Dia merupakan kenalan keluarga saya dan dari situ kami mula rapat. Dari berkawan biasa, tak sangka pula timbulnya rasa cinta. Kedua-dua belah keluarga pun sudah merestui hubungan kami, jadi eloklah kami berkahwin,” kata Sari yang terpikat dengan Eddy kerana sikapnya yang memahami dan sentiasa mengambil berat tentang dirinya. – Sinar Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aizat Tetamu Undangan My Starz LG Ahad Ini

Gambar Aeril Andy Seksi Di Ranjang