SELAMI SANUBARI JIWA:Â SALAM MAULIDUR RASUL DARI TV3
Sempena sambutan Maulidur Rasul yang bakal diraikan seluruh umat Islam pada 15 Febuari ini (Selasa), stesen televisyen no. 1 Negara juga tidak ketinggalan dan turut menyajikan beberapa rancangan menarik sebagai santapan rohani dan penyejuk jiwa bagi memeriahkan sambutan Maulidur Rasul kali ini.
Jangan lupa untuk mengajak seisi keluarga dan teman-teman untuk bersama-sama menonton pelbagai program terbitan khas sambil menggarap inspirasi dan menyelami erti sambutan kelahiran Baginda Rasullullah S.A.W menerusi Wanita Hari Ini (WHI), Malaysia Hari Ini (MHI), Al-Kuliyyah, Jejak Rasul: Muhammad S.A.W Utusan Terakhir, Konsert Sinar Maulidur Rasul termasuklah empat drama hebat yang sarat dengan pengisian positif seperti Ampunkan Daku, Hijab Di Kalbu, Yang Terpuji dan Kau Yang Satu.
Sambutan Maulidur Rasul TV3 dimulakan lebih awal dengan cerekarama terbaru lakonan mantap Sheila Rusly dalam Ampunkan Daku bersiaran pada hari Sabtu ini, 12 Februari, jam 10.00 malam dan pastikan anda tidak ketinggalan menonton telemovie khas, Yang Terpuji pada malam Selasa nanti. Teruskan mengikuti kisah-kisah teladan dan menarik serta hayati topik perbincangan penuh manfaat menerusi rancangan bual bicara yang disediakan seperti program Al Kuliyyah sebagai penutup slot Istimewa Maulidur Rasul – Menghidupkan Sunnah Rasulullah kali ini.
Berikut adalah senarai program Istimewa Maulidur Rasul – Menghidupkan Sunnah Rasulullah di TV3 pada 14, 15 & 18 Februari 2011:
• AMPUNKAN DAKU – Sabtu, 12 Februari 2011, 10.00 malam
Mengisahkan tentang keretakkan yang berlaku pada rumahtangga Azri dan Latifah akibat dari tohmahan Azimah. Azri terlalu mengikut kata ibunya itu hingga tidak pernah bersuara walaupun berkaitan dengan rumahtangganya. Tidak tahan dengan cara ibu mertuanya, Latifah nekad keluar dari rumah tersebut meninggalkan Azri dan Khalisah, anaknya. Sebelum keluar, Latifah meminta wang sebanyak RM30ribu dan bersumpah tidak akan pulang ke rumah tersebut. Tindakan Latifah ini menguatkan lagi dakwaan Azimah bahawa Latifah hanya mahukan harta Azri semata-mata.
Dengan berbekalkan modal sebanyak RM30ribu yang diperolehi, Latifah membuka pusat perlindungan wanita, KEWAJA. Dengan bantuan Mak Wee dan Ustaz Nizar mereka bersama-sama membangunkan pusat perlindungan yang membantu memberikan perlindungan kepada remaja-remaja yang hamil di luar nikah. Namun ada juga segelintir masyarakat yang tidak bersetuju tertubuhnya pusat tersebut kerana beranggapan bahawa ia akan menggalakkan lagi remaja melakukan maksiat. Latifah tetap tabah dalam usaha murninya itu. Pelbagai ragam suka dan duka ditempohinya sepanjang mengasaskan KEWAJA. Antara penghuni di rumah tersebut ialah Zack dan Era yang merupakan mangsa rogol, Damia dan Tuti yang merupakan remaja rosak akhlak. Latifah meluangkan masa memberikan nasihat dan motivasi agar remaja-remaja ini membina masa depan dan menghargai kehidupan mereka.
