SANTAI TONTON PIALA DUNIA DI BANDAR i-CITY SHAH ALAM
Bahang Piala Dunia FIFA 2010 yang bakal berlangsung di Afrika Selatan kini hangat dirasai di seluruh negara termasuk Malaysia dan kemeriahan tersebut juga turut disemarakkan di Radio Televisyen Malaysia melalui saluran TV1 dan TV2.
Menerusi pendekatan merakyatkan sukan dikalangan rakyat Malaysia, para peminat sukan bola sepak akan dapat bersama-sama menyaksikan Piala Dunia ini menerusi RTM yang berperanan memberikan liputan terbaik sepanjang tempoh berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2010 setelah diberi hak siaran eksklusif sebagai Penyiar Berlesen kejohanan terbaik dunia itu.
Bagi menghangatkan lagi kempen Piala Dunia ini, RTM bersama i-CITY Shah Alam berkolaborasi dalam menyediakan layar skrin besar terbuka kepada pengunjung-pengunjung bandar i-CITY untuk turut sama menyaksikan kesemua perlawanan bola sepak di acara Piala Dunia 2010 yang bakal dipancarkan melalui siaran RTM. Tarikan ini memberi peluang kepada warga bandaraya Shah Alam khususnya serta pengunjung bandar cahaya itu bersantai menikmati keindahan cahaya di bandar i-City sambil menyemarakkan lagi kempen Sorakan 1Malaysia 1 Dunia dengan menonton perlawanan bolasepak.
Selain itu, bagi menarik pengunjung ke i-City, berbagai aktiviti sepanjang kempen Sorakan 1Malaysia 1 Dunia Piala Dunia 2010 ini telah dirancang antaranya seperti pentas persembahan artis, aktiviti rekreasi, aktiviti sukan futsal, dan gerai-gerai jualan cenderamata Piala Dunia serta berbagai produk-produk di gerai jualan lain.
RTM sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 menjadualkan 24 siaran langsung dan 11 siaran tertunda menerusi saluran TV1 dan TV2 sekaligus membuktikan RTM berjaya membawakan kepada penonton siaran percuma sebanyak 26 jam dan 10 minit dan kesemua liputan perlawanan akan berlangsung bermula jam 11 malam.
Beberapa pengulas sukan RTM seperti Hafizal Hamad, Hasbullah Awang dan beberapa nama lain, dijangka menjayakan ulasan dan liputan terbaik sepanjang acara sukan terbesar dunia itu.