Pelakon: Sheila Rusly, Zamarul Hisyam, Fezrul Khan, Erin Malik, Fauziah Nawi, Mak Engku
• HIJAB DI KALBU – Isnin, 14 Februari 2011, 10.00 malam
HIJAB DI KALBU mengisahkan pasangan suami isteri, Iskandar seorang pengusaha rangkaian restoran makanan Thai dan Azizah pula mempunyai perniagaan aksesori wanitanya sendiri. Kedua-dua pasangan ini sangat taksub dengan kuasa mistik seperti tangkal, pelaris perniagaan dan pendinding. Salah satu daripada pelanggan tetap mereka adalah sebuah agensi pelancongan umrah dan ziarah. Pemilik agensi tersebut, Haji Abdullah, menawarkan agar keluarga ini mengikuti umrah dan ziarah selama 10 hari. Berbekalkan rasa terharu dan terhutang budi, Iskandar dan Azizah akhirnya bersetuju untuk menunaikan umrah, sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan padu yang diberikan semenjak mereka memulakan perniagaan restoran tersebut 7 tahun lalu.
Walaubagaimanapun, Iskandar dan Azizah telah bersepakat untuk berlakon sahaja melakukan ibadat kerana mereka belum bersedia untuk melepaskan amalan syirik mereka dan mereka sememangnya jahil. Namun, apakah yang bakal ditempuh oleh kedua pasangan ini setibanya di tanah suci Mekah nanti, dan mampukah mereka mengenal hakikat diri dan tanggungjawab yang sebenar?
Pelakon: Sharifah Shahrizah (Eja), Arash Mohamad, Zain Saidin, Mubarak Majid, Sabrina Ali dan Wan Maimunah
• MALAYSIA HARI INI (MHI) – Selasa, 15 Februari 2011, jam 6.30 pagi
Topik: Keperibadian Rasulullah S.A.W
Mulakan pagi anda bersama Wardina, Ally, Nurul, Abby ditemani Fedtri menerusi Malaysia Hari Ini (MHI) yang akan bersiaran secara langsung dari Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya dan akan membawakan pelbagai topik bicara menarik bersempena Maulidur Rasul.
Pengacara: Wardina Saffiyah Ally Iskandar, Nurul Syuhada Nurul Ain, Abby Fana dan Ahmad Fedtri Yahya
• AL KULIYYAH SEMPENA MAULIDUR RASUL – Selasa, 15 Februari 2011, jam 10.00 pagi
Topik: Pengorbanan Abadi
Cinta Rasulullah S.A.W terhadap umatnya melebihi kasih sayang baginda kepada keluarga sendiri. Baginda berdakwah demi umatnya walaupun pelbagai rintangan dan dugaan dari musuh Islam menganggu malah sehingga ada ketikanya baginda tercedera.
Pengacara: Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa
Panel Jemputan: Dr Uthman El-Muhammady (Felo Yang Amat Utama ISTAC ) dan Ustaz Fakhrurazi Abd Rahim (Jabatan Pendidikan Kota Bahru, Kelantan).
• JEJAK RASUL: MUHAMMAD S.A.W UTUSAN TERAKHIR – Selasa, 15 Februari 2011, jam 11.00 pagi
Mengambil inspirasi sempena dengan hari kelahiran Baginda, episod khas Jejak Rasul: Muhammad S.A.W Utusan Terakhir pastinya akan membuka minda dan menambah ilmu di dada dengan himpunan pelbagai kisah yang dipetik dari Al-Quran dan Sunnah, serta diperkukuhkan dengan fakta dan hasik kajian saintifik mengenai nabi terakhir, Muhammad S.A.W
Pengacara: Haji Zainal Ariffin dan Haji Ahmad Noor Sulaiman
• WANITA HARI INI (WHI) – Selasa, 15 Februari 2011, jam 12.00 tengahari
Topik: Mencontohi Keluarga Rasulullah S.A.W
Teruskan bersama TV3 menerusi Wanita Hari Ini (WHI), rancangan bual bicara popular khas untuk kaum Hawa yang akan bersiaran langsung dari Kompleks Balai Islam, Kota Bahru, Kelantan Darul Naim bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul. Luangkan masa untuk menghayati bersama kisah dan perbincangan menarik mengenai kisah kehidupan keluarga Baginda Rasullah S.A.W. Bersama tetamu khas, Tengku Amalin.
Pengacara: Azizah Ariffin dan Hazrena Mohd Kassim
Panel Jemputan: Ustazah Syarifah Hayati dan Wakil Pakar Agama dari Universiti Sains Kelantan
• KONSERT SINAR MAULIDUR RASUL – Selasa, 15 Februari 2011, jam 3.00 petang
Hari penuh bermakna ini akan terus diceriakan dengan persembahan hebat barisan penghibur tersohor tanah air seperti kumpulan nasyid Rabbani, biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini dan turut diserikan dengan penampilan Aishah dan Jamal Abdillah membawakan irama nasyid, zanji dan dendangan lagu-lagu bahasa Arab sempena meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W yang telah berlangsung di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu pada tahun lepas (2010).
Artis: Rabbani, Sharifah Aini, Aishah dan Jamal Abdillah
• YANG TERPUJI – Selasa, 15 Februari 2011, jam 10.00 malam
YANG TERPUJI menceritakan tentang Ahmad Muhammad, yang lebih dikenali sebagai Mamat merupakan seorang kanak-kanak yang nakal. Walaupun baru berusia 10 tahun, dia sering melakukan kegiatan seperti mencuri ayam, buah-buahan, menyakat orang tua dan kanak-kanak dan sebagainya. Dia sering melakukan kegiatan tersebut dengan kawan baiknya, Amir. Ibunya, Aminah puas menasihati anaknya agar berubah, namun tidak diendahkannya malah dia akan berpura-pura menjadi baik untuk seketika.
Ayahnya, Wak Ben, merupakan seorang yang garang, namun, Mamat tidak pernah gentar. Walau menyayangi anaknya itu, Wak Ben tidak pernah menunjukkannya kerana ego. Satu hari, Mamat dan Amir melakukan kekecohan apabila bermain dengan pembesar suara masjid menyebabkan suara nakalnya kedengaran di seluruh kampung. Kegiatannya menyebabkan Pak Imam dan ahli jawatankuasa kampung sangat marah dan mengadu kepada ibubapa Mamat mengenai perilakunya.
Pelakon: Fazli Daniel Ali, Zul Yahya, Fauzi Nawawi, Aida Aris, Zaidyansjah, Bob Lokman, Rashid Jaafar dan Taha Wahid
• CEREKA PILIHAN: KAU YANG SATU – Jumaat, 18 Februari 2011, jam 1.00 petang
KAU YANG SATU mengisahkan tentang Adam, seorang mualaf yang masih lagi mencari agama dan mencari Allah Yang Satu. Adam yang juga merupakan seorang arkitek telah pergi ke sebuah kampung untuk mencari tempat yang sesuai untuk membina chalet dan telah menyewa sebuah rumah kepunyaan Pak Asan. Pak Asan seorang yang pandai dalam agama tetapi mengamalkan khurafat seperti menurun nombor. Pak Asan juga suka bercakap besar dan sering memburukkan orang kampung. Semua perkara yang dilakukan oleh orang kampung menjadi salah pada pandangannya.
Pak Asan juga sering ke Pulau Besar untuk membayar nazar. Isterinya, Ros, tidak suka dengan kelakuan Pak Asan tetapi tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Bila Ros menasihatinya, dia marah dan menuduh Ros cuba menderhaka padanya. Mak Ton, isteri Pak Mail, sering menasihatkan Ros agar sering berdoa supaya Pak Asan boleh berubah. Anaknya Zura pula telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang mat salleh bernama Jeff di kampung itu. Adam baik terhadap Imam masjid di situ yang dikenali sebagai Pak Mail dan Lebai Lan dan dia banyak belajar daripada mereka.
Pelakon: Ako Mustapha, Abu Bakar Omar, Razali Buyung, Irma Hasmi, Norlia Ramly, Maimun Mutalib, Zain Saidin dan Roslan Salleh
• AL-KULIYYAH ISTIMEWA MAULIDUR RASUL – Jumaat, 18 Februari 2011, jam 5.00 petang
Topik: Bencana Lisan
Membicarakan kepentingan umat Islam berhati-hati dalam berbicara. Lidah manusia perlu bercakap (lisan) perkara-perkara yang baik. Elakkan bercakap (lisan) perkara yang buruk seperti fitnah, mencaci, menghina yang boleh membawa kepada bencana perpecahan.
Pengacara: Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa
Panel Jemputan: YBhg. Sahibus Samahah, Mufti Kelantan, Ustaz Fakhrurazi Abd Rahim, Jabatan Pendidikan Kota Bahru, Kelantan.